Pengasas Pertiwi Soup Kitchen Yang Juga Ibu Saudara KJ, DATUK MUNIRAH ABDUL HAMID Meninggal Dunia

Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 70 tahun. Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 pagi tadi di rumahnya di Bangsar, di sini.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AEON Consortium, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz menerusi Facebook rasmi projek sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen.

Allahyarham cukup dikenali aktif berkecimpung sebagai pekerja sosial sejak berusia 17 tahun dalam menyelami masalah hidup golongan gelandangan. Sepanjang lebih 50 tahun dalam kerja-kerja amal, Allahyarham banyak menyumbang kepada masyarakat, terutama untuk kebaikan wanita dan kanak-kanak dalam pendidikan.

Menerusi Pertiwi Soup Kitchen, Allahyarham menelusuri lorong-lorong kecil sekitar ibu kota bagi menghulurkan sesuap nasi kepada penghuni di kota metropolitan yang kelaparan.
Pertiwi Soup Kitchen yang diasaskan pada 2010 menjadi landasan kepada Allahyarham untuk mendekati golongan sasaran dengan mengedar makanan kepada yang kurang bernasib baik.

Berita pemergian Datuk Munirah juga turut mendapat perhatian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut berkongsi Datuk Munirah merupakan adik bongsu kepada ibunya, iaitu Rahmah Abdul Hamid.

Kredit Foto: Malay Mail (Firdaus Latif) | Sumber: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2022/05/27/soup-kitchens-fret-for-poor-and-hungry-as-malaysias-inflation-soars-donations-dip/8803
Tangkap layar IG story @khairyjamaluddin

“Adik bongsu ibu saya, Munirah Abdul Hamid meninggal dunia hari ini. Solat jenazah akan diadakan di Masjid Saidina Ab Bakar As-Siddiq Bangsar pada 11.30 pagi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-fatihah,” tulis KJ di ruangan IG storynya.

Sumber: Astro AWANI

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

IKLAN
Share