Gaya Hidup

Peringatan Untuk Lelaki 40 Tahun Ke Atas, Kanser Kolorektal Masih Menjadi PEMBUNUH UTAMA Kaum Adam

Kanser kolorektal merujuk kepada gabungan kanser kolon dan rektal, yang bermula dalam usus atau rektum, iaitu bahagian akhir usus besar yang menyimpan bahan buangan sebelum dinyahkan sebagai najis.

Ia terjadi apabila sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor, seterusnya menyekat laluan usus dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun lamanya, tetapi ramai membiarkannya berlaku meskipun pelbagai simptom berlaku.

Jika pada awalnya, kesakitan yang dialami sering ditakrif sebagai buasir. Mungkin kerana kedudukannya terletak di luar dubur atau di hujung salur najis, membengkak dan tersembul keluar bagaikan ketumbuhan yang menakutkan.

Malah simptom buasir seperti sukar membuang air besar, rasa tidak puas selepas berkali-kali ke tandas dan najis berdarah juga mungkin menjadi petanda awal penyakit lain seperti kanser kolorektal. Namun begitu, buasir BUKAN penyebab kanser kolorektal dan ia tiada kaitan dengan penyakit berbahaya itu.

Simptom-simptom lain termasuklah:

  • najis berdarah, berwarna gelap dan bercampur lendir,
  • perubahan pada bentuk najis,
  • perubahan pada tabiat membuang air besar seperti cirit-birit dan sembelit,
  • perut memulas, rasa kurang selesa, kembung, senak atau sebu,
  • terasa asyik hendak buang air besar walaupun telah berbuat demikian,
  • hilang selera makan, kerap muntah dan berat merosot tanpa sebab,
  • sentiasa rasa penat dan lesu,
  • pada keadaan serius, pesakit tidak boleh membuang air besar langsung kerana bengkak pada rektum menghalang laluan keluar najis.

FAKTOR RISIKO

(a) UMUR

Kebarangkalian meningkat kepada golongan selepas 50 tahun. Lebih 90% kes kanser kolorektal di Malaysia membabitkan pesakit berusia 40 tahun ke atas.

(b) SEJARAH KETURUNAN

Individu yang mempunyai ahli keluarga penghidap penyakit radang usus atau kanser kolorektal juga berisiko mengalami penyakit yang sama. Malah bagi wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus juga boleh mendapat kanser kolorektal.

(c) POLIP

Kebanyakan kanser kolorektal bermula dengan polip (ketumbuhan) yang tumbuh pada dinding usus besar, seterusnya membesar menjadi kanser. Jika ia sempat dikesan, polip ini akan dibuang, walaupun pada asalnya ia tidak berbahaya.

(d) PEMAKANAN

Pemakanan yang kaya lemak dan kurang serat juga dikatakan boleh menyumbang kepada risiko kanser usus.

(e) ROKOK & ALKOHOL

Aktiviti merokok meningkatkan risiko pembentukan polip, manakala pengambilan alkohol berupaya mengaktifkan sel barah.

(f) OBESITI

Individu yang kurang bersenam dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat kanser.

RAWATAN

Pesakit disarankan agar menjalani ujian diagnosis meskipun tidak mengalami tanda-tanda penyakit yang jelas. Antaranya dengan melakukan ujian darah pada najis, sigmoidoskopi, kolonoskopi (menggunakan alat bercahaya fiberoptik mudah lentur melalui dubur) dan enema barium.

Walaupun kanser kolorektal dapat diselamatkan menerusi pembedahan (dikenali kolostomi untuk membuang ketumbuhan, sebahagian usus dan nodus limfa berhampiran) kemoterapi dan radioterapi, berusahalah untuk mencegahnya dengan mengamalkan pemakanan kaya serat seperti buah-buahan, sayuran dan bijirin.

Elakkan mengambil makanan tinggi lemak terutamanya daging merah dan kekalkan berat badan yang seimbang. Selain itu, lakukan senaman secara tetap sekurangnya 30 minit untuk lima kali seminggu. Rosmah Idayu Abu Samah

IKLAN
Share