Ads

Penyakit Buah Pinggang Kronik Di Kalangan Wanita Muda, Ancaman Senyap Yang Ramai Terlepas Pandang!

Penyakit buah pinggang kronik atau Chronic Kidney Disease (CKD) semakin menjadi kebimbangan kesihatan yang sering tidak disedari, khususnya dalam kalangan wanita muda. Ramai wanita hari ini sibuk mengejar kerjaya, membina keluarga dan mengurus kehidupan yang serba pantas.

Namun di sebalik rutin yang padat itu, ada satu penyakit yang sering datang tanpa amaran iaitu penyakit buah pinggang kronik.

Masalahnya, penyakit ini jarang disedari pada peringkat awal. Ia berkembang secara perlahan, hampir tanpa simptom jelas. Sebab itu pakar sering menyifatkannya sebagai ‘ancaman dalam diam’.

Secara global, statistik menunjukkan wanita sebenarnya mempunyai kadar CKD yang sedikit lebih tinggi berbanding lelaki. Prevalensi global mencatatkan 11.8% wanita menghidap CKD berbanding 10.4% lelaki. Di Malaysia pula, angkanya lebih membimbangkan, 14% wanita berbanding 12% lelaki.

Namun ramai wanita muda masih menganggap penyakit buah pinggang sebagai masalah orang tua. Hakikatnya, penyakit buah pinggang kronik boleh bermula jauh lebih awal.

Penyakit Buah Pinggang Kronik Di Kalangan Wanita Muda, Ancaman Senyap Yang Ramai Terlepas Pandang!
Sunway Medical Centre

Kenapa Wanita Muda Perlu Lebih Peka Terhadap Penyakit Buah Pinggang Kronik?

Menurut Dr Rosnawati Binti Yahya, Pakar Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), punca utama penyakit buah pinggang masih berkait rapat dengan masalah metabolik.

“Secara konsisten, kita dapati bahawa faktor utama CKD masih lagi didorong oleh masalah metabolik seperti diabetes dan hipertensi, dan ini menjejaskan lelaki dan wanita dalam jumlah yang hampir sama,” katanya.

Data Malaysian Dialysis and Transplantation Registry 2023 menunjukkan dua punca terbesar kegagalan buah pinggang ialah:

  • Diabetes – 56% kes
  • Hipertensi – 30% kes

Kedua-dua penyakit ini boleh merosakkan buah pinggang secara perlahan selama bertahun-tahun tanpa disedari.

Ramai pesakit hanya mengetahui keadaan mereka apabila fungsi buah pinggang sudah merosot dengan serius, malah ada yang hanya sedar apabila rawatan dialisis perlu dimulakan segera.

“Inilah sebabnya mengapa pemeriksaan awal sangat penting. Tiga peringkat pertama CKD biasanya tidak menunjukkan simptom. Jika anda menunggu sehingga munculnya simptom, anda sebenarnya sudah terlambat,” tegas Dr Rosnawati.

Ads
Penyakit Buah Pinggang Kronik Di Kalangan Wanita Muda, Ancaman Senyap Yang Ramai Terlepas Pandang!
Sunway Medical Centre

Simptom Halus Penyakit Buah Pinggang Kronik Yang Wanita Selalu Abaikan

Salah satu sebab penyakit buah pinggang kronik sukar dikesan adalah kerana simptomnya terlalu mudah disalah tafsir. Ramai wanita menganggap ia sekadar kesan keletihan hidup seharian.

Antara tanda awal yang sering dipandang ringan ialah:

  • Keletihan berpanjangan – sering disalah anggap akibat kerja atau kurang tidur
  • Kelesuan melampau – dikaitkan dengan anemia atau perubahan hormon
  • Kerap kencing waktu malam – dianggap normal selepas bersalin
  • Bengkak pada kaki, buku lali atau muka – disangka hanya masalah penahanan air

Menurut Dr Rosnawati, persepsi ini menyebabkan ramai wanita menangguhkan pemeriksaan.

“Wanita sering menganggap simptom ini sebagai perkara biasa. Mereka menyangka ia berpunca daripada stres, faktor penuaan, atau hormon, dan bukannya penyakit buah pinggang,” katanya.

