PENTING, Bakal Jemaah Umrah Ambil Tahu Info Ini Sebelum Jejak Kaki Ke TANAH SUCI Demi Kebaikan Sejagat!

Tanah Suci Mekah tak pernah sunyi dikunjungi umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Lebih-lebih lagi menjelang musim haji dan umrah. Dalam keterujaan menjadi tetamu Allah dan beribadah serta mencari keredaan-Nya sepanjang berada di sana, pastikan aspek penjagaan kesihatan tersenarai sebagai perkara utama sebelum berangkat ke Mekah. Selain dapat mengelakkan musibah, kepekaan anda terhadap kesihatan diri dan orang sekeliling dapat mengurangkan ancaman penyakit sebaik pulang ke tanah air kelak.

Memandangkan cuti persekolahan akan tiba tidak lama lagi dan sebilangan besar umat Islam dari Malaysia dijangka menunaikan umrah pada waktu tersebut, Immunise4Life dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan sokongan GlaxoSmithKline (GSK) melaksanakan kempen kesedaran khusus buat bakal jemaah Umrah terhadap ancaman penyakit meningokokus dan langkah pencegahan penyakit ini.

Seperti sedia maklum, meskipun umrah adalah suatu pengalaman penuh barakah, ia juga boleh menyebabkan jemaah terdedah dengan pelbagai wabak penyakit berjangkit jika mereka mengabaikan tahap kesihatan diri. Tambahan pula, keadaan di Tanah Suci yang padat dengan kunjungan jutaan umat Islam membuatkan jemaah mudah dijangkiti. Risiko meningokokus dipercayai boleh menyebabkan kematian. Pun begitu, kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini masih di tahap rendah.

Menurut bekas Ketua Pasukan Perubatan bagi jemaah haji, Dato’ Dr Hj Abdul Razak Abdul Muttalif vaksin yang dinamakan meningokokus kuadrivalen ini telah diwajibkan pada tahun 2001 sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit ini yang telah berlaku di sana selama dua tahun berturut-turut.

“Kadar kematian bagi pesakit yang menghidap penyakit meningokokus adalah tinggi. Penyakit yang disebabkan oleh bakteria Neisseria Meningitidis ini amat berbahaya kerana mengakibatkan komplikasi yang amat serius seperti selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan kuman dalam darah (septisemia). Kadar kematian bagi kedua-dua komplikasi masing-masing mencecah sehingga 10 dan 40 peratus.

Jemaah juga berisiko tinggi mendapat jangkitan meningokokus kerana ia mudah merebak apabila terdapat terlalu ramai orang yang menetap atau berkumpul di satu-satu kawasan. Bakteria tersebut merebak melalui cecair saluran pernafasan apabila bersin, batuk, berkongsi sudu dan garpu, ciuman dan sebagainya. Sebahagian individu yang terdedah kepada bakteria ini akan mendapat penyakit manakala sebahagian lain pula menjadi pembawa bakteria tersebut.”

Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab, Pensyarah Perubatan dan Penyelidik Kesihatan Jemaah Haji

Bagi Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab pula iaitu pensyarah perubatan dan penyelidik kesihatan jemaah haji, peratusan pembawa kuman meningokokus meningkat daripada 2.6 peratus kepada 53 peratus selepas menunaikan haji.

“Ini bermakna yang menjadi pembawa bakteria meningokokus bukan saja membahayakan diri sendiri malah boleh membawa ancaman kepada orang sekeliling terutama golongan berisiko tinggi seperti yang menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak berusia lima tahun.”

Difahamkan, mengikut garis panduan kerajaan Arab Saudi jemaah perlu menghantar sijil pengesahan pengambilan vaksinasi meningokokus. Sijil ini hanya sah dalam tempoh tiga tahun selepas pengambilan vaksin berkenaan dan perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh ketibaan di tanah suci.

Dua jenis vaksin meningokukus di Malaysia adalah :

  • Vaksin Konjugat Kuadrivalen – memberi perlindungan untuk diri dan keluarga
  • Vaksin Polisakarida Kuadrivalen – memberi perlindungan untuk diri tetapi masih boleh menjadi pembawa kuman dan menyebarkan kuman ini.

Sumber: Immunise4Life

 

IKLAN
Share