Siapa yang tak kenal dengan figura bernama Mila Jirin ini. Saat ramai yang menjangkakan kariernya sebagai penyanyi terus bersinar selepas memenangi program realiti Akademi Fantasia, rezeki anak jati kelahiran Pulau Pinang ini rupa-rupanya lebih menyerlah dalam bidang perniagaan.
Apatah lagi, Mila mempunyai seorang suami yang berpandangan jauh dan ‘otak bisnes’!
Meskipun layak digelar jutawan namun selebriti ini cukup merendah diri dan sentiasa mencari peluang perniagaan baru demi memajukan lagi perusahaan Bizmilla.
Difahamkan sepanjang hampir 12 tahun membina Bizmilla, Mila dan suami kini memiliki 20 dewan banquet dengan lebih 250 pekerja dan bayaran gaji mencecah hampir RM1 juta sebulan!
Berkongsi sisi kejayaan dan kesukaran yang pernah dilalui, Mila atau nama penuhnya Norsyarmila Jirin meluahkan rasa syukur atas perancangan sempurna Allah SWT terhadap dirinya.
Walau pernah sedih kerana tidak mampu melanjutkan pengajian di universiti dan cita-cita bergelar arkitek tidak kesampaian namun hari ini Mila merupakan salah seorang usahawan wanita sukses tanah air.
Dedahnya, “Dulu aku bercita-cita nak jadi jadi engineer. Nak jadi arkitek. Masa sekolah teknik, aku belajar AutoCAD dan lukisan kejuruteraan.
Pernah lukis floor plan ala budak sekolah. ‘Rumah Idaman buat Mak & Ayah’ atas kertas LK. Tapi lukisan tu hilang dan sampai hari ni aku masih ingat dan rindu.
Lepas habis sekolah, aku tak sambung universiti. Masa tu kecewa. Tapi Allah Maha Baik. Allah bawa aku ke ‘universiti kehidupan’. Belajar dari kerja, pengalaman, jatuh bangun.
Ads
Tanpa sedar, hari ini aku dah design 20 banquet hall Bizmilla Wedding Centre. Dari lukisan kasar, brainstorming dengan arkitek, 3D drawing, pilih kontraktor, susun material, furniture, banquet equipment, interior exterior plan, hingga ke bahagian yang aku paling suka – concept decoration.
Bahagian paling mencabar tapi paling memuaskan bila jadi realiti.
Aku selalu pesan pada diri, ‘Kalau Allah tak bagi jalan yang kita rancang, Allah sedang bawa aku ke jalan yang lebih indah.’
Ads
Dan hari ini, aku bangga jadi ‘arkitek impian’ untuk client-client yang nak bina majlis terindah di Bizmilla. Setiap dewan kami bukan sekadar bangunan, tapi ruang untuk impian jadi kenyataan.”
Mila Jirin mendirikan rumah tangga dengan suami yang juga bekas pengurusnya Ahmad Ailis Mohamed Mustapha atau dikenali sebagai Isz Mustapha pada November 2015.
Hasil perkongsian hidup selama sedekad, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohd Arif Zikri.
Moga kejayaan yang diraih Mila dengan dibantu bersama suami tercinta ini menjadi inspirasi dan suntikan semangat buat lebih ramai wanita untuk turut sama berjaya seperti personaliti ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Vie Shantie Haroon sememangnya seorang wanita hebat dan wajar dijadikan inspirasi. Berusia 37 tahun kejayaan anak kelahiran Sabah ini bukan calang-calang kerana selain mengusahakan cabang bisnes muslimah VHijrah, dia juga usahawan arang batu yang berjaya menjalin kerjasama hingga ke luar negara.
Buat pertama kali pada Oktober tahun lalu Vie Shantie mendedahkan kepada umum mengenai perusahaan miliknya yang mendapat kontrak perdagangan arang batu di antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan China selama 15 tahun.
Tak sampai setahun, satu lagi pencapaian membanggakan diraih wanita cantik ini apabila dia menandatangani perjanjian persefahaman dengan salah sebuah syarikat perlombongan dan pembinaan terbesar di dunia pada awal September lepas!
Berkongsi khabar gembira itu di media sosial, Vie mendedahkan, “Siapa sangka seorang yang hanya membesar di kampung Pulau Simpangan, Tuaran, Sabah hari ini menandatangani satu lagi perjanjian usahasama syarikat gergasi contractor and mining di antara terbesar di dunia.
Kalau tidak kerana Allah yang memberi rezeki dan menyampaikan semuanya sesuai pada masa yang telah DIA tetapkan, saya pun masih lagi terasa semua bagaikan mimpi di siang hari.
