Pernah Digelar ‘Big Friendly Giant’, ILI SULAIMAN Tak Peduli Ejekan! Curvy Girls Ada Keistimewaan Tersendiri

PERNAH DIGELAR BIG FRIENDLY GIANT (BFG)

Melihat penampilan dirinya yang sentiasa ceria dan penuh senyuman, ia sekaligus memberikan aura positif untuk individu yang berada di sekelilingnya. Positif dan penuh bertenaga terutamanya ketika bercerita soal kerjaya dan perniagaan yang diusahakan menjadikan nama Ili Sulaiman sebaris dengan cef selebriti yang lain.

Faktor tubuh gempal tidak sesekali menjadi penghalang untuk Ili memajukan dirinya baik dalam bidang perniagaan mahupun bidang masakan yang amat dicintainya itu. Mula dikenali di kaca televisyen melalui rancangan memasak dikenali sebagai Diari Mangkuk Tingkat, populariti Khalisah Sulaiman semakin dikenali.

Namun sebelum muncul sebagai cef selebriti, Ili terlebih dahulu menceburkan diri dalam dunia perniagaan makanan iaitu servis penghantaran makanan ke rumah menggunakan mangkuk tingkat klasik, Ili meneruskan momentum dengan menghoskan rancangan sendiri antaranya termasuklah By The Sea menerusi saluran Asia Food Channel atau AFC, Home Cooked dan sebagainya. Menambahkan resume dalam kejayaan peribadinya, Ili memenangi program Food Hero terbitan Asian Food Channel dan Food Network .Lebih manis, walaupun masih baru dalam lapangan masakan, Ili berjaya menjuarai pertandingan itu.

Soal tubuh besar bukanlah perkara yang boleh menjatuhkan keyakinan diri anak jati dari Kuala Lumpur ini memandangkan dirinya mewarisi genetik keluarga yang sememangnya mempunyai saiz tubuh yang besar baik dari ibu serta bapanya. Namun begitu, pemegang Ijazah Perniagaan dari Queen Mary University of London, England, ini menganggap ia sebagai kelebihan untuk dirinya dan bangga dengan bentuk tubuh dimilikinya.

“Pada pandangan saya, curvy girls mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri. Apa yang penting, mereka perlu bijak memilih pakaian yang bersesuaian dengan bentuk tubuh supaya tidak nampak tidak selesa dan penampilan yang kurang menarik,” ujar Ili yang memandang positif dalam soal penampilan diri.

Tambah Ili lagi, ketika berada di zaman persekolahan, dia pernah digelar Big Friendly Giant (BFG) lantaran saiz tubuhnya yang berbeza dari rakan-rakan sebaya. Namun bagi Ili, didikan keluarga yang memberi dorongan untuk dirinya sentiasa berfikiran positif menjadikan ‘gelaran’ tersebut sesuatu yang terpencil dan tidak berkudis di hatinya.

“Ketika di zaman persekolahan, gelaran BFG diberikan kepada saya memandangkan saiz tubuh yang berbeza dengan rakan sebaya. Jika beratur di dalam barisan juga, saya akan berdiri di belakang sekali kerana lebih besar dari rakan sebaya. Tetapi gelaran tersebut tidak sedikitpun terkesan di hati kerana ibu bapa saya menerapkan nilai positif dalam diri sejak kecil lagi.

Ibu adalah contoh terbaik buat Ili yang dibesarkan di dalam keluarga multi rational. Jadi, kami lebih berfikiran terbuka dan berbincang antara satu sama lain,” sambung Ili yang gemarkan gaya yang ringkas dalam berfesyen.

Ili turut berkongsi beberapa tips fesyen yang sesuai untuk wanita yang mempunyai susuk tubuh sepertinya. Menurut Ili, antara tips fesyen yang diamalkannya termasuklah memilih aksesori yang minimalis dan tidak sarat kerana ia bakal menyebabkan seseorang nampak lebih besar dari saiz badan sebenar.

“Ili sarankan setiap individu ketahui bentuk tubuh masing-masing kerana tubuh manusia akan mengalami perubahan dan pengetahuan mengenai tahap kesihatan amat penting untuk memastikan tubuh yang gempal mahupun kurus berada pada kesihatan yang baik.”

 

MEMASAK BUKTI KEJAYAAN

Menurut anak tunggal ini lagi, stigma wanita bertubuh gempal sering dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang perlu ditepis kerana ia merupakan persepsi yang bukan sahaja menjatuhkan reputasi wanita bertubuh gempal, malah ia boleh memberi gambaran negatif terhadap fizikal seseorang yang berbeza di antara satu sama lain.

“Pada pandangan saya, stigma tersebut perlu diubah kerana tidak guna mempunyai aura negatif yang hanya akan merosakkan diri sendiri. Bagi diri saya sendiri, dunia masakan bukan perkara yang asing kerana sejak kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan aktiviti di dapur seperti memotong sayur, memasak, membuat kek dan menyediakan masakan oleh ibu, Khalilah Mitchell, Walaupun saya anak tunggal, ibu dan ayah memiliki keluarga yang besar. Kami selalu mengadakan aktiviti rewang jika terdapat majlis kesyukuran atau sambutan hari jadi.

Tambahan pula, ibu dan nenek memang handal bab memasak. Jadi, sedikit sebanyak bakat itu turun kepada saya,” ujar Ili sambil memberitahu, dia menggemari masakan tulang rusuk lembu bersama mangga yang disediakan oleh ibu tersayang.

Mengimbas kembali bagaimana dirinya melibatkan diri dalam dunia masakan, menurut Ili, sebaik menamatkan pengajian peluang bekerja di sebuah restoran mewah di London iaitu Restoran Mosimann merupakan pembuka jalan untuk dirinya menceburkan diri dalam bidang yang digemarinya itu. sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.

“Sepanjang tiga tahun bekerja di restoran itu, saya berpeluang menjadi sebahagian daripada kru majlis makan malam untuk pasangan diraja Britain iaitu Putera William dan isterinya, Kate Middleton di Istana Buckingham. Pengalaman bekerja itu menambah keyakinan saya untuk menceburi bidang masakan setelah pulang ke tanah air,” ujar Ili yang bersyukur keputusannya itu mendapat sokongan penuh dari bapa tersayang, Sulaiman Abu Bakar.

Sejurus pulang ke Malaysia pada tahun 2014, Ili mengusahakan perniagaan menjual makanan siap dimasak menerusi Instagram, Dish by Ili pada Julai tahun yang sama. Lebih istimewa, makanan itu dijual di dalam mangkuk tingkat yang boleh dikongsi lebih dari seorang.

“Mangkuk tingkat adalah bekas aluminium bulat berisi makanan yang diletakkan secara bertingkat-tingkat. Ia lazimnya digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk membawa bekal makanan ke tempat kerja atau sekolah. Ili gembira kerana usaha ini sekaligus dapat memartabatkan penggunaan mangkuk tingkat yang diwarisi dari zaman ke zaman dan menggalakkan setiap individu membawa bekalan ke sekolah mahupun ke tempat kerja”

Tambah Ili lagi, melalui pengenalan hidangan di dalam mangkuk tingkat juga membuka ruang rezeki untuk dirinya bergelar cef selebriti apabila dilamar Astro Ria menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili pada Februari 2015 yang lalu.

“Ili rasa puas dapat menyumbang sesuatu untuk masyarakat melalui makanan. Jelas ia mendekatkan antara satu sama lain dan meletakkan soal saiz tubuh jauh dari persepsi negatif. Apa yang penting, kesihatan tetap diberi keutamaan,” ujar Ili seraya mengakhiri perbualan.

IKLAN
Share