Penangan ‘Daging Harimau Menangis’, DATIN NOOR KARTINI Tak Menang Tangan Terima Tempahan!

Ibu kepada selebriti cantik Noor Neelofa Mohd Noor ini sememangnya seorag wanita yang kreatif dan berdaya saing dalam bidang perniagaan. Mana tidaknya, selepas kejayaan mengusahakan Naelofar dan bertapak kukuh dalam industri kosmetik menerusi jenama Young & Glow… kali ini Datin Noor Kartini tampil dengan satu lagi cabang bisnes iaitu makanan di bawah platform Aunty Tini Kitchen!

Baru sahaja dilancarkan sekitar Ogos lalu, sambutan yang diterima daripada pelanggan adalah di luar jangkaan. Selain sibuk mempromosikan produk keluaran Aunty Tini Kitchen, ibu kepada sembilan anak ini juga aktif melakukan mini showcase

yang memperlihatkan cara-cara masakan secara langsung kepada penonton.

Biarpun masih bertatih dalam cabang bisnes ini, Datin Noor Kartini sudah berjaya menghasilkan beberapa produk masakan antaranya termasuklah Pes Kurma dan Pes Kerutuk. Namun yang paling mendapat permintaan tinggi sehingga ke hari ini ialah Daging Harimau Menangis! Meninjau media sosial Aunty Tini Kitchen, berkarton-karton pek daging harimau menangis dibekalkan kepada agen untuk jualan.

Datin Noor Kartini menerusi Instagram memaklumkan sejumlah 10 ribu pek daging harimau menangis dikeluarkan setiap hari. Bagaimanapun masih tidak cukup menampung permintaan pelanggan. Wah, memang laku keras! Meskipun keadaan situasi Covid-19 agak merencatkan jualan kebanyakan perniagaan di seluruh negara ketika ini tetapi produk Aunty Tini Kitchen tetap menerima sambutan menggalakkan.

Di samping menerima banyak tempahan, Datin Noor Kartini berkata dia turut menerima pelbagai pertanyaan daripada orang ramai berhubung sumber sebenar daging berkenaan. Jelasnya, daging harimau menangis ialah daging lembu bahagian batang pinang dan sama sekali bukan daging dari haiwan liar tersebut.

Ujar Datin Noor Kartini, “Rezeki tidak pernah salah alamat. Rezeki datang kepada kita dengan macam-macam cara. Kalau bukan sebab kita berusaha mencarinya, mungkin juga sebab Allah memang nak bagi atau tidak pun kerana kita pernah memberi.”

Nampaknya, bukan sahaja Neelofa bijak dalam bisnes. Malah ibu tersayang juga ligat merencana hala tuju perniagaan masing-masing. Tahniah Datin Noor Kartini semoga kejayaan ini terus memberi inspirasi kepada wanita.

IKLAN
Share