Wow, lain macam penangan produk kosmetik Huda Beauty! Bayangkan dengan hanya menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan bisnes dalam talian sahaja pengasas Huda Beauty ini berjaya raih jualan mencecah ratusan juta dollar.
Bahkan billionaire Huda Kattan mengakui tidak pernah melaburkan duit untuk tujuan pemasaran seperti kebanyakan perniagaan lain yang mempromosikan produk mereka menerusi iklan komersial di media cetak, media elektronik, billboard dan sebagainya. Dah namanya rezeki, walau tanpa strategi pemasaran pun bisnes mereka mampu berdiri sendiri.
Mendekati wanita besi di sebalik jenama bernilai jutaan dollar ini, Huda Kattan yang memiliki darah keturunan Iraq kini meniti usia 37 tahun. Ketika baru berumur dua tahun, keluarganya telah berpindah ke Boston. Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan mewarisi keturunan Iraq daripada kedua ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi di samping mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.
Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan dia mempunyai seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.
Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda. Begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”
Ads
Meninjau media sosial Huda, dia juga disifatkan seorang wanita yang menentang penindasan terhadap perkauman, warna kulit dan agama. Pada Ramadan lalu, Huda turut dikatakan ‘berehat’ daripada aktif di media sosial dengan banyak menghabiskan masa bersama keluarga serta membuat kebajikan kepada golongan memerlukan.
Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.
Ads
Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi makeup artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya. Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger sejak tahun 2010 lagi seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.
Berdasarkan laporan Vogue, ibu seorang anak ini pernah menjadi jurusolek di Revlon dan bekerja di beberapa syarikat jenama mewah seperti Cartier dan Mercedes. Sementara laporan Forbes pula mendedahkan Huda menceburi bidang solekan dan blog selepas dia merasakan tidak puas bekerja dalam bidang kewangan.
Ads
Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran. Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Rangkaian kosmetik Huda Beauty kini mempunyai lebih 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta. Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.
Sumber: Forbes & Vogue Arabia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selalunya kalau kita menaiki pesawat penerbangan di Asia, pasti wajah-wajah pramugari yang menyambut kehadiran di dalam kapal terbang semuanya masih muda dan bertenaga. Namun pernahkah anda terfikir di sambut oleh seorang pramugari berusia 81 tahun? Pelik tetapi benar. Wanita bernama Bette Nash ini masih lagi berkhidmat sebagai pramugari di syarikat American Airlines.
Walaupun syarikat ini telah mengalami banyak perubahan dari segi pengurusan dan juga gabungan, dia tetap kekal sebagai seorang pramugari yang berdedikasi. Kini sebagai seorang staf paling senior di syarikat penerbangan tersebut, dia boleh memilih jadual dan laluan mana yang dimahukan tanpa sebarang halangan dari pihak atasan. Namun, Bette hanya memilih untuk berkhidmat bagi penerbangan dari DCA (Washington DC) ke Boston sahaja kerana beliau mahu pulang ke rumah setiap malam dan bersama salah seorang anaknya yang kurang upaya. Jadi mungkin jika anda ke Amerika Syarikat, pilih penerbangan laluan ini untuk bertemu ‘The World Oldest Flight Attendant’ ini.
Memulakan kerjaya pada tahun 1957 ketika berusia 21 tahun, Bette telah menyaksikan perubahan hebat dunia penerbangan dari tahun ke tahun. Menurut temubualnya kepada media, “Saya memulakan kerjaya dengan ketika itu pakaian kami cukup classy, semuanya dijahit kemas dan sangat elegan, kemudian ia bertukar kepada gaya pemakaian yang gila gila ketika era 70an dan 80an sehinggalah apa yang anda lihat hari ini. Oh! ketika itu juga kalau datang ke lapangan terbang, tiada papan tanda digital. semuanya ditulis di atas papan hitam menggunakan pensel kapur. Kalau nak tahu harga tiket penerbangan hanya $12 dollar sahaja”
Bercerita tentang bagaimana dia boleh menceburi bidang ini, menurutnya, “Ketika berusia 16 tahun, saya menaiki kapal terbang buat pertama kalinya bersama ibu dari New Jersey ke Dayton,Ohio. Menerusi pengalaman itu melihat bagaimana pramugari bekerja dan juga pengalaman mengembara ke tempat orang menjadi titik tolak keinginan saya untuk bergelar pramugari.”
