Gaya Hidup

Pembukaan Semula Disneyland Shanghai, Tapi Dengan Syarat Ketat – Pakai Mask & Sarung Tangan!

Destinasi percutian impian kanak-kanak, taman tema Disneyland Shanghai, hari ini mengumumkan pembukaan semula operasinya selepas hampir tiga bulan ditutup.

Walau bagaimanapun, pengunjung dikenakan beberapa syarat ketat mengikut garis panduan pencegahan wabak COVID-19.

Perintah penjarakan sosial serta kerja-kerja pembersihan telah pun dilaksanakan di taman tema itu supaya dapat mengelak jangkitan wabak berkenaan.

Satu daripada 14 taman tema Walt Disney Company yang dibuka semula itu mewajibkan setiap pengunjung memakai topeng muka, menggunakan disinfektan dan penjarakan sosial untuk bermain.

Ibarat cahaya di hujung terowong, begitulah luah Presiden dan Pengurus Besar Shanghai Disney Resort, Joe Schott saat ditemu bual. Simboliknya, pembukaan ini turut melegakan ramai pekerja Disney tentang masa depan mereka.

Disneyland Shanghai beroperasi semula pada 11 Mei 2020

Acara perarakan watak-watak Disney dihentikan bagi menghalang pengunjung berkumpul di bahu jalan.

Tiada lagi acara bergambar dengan Mickey dan Minnie Mouse kerana mereka hanya dibenarkan bergambar dari jauh.

Pertunjukan teater juga masih direhatkan, kecuali pertunjukan istana pada waktu malam tapi tanpa letupan bunga api.

Pengunjung yang ingin menaiki rides seperti Pirates of the Carribean, perlu menjarakkan tempat duduk dengan setiap kerusi dinyahkuman selalu bagi membunuh kuman.

Ini menjadi langkah signifikan buat syarikat Walt Disney Co yang terkesan apabila terpaksa menutup semua taman tema di Asia, Amerika Syarikat dan Perancis.

Apabila jualan tiket dilancarkan pada Jumaat, tiket kemasukan buat hari-hari pertama pembukaan Disneyland berjaya habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Minggu lepas, eksekutif-eksekutif Disney menganggarkan kerugian sebanyak AS$1.4 bilion (kira-kira RM6.1 bilion) yang terpaksa ditanggung akibat penutupan premis di serata dunia.

Demi kelangsungan perniagaan, Disneyland Shanghai terpaksa dibuka meskipun ia beroperasi di bawah paras potensi sepatutnya. Kerajaan China mengehadkan kapasiti 24,000 pengunjung setiap hari, iaitu kira-kira satu pertiga daripada kapasiti normalnya sebelum wabak COVID-19.

Selain itu, harga tiket turut dikurangkan bagi menarik lebih ramai pengunjung yang kebanyakannya masih belum bersedia untuk melancong pada waktu ini.

Dalam masa yang sama, kebanyakan rakyat tempatan di sana menzahirkan kebimbangan mereka, bagaimana Disney boleh dibuka semula ketika semua sekolah di Shanghai masih ditutup?

Adakah perniagaan lebih penting daripada keselamatan pengunjung yang majoritinya adalah kanak-kanak?

Tepuk dada tanya selera. Kesihatan kita, tanggungjawab kita.

IKLAN
Share