Pernah Diejek ‘Bai Jual Kain’, Kini Dia USAHAWAN Kain Renda Berjaya! Malah Jadi Buruan Pereka Fesyen Ternama

Siapa sangka niat berniaga yang pada mulanya sekadar mengisi masa lapang kini menjadi kerjaya pilihan Joomizan Noordin. Tidak pernah terfikir untuk mempunyai perniagaan sendiri jauh sekali bergelar usahawan, Joomizan atau lebih selesa disapa Jue tertarik mendalami ilmu keusahawanan sebaik mengetahui bisnes fabrik yang dijalankan lebih dua tahun lalu memberi pulangan menguntungkan dalam masa singkat.

Biarpun waktu itu dia sedang menjawat tugas sebagai Jurutera Awam di sektor kerajaan, Jue mengambil keputusan melepaskan pekerjaan tersebut setelah mendalami potensi perniagaan berkenaan di samping mendapat sokongan padu suami tercinta, Muhammad Lutfi Zauikefli.

Tatkala ditanya tidakkah dia rindu untuk kembali menjadi jurutera, Jue tanpa berselindung mengakui agak sukar melepaskan karier selama lima tahun itu memandangkan ia adalah pekerjaan pertamanya selepas tamat pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Hidraulik dan Hidrologi dari Universiti Teknologi Malaysia. Namun dek kerana mahu mencari bidang yang mampu memberi kepuasan diri, beliau nekad memberi sepenuh perhatian dalam perniagaan.

“Sayang juga tinggalkan kerjaya dulu. Malah, ibu, keluarga dan rakan terdekat pun terkejut dan mempersoalkan keputusan saya untuk buat bisnes ini sepenuh masa. Iyalah, belajar tinggi-tinggi tapi end up jual kain. Saya tiada pilihan lain sebab perniagaan ini perlukan pemantauan lebih-lebih lagi ketika permintaan terhadap kain renda semakin meningkat.

Halangan daripada keluarga terutama ibu menjadi cabaran terbesar saya setakat ini. Ibu lebih suka tengok saya bekerja sebagai jurutera sebab ada kerja tetap dan berpencen. Tapi bagi saya kalau kerja makan gaji saja graf hidup seperti mendatar. Lain pula kalau sudah berniaga pasti ada naik dan turun. Jadi bila jatuh kita sedar tak akan selamanya kita di atas dan bermunasabah diri.

Saya bukanlah seorang yang meminati bidang bisnes sejak kecil. Namun, setelah mencuba dan yakin bidang ini sesuai dengan diri saya, saya akan pastikan ia dibuat sehabis baik. Boleh dikatakan pendorong utama saya adalah bisnes ini sendiri dan suami yang sentiasa beri semangat dalam apa jua yang saya lakukan. Saya juga suka mencabar diri untuk mendapatkan sesuatu. Jika berjaya saya akan puas dan itulah nilai kepuasan sebenar.”

Menepis kata-kata sindiran yang dilemparkan terhadapnya ketika sedang berjinak-jinak dalam industri ini, Jue tidak pernah menganggap tohmahan berkenaan sebagai halangan untuk berjaya sebaliknya mengambil perkara tersebut sebagai suntikan semangat bagi membuktikan keupayaan diri.

“Saya pernah digelar ‘bai jual kain’ masa mula-mula berniaga. Bagi mereka penjual kain seperti saya tidak ada beza seperti peniaga bangsa asing yang menjual dari rumah ke rumah. Tipulah kalau saya tak sedih. Sampai sekarang pun saya masih ingat lagi ejekan itu. Saya anggap ia sebagai cabaran. Ya, memang saya umpama ‘bai jual kain’ tapi penjual kain alaf baru. Aliran tunai saya tidak berhenti walaupun saya sedang tidur sebab perniagaan online ini tak ada waktu operasi. 24 jam kedai saya dibuka. Waktu itu berdiam diri adalah jalan terbaik walau pun kadang kala saya menangis dengan ujian yang diberi.

Allah itu Maha Adil. Dia kembali buat saya gembira bila perniagaan semakin maju setiap tahun dan bukakan pintu rezeki buat saya sekeluarga. Daripada perniagaan juga saya belajar jadi seorang yang bersyukur dengan setiap rezeki yang Allah kurniakan. Saya rasa lebih dekat dengan-Nya, menghargai masa dan berdisiplin dalam pelbagai segi. Itu yang saya harapkan sebelum ini,” ungkap anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini yang mengambil label perusahaan Jizanly KL sempena singkatan namanya.

 

IKLAN
Share