Gaya Hidup

PENTING! Jaga Tulang Belakang Untuk Melindungi Saraf, Kalau Tak Mungkin Akan Lumpuh Atau Cacat Kekal

Masalah sakit belakang atau setepatnya merujuk kepada masalah tulang spina di bahagian bawah kerap berlaku di kalangan individu berusia 25-60 tahun. Hampir setiap orang dikatakan akan mengalami satu episod sakit belakang ini sewaktu hayatnya tidak kira lelaki mahupun wanita. Sedarkah anda bahawa setiap kegiatan berat yang dilakukan tanpa berjaga-jaga boleh menyebabkan kesakitan pada tulang belakang kita? Melakukan aktiviti-aktiviti untuk menjaga tulang belakang adalah bagus untuk kebaikan dan kesihatan, malah membuatkan kehidupan harian anda berjalan dengan lebih lancar.

FAKTOR

Terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan sakit belakang. Selain masalah tulang patah, jangkitan kuman, kanser, penuaan, stres atau kekejangan otot, ia juga terjadi akibat faktor-faktor di bawah:

 

  1. Kerap mengangkat barangan berat.
  2. Kurang bersenam.
  3. Posisi badan yang lemah.
  4. Pergerakan mengejut secara tiba-tiba.
  5. Kemalangan
  6. Jatuh dari tempat tinggi.
  7. Kecederaan bersukan.
  8. Wanita yang didatangi haid.
  9. Melahirkan bayi.

 

MELINDUNGI SARAF

Saraf yang sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna. Saraf tunjang masuk dan keluar menerusi lubang foramen di tengah tulang belakang. Ia adalah sebahagian daripada sistem saraf berukuran 45 cm panjang (lelaki) dan 43 cm (wanita). Saiz saraf tunjang hanya sebesar jari manis dan boleh diumpamakan sebagai ‘kabel’ untuk menyampaikan maklumat. Oleh kerana ia sangat sensitif, ia dilindungi tulang belakang supaya tidak mudah mengalami kecederaan yang boleh melumpuhkan sistem penghantaran maklumat.

Walaupun pada kebiasaannya masalah ini tidak serius dan boleh diatasi dengan mudah, namun ia boleh menyebabkan penyakit atau kecederaan yang terjadi pada tulang belakang, atau bagi sesetengah kes yang jarang berlaku iaitu penyakit pelvis dan abdomen. Namun kebanyakan kes kecederaan tulang belakang yang membabitkan saraf tunjang boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lumpuh. Masalah ini tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Kini, penyelidikan sedang giat dijalankan untuk pemulihan pesakit yang disebabkan kecederaan saraf tunjang antaranya suntikan sel stem tetapi ia masih di peringkat kajian ke atas haiwan dan belum diuji ke atas manusia. Terdapat juga kajian yang menggunakan gamat untuk memulihkan kecederaan ke atas saraf tunjang. Pesakit yang menderita masalah ini digalakkan agar tekun menjalani fisioterapi bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.

KAEDAH PENCEGAHAN

  • Sentiasa duduk dengan tegak.
  • Jangan mengangkat barang yang terlalu berat seorang diri.
  • Gunakan otot kaki sewaktu mengangkat beban yang berat.
  • Lakukan senaman yang menguatkan otot di sekeliling tulang belakang.
IKLAN
Share