Pengiring Peribadi Throwback Gambar Britney Spears, Ramai Terkenang Zaman ‘…Baby One More Time’

Dokumentari Framing Britney Spears terbitan The New York Times baru-baru ini mendedahkan pengakuan Felicia Culotta, wanita penting yang bekerja sebagai pengiring peribadinya pada awal kemunculan bintang pop tersebut.

Generasi Y atau millennials tentu sekali mengenali Britney Spears malah majoritinya membesar dengan lagu-lagu seperti ‘…Baby One More Time’ dan ‘Oops!… I Did It Again’ yang cukup popular circa 1998-2000 lalu.

Bayangkan pada usia semuda 15 tahun, Britney ketika itu telah digelar Princess of Pop serta disanjung oleh ramai peminat di seluruh dunia.

Sayangnya tidak ramai mengetahui kisah di sebalik populariti wanita jelita yang kini berusia 40 tahun itu. Pendedahan eksklusif yang dibuat oleh Felicia Culotta menceritakan pelbagai rintangan yang dilalui oleh Britney Spears sepanjang beliau meniti kemasyhuran dan berdepan ‘kejatuhan’ paling mengejutkan dalam sejarah hiburan.

Felicia dan Britney

 

Wajah terkini Felicia dan Britney

 

“Saya bersetuju untuk bercerita kisah ini supaya kita semua ingat tentang mengapa kita ‘menyukai’ Britney buat pertama kali,” kata Felicia yang sering digelar chaperone (pengiring) penyanyi tersebut sejak pembabitan awalnya dalam dunia Hollywood.

Menurut Felicia lagi, sejak bapa Britney iaitu Jamie Spears mula ‘campur tangan’ dengan urusan kerjaya anaknya, satu persatu masalah timbul hingga dikatakan menjadi punca emosi dan prestasi persembahan wanita itu terjejas.

Benarkah dakwaan yang mengaitkan Britney Spears dengan masalah psikiatri?

 

Britney Spears sering dilihat memuat naik hantaran tarian dan nyanyian

 

Jamie telah dilantik sebagai conservator bintang pop itu pada 2008 selepas Britney menjalani rawatan psikiatri di hospital.

Malah pada tahun lepas, Britney Spears dilaporkan gagal menyingkirkan bapanya daripada hak mengawal perniagaan serta kepentingan peribadi selepas Mahkamah Los Angeles enggan meminda arahan conservatorship yang memasuki 12 tahun.

Situasi ini mendorong kewujudan pergerakan #FreeBritney, sebuah kempen yang ditubuhkan oleh para peminat yang menentang conservatorship

ke atasnya. Mereka percaya bahawa penyanyi kesayangan ramai itu ‘dipenjara’ dan sering menghantar isyarat bantuan agar dibebaskan melalui akaun media sosial rasmi @britneyspears.

“Britney berhak mendapatkan hak asasi kemanusiaan dan peluang membelanjakan wangnya sendiri,” ujar peminat-peminat yang simpati dengan nasib menimpa Britney Spears. Permintaan itu walau bagaimanapun, hanya dianggap sebagai jenaka oleh Jamie.

BERBAKAT

Felicia Culotta

 

“Saya kenal Britney semenjak dia berusia 5 tahun. Pada masa itu kami semua menyedari bakat luar biasa yang dimilikinya,” jelas Felicia yang pernah berkhidmat dari tahun 1998 hingga 2007.

Wanita itu kini terlibat dengan Afya Foundation, sebuah badan NGO yang membekalkan barangan perubatan kepada masyarakat memerlukan.

Tambahnya, Britney sejak kanak-kanak lagi telah menjuarai pelbagai pertandingan seni serta pernah membintangi program The Mickey Mouse Club bersama Christina Aguilera, Justin Timberlake dan Ryan Gosling.

“Britney sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya” Felicia Culotta

Sebagai seorang pengiring setia, Felicia menjadi saksi pelbagai kisah peribadi Britney hingga ke saat kemuncak di mana penyanyi terkenal itu didakwa mula mengalami kemurungan.

Beliau turut berkongsi gambar-gambar yang diambilnya menggunakan kamera pakai buang sewaktu mengiringi setiap persembahan Britney Spears. Gambar-gambar perjalanan seni itu kemudian dijadikan scrapbook pada setiap tahun untuk dihadiahkan kepada ibu Britney, Lynne Irene Bridges pada Krismas.

Sayu pula tengok bagaimana perjalanan hidup Britney Spears daripada seorang yang masyhur, kaya-raya dan cantik rupawan kini berbeza.

Barangkali juga perkongsian ini hanya sekadar 2-3% daripada realiti sebenar. Kisah sebenar Britney masih kekal menjadi buah mulut peminat kerana pihak keluarganya bertindak mengunci mulut sampai sekarang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: US Magazine & @90s.dios

IKLAN
Share