Pengorbanan Tya Arifin Berbaloi, Wisma Mutyara Lambang Kegigihan Ibu Anak 2 Ini

Kagum melihat semangat dalam diri aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini. Hampir dua tahun lalu Tya Arifin telah melancarkan perniagaan bersama suaminya, Asyraf Khalid.

Nampaknya usaha pasangan suami isteri ini tidak sia-sia dan kini boleh tersenyum bangga dengan hasil titik peluh mereka. Memiliki wisma sendiri adalah sesuatu di luar jangkaan Tya Arifin atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri ini.

Bercerita tentang Wisma Mutyara milik ibu kepada Arif Jiwa, 3 tahun dan Azzahra Jiwa, setahun ini, “Alhamdulillah pada hujung Julai lalu, memilik wisma sendiri jadi kenyataan. Saya awalnya seperti bermimpi. Tidak pernah menyangka semua ini menjadi realiti.

Soal lambat atau cepat tidak saya fikirkan dalam merealisasikan kewujudan wisma sendiri. Saya percaya ia sudah tersusun cantik dengan izin-Nya. Ia datang pada waktu yang tepat sudah buat saya optimis memastikan kelangsungan perniagaan diusahakan,” tutur wanita gigih ini.

Kagum melihat Tya Arifin mengusahakan perniagaan sekali gus ibu kepada sepasang anak ini. “Jujur jadi kunci segala serbi langkah dimulakan. Niat saya dan suami memulakan empayar perniagaan sendiri selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan.

Tak ketinggalan mengajak orang lain menjana pendapatan bersama-sama. Begitu juga menjaga kebajikan staf tersayang.

Kita imbangi hal dunia dan syurgawi dalam masa sama. Kita tak pernah sempurna, namun sentiasa mahu berubah jadi lebih baik daripada sebelumnya. Kita nak keberkatan dunia dan akhirat. InsyaAllah,” kata Tya.

Seperti usahawan lain, Tya juga pernah merasai jatuh bangun dalam membina empayarnya. “Saya pernah melihat perniagaan diceburi suami sebelum ini ada antaranya turut kecundang di tengah jalan. Suami pernah gagal dan kami pernah sama sama susah. Kejayaan itu tidak datang bergolek. Tewas itu juga jadi ruang saya bermuhasabah diri.

Mak saya selalu pesan sentiasa ikut resmi padi. Semakin berisi, semakin menunduk. Namun untuk saya mahu memastikan legasi ini kebal dan konsisten sudah cukup baik. Semoga kemanisan ini akan terus berpanjangan. Saya beruntung kerana banyak belajar tentang cabaran dunia perniagaan dengan suami. Dia kekuatan saya,” katanya.

IKLAN
Share