Pejuang Melayu-Palestin, Nadir Al-Nuri Satu-Satunya Frontliner Bantuan Kemanusiaan Negara Di Gaza

Nama Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau Nadir Al-Nuri tiba-tiba menjadi tumpuan Malaysia sejak krisis kemanusiaan di Palestin memuncak, awal Mei lalu.

Peristiwa pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang beribadat pada hari-hari terakhir Ramadan benar-benar mencabar kesabaran umat Islam di seluruh dunia.

Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, pangkat dan usia juga mengecam hebat pelanggaran hak asasi manusia tersebut. Pelbagai usaha termasuk bantuan derma kilat, solidariti di media sosial dan laporan terkini tanpa henti membanjiri semua platform media sejak hari itu.

Salah satu sumber paling dipercayai datangnya daripada warga Malaysia sendiri, yang penulis kira sebagai satu-satunya frontliner Malaysia di bumi Gaza. Nadir Al-Nuri pantas memberi kerjasama tatkala Majalah Nona menghubunginya.

 

Ahad, 16 Mei 2021 bersamaan 3 Syawal 1442H. Nadir mengirim sebuah video yang benar-benar menyentuh hati penulis.

“Ini adalah video dari tempat pengeboman pagi tadi yang menyebabkan 33 orang syahid sehingga kini. Mangsa masih lagi dikeluarkan dari bawah runtuhan.

Tapi misi besar ketika ini ialah untuk menyelamatkan seorang anak perempuan yang menghantar mesej di balik runtuhan kepada kawannya dengan pesanan, ‘Selamatkan Aku’…

Selepas semalaman mencari, malangnya anak perempuan ini gagal diselamatkan. Beliau ditemui syahid bersama anggota keluarganya yang lain dengan telefon masih di tangan.” Nadir Al-Nuri

Allahuakbar, mengalir air mata!

 

PERJUANGAN NADIR

Sedari sejak Syawal pertama lagi kami berbalas-balas text mengenai perkembangan terkini di Semenanjung Gaza. Hampir setiap hari juga hati penulis tak keruan menantikan jawapan beliau, memandangkan kawasan perumahannya sering menjadi sasaran musuh.

Bimbang betul kalau inilah text terakhir Nadir… Allahu, semoga Tuhan panjangkan usia beliau dan memelihara keselamatan dan kesihatan-Nya seisi keluarga.

Sebagai satu-satunya rakyat Malaysia yang masih menetap di Gaza sehingga sekarang, Nadir Al-Nuri diibaratkan seperti duta kecil kita di sana.

Sumbangan Cinta Gaza Malaysia sempena Ramadan lalu

 

Salah satu usaha menggembirakan kanak-kanak Palestin

 

Kanak-kanak Palestin gembira dengan bantuan Cinta Gaza Malaysia

 

Nadir Al-Nuri sentiasa prihatin tentang nasib kanak-kanak yatim di Gaza

 

Selain menyalurkan pelbagai bantuan keperluan asas, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) berusia 30-an ini kerap menjadi perantara masyarakat Malaysia dengan Palestin, dengan menyebarkan pelbagai informasi semasa serta menjelaskan situasi sebenar yang bergolak di sana.

Percaya tidak, akaun media sosial Nadir Al-Nuri pernah disekat apabila beliau berkongsi hantaran video seorang kanak-kanak Gaza yang berlari mengejar jenazah ayahnya.

Sejak insiden tersebut, pengikut beliau dari seluruh dunia mula mengikuti akaun Facebook baharunya (klik sini) serta channel Telegram yang dibangunkan khusus untuk tujuan yang sama (klik sini).

Antara yang menjadi perhatian Nona, adalah sewaktu sesi LIVE Mizz Nina dan Noh Hujan dengan Nadir Al-Nuri di Instagram pada malam raya lalu, dimana bunyi ledakan b0m seakan muzik latar temu bual tersebut.

 

JODOH ORANG PALESTIN

Akhbar Berita Harian pada tahun 2016 pernah melaporkan, semenjak menuntut di bumi anbiya lagi, Nadir Al-Nuri sudah berjihad membela nasib anak-anak yatim yang keluarganya syahid menentang zionis.

Sudah ketentuan jodoh, perjuangan Nadir bertambah lancar sejak berkahwin. Lelaki hebat berusia 30-an ini berumahtangga dengan seorang balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi, yang mempunyai lima orang anak.

“Pada awalnya saya berada di bumi Palestin sebagai pelajar jurusan Syariah di Universiti Islam Gaza.

Dengan tekad ingin membantu anak-anak yatim di sini, saya menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil Persatuan Cinta Gaza atau ‘From Gaza With Love’ bagi mengatur pelbagai program termasuk kutipan dana.” Nadir Al-Nuri

 

 

Benar janji Allah mengenai rezeki ketika kita membela nasib anak-anak yatim. Kehidupan Nadir bertambah berkat, malah siapa sangka itulah asbabnya beliau mengenali isteri tercinta sebelum mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 2016.

Kini Nadir dan isteri juga mempunyai dua orang cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka. Ini menjadikan Nadir sebagai bapa kepada tujuh orang anak, yang kesemuanya menetap di Semenanjung Gaza.

Bekas pelajar Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, mereka sekeluarga kini penggerak kepada Cinta Gaza Malaysia, yang komited untuk membela nasib anak yatim dan mengatur pelbagai program khususnya mendapatkan dana bantuan untuk mereka.

 

Setiap sumbangan yang disalurkan ke Cinta Gaza Malaysia akan diagih-agihkan kepada mangsa di Palestin secepat mungkin. Nadir sendiri yang menjadi wakil penyumbang, dengan harapan dapat membantu mereka yang terjejas teruk di Gaza.

Kasih sayang terhadap isteri dan anak-anaknya di Palestin membuatkan semangat Nadir lebih berkobar-kobar ingin memberikan yang terbaik buat semua pihak. Semoga segala usaha ‘frontliner bantuan kemanusiaan’ Malaysia ini dipermudahkan serta mendapat pembalasan terindah daripada Allah Taala.

IKLAN
Share