Beberapa tanda amaran penting (red flags) yang perlu diberi perhatian termasuk:

  • Air kencing berbuih
  • Perubahan warna air kencing
  • Kurang selera makan
  • Loya berpanjangan
  • Tekanan darah tinggi yang sukar dikawal

Penyakit Autoimun dan Risiko Penyakit Buah Pinggang Kronik

Selain diabetes dan hipertensi, wanita juga mempunyai risiko lebih tinggi terhadap penyakit buah pinggang kronik yang berpunca daripada penyakit autoimun.

Antara yang paling dikenali ialah nefritis lupus, komplikasi kepada penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Ads

“SLE kebanyakannya menjejaskan wanita, dengan nisbah wanita berbanding lelaki setinggi 9 kepada 1. Apabila ia melibatkan buah pinggang, kebanyakan kes masih lagi terdiri daripada wanita,” jelas Dr Rosnawati.

Ini bermakna wanita yang mempunyai penyakit autoimun perlu lebih berhati-hati kerana kerosakan buah pinggang boleh berlaku secara agresif.

Faktor Kehidupan Wanita Yang Mempengaruhi Risiko Penyakit Buah Pinggang Kronik

Beberapa fasa kehidupan wanita juga boleh meningkatkan risiko masalah buah pinggang.

1. Kehamilan

Komplikasi seperti preeklampsia dan diabetes gestasi boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik sehingga dua hingga empat kali ganda.

2. Menopaus

Penurunan hormon estrogen mengurangkan perlindungan kepada buah pinggang dan saluran darah.

3. Sindrom Ovari Polikistik (PCOS)

PCOS kini semakin diakui sebagai faktor risiko penting kerana ia berkait dengan:

  • rintangan insulin
  • obesiti
  • sindrom metabolik

Kesemua faktor ini boleh membawa kepada diabetes dan hipertensi pada usia lebih muda.

Ads

Ujian Awal Untuk Mengesan Penyakit Buah Pinggang Kronik

Berita baiknya, penyakit buah pinggang kronik boleh dikesan lebih awal melalui beberapa ujian ringkas. Antaranya:

  • Ujian darah fungsi buah pinggang
  • Ujian protein dalam air kencing (nisbah albumin-kreatinin)
  • Pemeriksaan tekanan darah

Dr Rosnawati menegaskan bahawa pengesanan awal boleh mengubah masa depan pesakit secara signifikan.

“Protein dalam air kencing adalah salah satu tanda awal kerosakan buah pinggang. Pengesanan awal membawa perbezaan yang besar kerana terdapat banyak pilihan rawatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa rawatan awal mampu memperlahankan kemerosotan fungsi buah pinggang.

“Matlamat kami adalah pemeliharaan fungsi buah pinggang. Jika kita dapat mengurangkan kemerosotan fungsi daripada 10% setahun kepada hanya 2%, ramai pesakit mungkin tidak akan memerlukan dialisis.”

Wanita Perlu Berani Utamakan Kesihatan Sendiri

Bagi ramai wanita, menjaga keluarga sering menjadi keutamaan. Namun kesihatan diri sendiri tidak boleh dipinggirkan.

Penyakit buah pinggang kronik jarang memberi amaran jelas pada peringkat awal. Sebab itu pemeriksaan berkala adalah langkah paling bijak. Seperti yang diingatkan oleh Dr Rosnawati:

“Walaupun anda merasa sihat, lakukanlah pemeriksaan. Jangan tunggu simptom muncul. Jika ujian darah anda kelihatan ‘normal’ tetapi anda merasa ada sesuatu yang tidak kena, tanyalah doktor anda mengenai kesihatan buah pinggang anda.”

Kerana pada akhirnya, wanita yang sihat adalah tiang kekuatan keluarga.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/suami-saya-bukan-muda-lagi-azizulhasni-awang-emas-keirin/

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Inspirasi Lain

“Suami Saya Bukan Muda Lagi,” Isteri Datuk Azizulhasni Awang Luah Syukur,...

“Suami Saya Bukan Muda Lagi,” luah isteri Datuk Azizulhasni Awang selepas jaguh berbasikal negara itu merangkul emas keirin di Piala Dunia Trek Perth pada usia 38 tahun.