Perginya SULTAN Berjiwa Rakyat, Pelajar Tahfiz Seluruh PAHANG Turun Doakan Pemergian Baginda!

Nama Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan sentiasa harum mekar sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat. Sepanjang hayatnya dan ketika masih bergelar Sultan Pahang selama 45 tahun, almarhum baginda sultan cukup disegani dan dekat di hati rakyat Pahang kerana keramahan dan keprihatinan baginda menyelami sisi kehidupan rakyatnya.

Dan, berita kemangkatan almarhum baginda Sultan Haji Ahmad Shah semalam… bukan hanya memberi kesan kepada rakyat negeri berkenaan bahkan seluruh negara turut berduka dengan perkhabaran tersebut.

Mengimbas kembali jiwa mesra rakyat Sultan Haji Ahmad Shah, baginda sultan menjadi antara kerabat diraja terawal yang ‘menyinsing seluar’ mencemar duli melawat daerah di Pahang setiap kali rakyat jelata dilanda musibah seperti bencana banjir di samping sudi mendengar keluh resah penduduk di sana.

Seperti yang dilaporkan semalam, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi dalam usia 89 tahun.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang Kelima pada 7 Mei 1974 dan merupakan ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Sultan Haji Ahmad Shah diputerakan pada tanggal 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang dan merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Baginda sultan mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada  29 Jun 1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1998 dan dikurniakan seorang putera iaitu Tengku Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah.

Sultanah Hajah Kalsom (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong serta kaum kerabat diraja

Jenazah almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa ke Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan di Pahang kira-kira jam 9.20 malam tadi. Jenazah siap dikafankan bersemayam di tengah Balairong Seri Istana Abu Bakar untuk penghormatan terakhir.

Sebaik jenazah tiba, pelajar tahfiz dari seluruh negeri Pahang hadir mendoakan dan membacakan Surah Yaasiin selepas Solat Jenazah di persada Balairong Seri Istana Abu Bakar bersama kerabat diraja dan para jemaah.

Selain kaum kerabat diraja… orang ramai juga diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada almarhum baginda sultan sehingga jam 9 pagi tadi. Sementara pada jam 11 pagi ini pula, masa penghormatan terakhir bagi orang kenamaan dan kerabat.

Usai penghormatan terakhir itu nanti jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di Pekan untuk dimakamkan di Makam Diraja selepas solat Zohor.

 

Sumber: BERNAMA

 

 

IKLAN
Share