Satu perkara yang mengangumkan tentang Bette bukanlah diukur dari jumlah tahun perkhidmatannya, menjadikan dia disenangi ramai adalah sikap dan juga pembawaan diri yang selalu positif. Setiap kali menuju ke pesawat dia akan tersenyum lebar dan menyambut tetamu dengan penuh rasa kasih-sayang. Bayangkanlah selama 60 tahun bergelar pramugari, ramai penumpang telah menjadi sahabatnya dan boleh berkongsi cerita kerana mereka selesa dengan Bette.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa bernama Bella sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan. Segalanya bermula apabila ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu ini di Facebook peribadinya pada 5 Julai 2021 demi membela nasib anak syurga itu.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, Mona menyatakan dia berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Down Syndrome. Jelas menunjukkan betapa hebatnya naluri keibuan yang dimiliki Mona Din.
“Saya dulu ada anak Down Syndrome sendiri dan dia sebenarnya anak sulung saya. Seorang puteri yang lebih dikenali sebagai Kak Mar. Dia meninggal ketika berumur 12 tahun pada tahun 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 29 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 17 tahun.
Memandangkan arwah adalah anak sulung dia adalah satu ‘kejutan’ pada saya. Masa tu saya baru berumur 26 tahun. Anak Down Syndrome ini sering terjadi kepada elderly couple. So, saya sangat terkejut dapat anak Down Syndrome. Namun alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Kehadiran Kak Mar disambut seluruh keluarga terutama oleh saya dan suami. Kami menerimanya dengan sangat ikhlas.
Kak Mar ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap. Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri. Sepanjang arwah duduk di hospital selama 12 tahun itu tidak pernah walaupun satu malam saya tidak bersama dia. Maknanya dalam tempoh 12 tahun Kak Mar hidup tu saya juga tidur di hospital bersama dia lebih banyak dari saya tidur di rumah. Dalam masa yang sama saya juga bekerja. Walaupun arwah kerap masuk hospital dan bermalam di sana tetapi saya tak pernah ambil cuti sakit.
Malam-malam saya tidur di hospital, sebelah pagi suami datang bawa baju dan saya mandi di bilik air hospital. Kemudian saya pergi kerja. Bila malam saya balik semula ke hospital. Begitulah hidup saya dengan Kak Mar selama 12 tahun. Sehinggalah Disember 2004, Kak Mar meninggal dunia di pelukan saya. Kak Mar kata “Amma (Mama) nak yalan (nak jalan)” Masa tu saya kata, Kak Mar nak pergi pergilah. Nak pergi mana pun Mama kasi. Nak pergi bila pun Mama kasi.
Bila saya jawab begitu suami di sebelah terkejut. Kak Mar berpusing pada suami dan cakap “Abah, Kak Mar nak pergi.” Suami masa itu dah menggigil bila dengar saya cakap begitu. Dia tak boleh menjawab lalu saya tolong jawab untuknya. Saya cakap “Abah pun OK kalau Kak Mar nak pergi.” Lepas tu dia buka oksigen dan cakap sesuatu tetapi tak berapa jelas. Saya tanya Kak Mar nak minum air Milo ke? Dia angguk dan saya minta suami belikan.
Setelah suami bergerak beberapa langkah, Kak Mar pegang tangan saya dan cakap “Mama, Kak Mar sayang Mama.” Saya peluk dia dan kata “Mama pun sayang Kak Mar” Masa itu tangannya terus terkulai lalu saya menjerit memanggil doktor. Bila doktor datang dan lihat, katanya “Itulah nafas terakhirnya” Dia pergi dalam pelukan saya. Pemergiannya di Syawal terakhir 12 Disember 2004.
Bagi saya, Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 17 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Ingatan pada Kak Mar sentiasa kekal. Setelah saya bersara 5 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome. Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Anak-anak dimaklumkan pada sebelah malam tu. Mereka memang menunggu kehadiran Nadira dan sudah pun tahu yang saya memang nak ambil anak angkat Down Syndrome. Mereka tahu saya nak cari anak angkat ni dah lama. Suami pun sebenarnya dah lama berikan saya keizinan dari awal saya tulis di FB dulu. Syarat supaya anak itu boleh berjalan tu pun dari suami sebenarnya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Pada mulanya ada rasa marah tetapi dia menjelaskan dia sebenarnya rasa sedih, takut dan malu nak berjumpa saya. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
KES PENDERAAN BELLA
Disebabkan saya ada anak angkat Down Syndrome, saya ada sekumpulan group WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Down Syndrome. Suatu malam tu ada seorang text saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Down Syndrome didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar stage 3 atau 4. Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan di mana JKM datang untuk ambil anak-anak di rumah tersebut yang dibawah JKM.