Inilah perjuangan yang telah saya cita-citakan dan kerjaya yang saya telah usahakan selama bertahun-tahun bermusafir di negara orang. Ini bukan hanya untuk company
kami semata, tetapi untuk membantu masyarakat setempat dan pertubuhan ekonomi di daerah, bandar dan negeri terlibat dalam struktur mining hasil dari kerjasama syarikat
kami dengan beberapa syarikat local di Indonesia, inshaAllah.”
Kehadiran Vie Shantie ke China baru-baru ini turut ditemani suami tercinta yang juga ahli politik serta rakan niaganya, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.
“Duduk berlatarbelakangkan ‘POWERCHINA sign‘ di belakang dan di sisi ada suami yang merupakan rakan business saya dalam perniagaan merupakan suatu rahmat yang luar
biasa dari Allah SWT dalam kehidupan ini.
Di suatu sisi, semua ini bukanlah suatu usaha yang senang dikerjakan. Langsung tidak mengharapkan sebarang pujian dari sesiapa melainkan hanya ingin kongsikan sesuatu
agar bisa menyuntik semangat anak muda agar selalu bekerja keras selagi hayat di kandung badan.
Syukur alhamdulillah semoga perjanjian hasil kerjasama Syarikat Powerchina, Indonesia, Malaysia dan Hong Kong ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi dan sekaligus
mengurangkan pengangguran anak muda di daerah operation mining kami nanti.”
Bukan hanya satu MoU berjaya ditandatangani sebaliknya Vie Shantie meraih tiga perjanjian kerjasama dengan syarikat besar di China. “Hampir 10 hari kami di sini. Bukan hanya 1 tapi 3 Syarikat Gergasi China telah menandatangani perjanjian kerjasama bersama syarikat kami dalam sektor perkapalan dan perkilangan (Shipping & Glass Factory), perlombongan (Mining) dan pembelian (Buyer).
Khabarnya, Vie Shantie sudah pun terlibat dengan perusahaan ini sejak sedekad yang lalu. Vie Shantie berkahwin dengan Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Vie Raissa.
Terdahulu, dia pernah berkahwin dengan Dato’ Sri Eizlan Yusof dan mempunyai tiga anak iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.
Melihat pengorbanan ratu hati kesayangan yang juga seorang ibu tunggal membesarkan tiga anak sejak kecil banyak mengajar Mimi Fly mengenai erti kehidupan.
Ketabahan dan kecekalan ibu tersayang, Ramlah Md Jalee turut mempengaruhi peribadi penyanyi ini. Sekaligus membentuk dirinya menjadi seorang yang kental dalam melalui liku-liku kehidupan.
Apatah lagi, ibunya merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Namun itu tidak menghalang Ramlah untuk menamatkan pengajian dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Malaya (UM).
Mimi atau nama penuhnya Shamimi Amalina yang meniti usia 40 tahun kian matang melayari kehidupan. Dalam temu bual bersama Nona sempena Hari Ibu kira-kira dua tahun lalu, Mimi akui kagum dengan semangat ibunya dan memilih untuk tinggal bersama insan istimewa ini.
Dia yang kini merupakan guru kelas tarian dan yoga meluahkan rasa gembira kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada golongan ibu tunggal.
“Saya buat kelas menari, kelas yoga. Memang khas yang datang tu daripada single mothers. Saya rasa ada purpose buat kelas macam ni. Mereka luangkan masa untuk jaga diri. Mereka tahu betapa pentingnya jaga diri dan mental supaya kita boleh menangani cabaran yang ada.”
Tambahnya lagi, “Tahun ini dekat tiga tahun saya duduk dengan Mama. Tiap hari tengok dia, boleh bangun tengok bilik dia, boleh masak-masak sama, gosok belakang dia, boleh belikan dia makanan.
Benda kita buat dekat ibu kita, apa saja keikhlasan kepada mereka, ia akan datang balik kepada kita. Mimi sangat sayangkan Mama Mimi. Kalau tak kerana dia, saya tak rasa saya dapat ada di sini sekarang.”
Bersandarkan jiwa cekal dan sikap optimis Ramlah Md Jalee menempuh kehidupan, dia pernah merangkul Anugerah Ibu Gemilang 2018, Anugerah Seri Nona, Anugerah Tokoh Negeri Selangor, Tokoh Hari Pekerja OKU dan The Life Begins at 50 Seniors Festival pada September 2024.
Bukan itu saja, ibu kesayangan Mimi Fly ini juga pernah menjadi penulis skrip bebas untuk drama tempatan, penyunting skrip drama untuk televisyen mahupun radio.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.