Saya buat sedikit homework dari beberapa tempat. Saya dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella. Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal.
Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this” Semua kata tak boleh, jangan. Tapi saya nak buat dengan risiko sendiri dan tidak akan melibatkan sesiapa termasuk sumbernya sampailah ke saat akhir seseorang itu reveal sumber oleh mahkamah. Saya cakap jangan susah hati kerana saya sendiri akan tanggung risikonya. Pada 5 Julai saya viralkan di FB saya.
Sebelum viral saya dan group dah buat homework dan memantau berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi. Laporan polis dibuat pada 24 Jun. Saya dapat tahu pada 5 Julai. Jarak masa tu sudah 12 hari. Bagi saya kes penderaan itu sangat teruk. Kalau orang tidak jumpa dia sebelum tu mungkin dia boleh mati. Saya menjadi lebih beremosi. Banyak faktor yang menyebabkan saya sangat ralat dan perkara ini perlu diambil serius. Bukan hanya kes penderaan Bella tetapi lebih daripada itu. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka isu ini sangat besar, melebihi kes penderaan Bella.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap wanita pastinya menginginkan pasangan yang terbaik buat keluarga. Seorang yang bertanggungjawab, penyayang serta penuh rasa cinta. Sedar atau tidak, lelaki yang menyayangi serta memuliakan ibunya adalah seorang yang tahu menghargai dan membahagiakan wanita dicintainya.
Lelaki seperti ini juga dipercayai memiliki perasaan yang lembut dan romantik terhadap wanita. Melihat kepada ciri-ciri inilah, pelakon dan hos televisyen popular, Shenty Feliziana memilih aktor kacak dari seberang, Reuben Elishama Hadju sebagai teman hidup.
Bertuahnya Shenty kerana dikurniakan seorang suami yang bukan sahaja penyayang bahkan sangat menghormati dan menghargai wanita. Reuben juga seorang yang mementingkan keluarga.
“Reuben seorang yang family-oriented serta sangat rapat dengan ahli keluarganya. Bagi saya, lelaki yang melayan isteri seperti bidadari membuktikan bahawa he has been raised by a queen. Malah, Reuben juga sentiasa bersangka baik bukan hanya terhadap wanita bahkan terhadap orang lain juga tanpa melihat darjat mahupun status.”
Setelah dua tahun mendirikan rumahtangga, Shenty dan Reuben kini kekal bahagia. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran permata hati mereka iaitu Biru Abiyyu Yusuf yang kini berusia 10 bulan.
IMBAU DETIK PERTEMUAN
Pasangan ini bertemu atas dasar kerja. Namun sudah dinamakan jodoh, Shenty dan Reuben akhirnya bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Saya mengenali Reuben ketika sama-sama menjalani penggambaran mini-series Astro berjudul Dosa, sebuah produksi Nusantara. Tanpa sedar, penggambaran yang memakan masa sekitar 58 hari itu telah menjadikan kami kawan rapat. Waktu itu kami hanya selesa berkawan sahaja dan belum sampai tahap bercinta.
Sebaik penggambaran selesai dan pulang ke negara masing-masing, saya menerima satu pesanan WhatsApp daripada Reuben berbunyi “I miss my best friends!” Saya katakan kepadanya kalau mahu berkawan lebih serius mintalah restu ibu bapa saya dahulu. Saya sendiri tidak berminat untuk bercinta kalau tidak ada penghujungnya.
Tidak lama selepas itu Reuben terbang ke Singapura untuk berjumpa dengan keluarga saya. Ia benar-benar membuatkan saya terkejut bercampur terharu. Terbukti bahawa Reuben memang ikhlas untuk mengenali saya dengan lebih dekat.
Seterusnya pada pertemuan kedua, Reuben datang bersama keluarganya untuk melamar. Bersaksikan kedua-dua keluarga, Reuben melafazkan kata-kata cinta sekaligus menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan saya.
Inilah momen terindah yang benar-benar menyentuh jiwa saya sekaligus telah membuka pintu hati ibu bapa saya untuk merestuinya. Kami kemudiannya bertunang pada 25 November 2017 selama lima bulan.”
Mengambil keberkatan bersempena dengan hari Isra Mi’raj, pasangan ini bernikah pada 13 April 2018 di Singapore Botanic Gardens, Villa Halia. Majlis pernikahan berlangsung dalam suasana penuh tradisi iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Semoga Shenty dan Reuben kekal bahagia sampai ke syurga. Sejak bergelar ibu Shenty kini kelihatan semakin berseri-seri.
Kredit Foto: Instagram Shentyfeliziana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.