Keperibadian Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah sememangnya menarik perhatian rakyat. Beliau bukan hanya aktif menjayakan aktiviti pemuliharaan alam sekitar, membantu golongan kurang bernasib baik dan mengekang gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah. Malah cukup mengambil
berat isu pendidikan. Dikenali sebagai puteri diraja Selangor berjiwa penyayang dan gemar membaca, YAM Tengku Zatashah ketika sambutan Hari Guru yang lalu terbuka berkongsi sisi peribadi kepada masyarakat.
Siapa sangka, selain bergelar aktivis beliau juga pernah mempunyai pengalaman mengajar! Ujar Tengku Zatashah, “Dan kerana ia adalah Hari Guru, saya kongsikan memori ketika pertama kali melawat kanak-kanak di flat PPR. Saya berpeluang membacakan buku ilustrasi berkisar cerita rakyat Melayu kepada kanak-kanak di sini.
Mungkin ramai di antara anda yang masih tidak tahu yang saya sebenarnya merupakan guru Bahasa Inggeris bertauliah dan menerima CELTA (Cambridge Certificate in Teaching English To Speakers of Other Languages) dari British Council KL dengan high pass B. My course was to teach real students from beginners to intermediate level English and my own teachers would be evaluating me. One of the most interesting and rewarding experiences I’ve been through. Sadly, they no longer offer this course. Grateful I manage to do it. So, to all the teachers out there, I salute you!”
YAM Tengku ZatashahMembaca buku untuk kanak-kanak ketika melawat flat PPRPelajar sekolah cukup dekat di hati puteri diraja ini
Ads
Tambah Tengku Zatashah lagi, “Saya sangat mengagumi usaha keras para guru dalam merancang pembelajaran, mencipta keseoronokan belajar dan melakukan latih tubi
bergambar untuk memberi motivasi kepada pelajar di samping menjaga setiap murid. Kepada semua guru di luar sana, terus memberi inspirasi dan motivasi kepada anak bangsa
terutamanya ketika lockdown ini, pasti ia bukan tugas mudah.
Saya suka menggunakan pendedahan mengajar anak-anak ini dengan memotivasikan mereka untuk rajin membaca dan gigih berusaha. Saya terangkan kepada mereka bahawa lagi banyak anda berusaha dan belajar bersungguh-sungguh, lagi banyak ganjaran yang akan diperoleh. Anak-anak ini menganggap guru mereka sebagai salah seorang insan penting dalam hidup mereka, dengar cakap mereka sebab motivasi guru inilah yang bakal memberi perubahan besar dalam hidup anda.”
Ads
Penglibatan Tengku Zatashah dalam badan kebajikan bukan lagi rahsia. Ada sahaja peluang untuk membantu golongan kanak-kanak, kurang berkemampuan dan warga emas pasti kelibatnya muncul dalam aktiviti kemasyarakatan sedemikian. Termasuklah pelindungan bagi hidupan liar dan laut yang kini diancam kematian akibat pencemaran.
Sebelum ini beliau pernah terlibat dan masih aktif menyertai kempen Zero Food Wastage, Women Empowerment, No Bully, dan Save Wild Life. Moga usaha murni Tengku Zatashah melindungi kebajikan semua pihak termasuk haiwan mencetus inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkah beliau.
Ads
Dalam pada itu, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 YAM Tengku Zatashah turut menghadkan pergerakan dan hanya duduk di rumah dengan menghabiskan masa membaca buku kegemaran beliau. Tanggal 12 Oktober lepas ialah ulang tahun keputeraan Tengku Zatashah yang ke-47. Tak sangka puteri diraja ini sudah meniti usia lewat 40an. Memang nampak awet muda! Mungkin sebab Tengku Zatashah sangat mementingkan gaya hidup aktif dan sihat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat wanita yang baharu sahaja menginjak usia 32 tahun ini. Memulakan perniagaan tudung hanya dengan modal RM500 kini pemilik nama sebenar Nurul Fareha Anuar ini mampu tersenyum bangga apabila telah melahirkan sebuah lagi perniagaan iaitu emas.
Foto: Instagram @cikfa.fareha
Pemilik jenama tudung Fareha by Cik Fa ini telah mengorak langkah menceburi bisnes emas dan melaburkan RM10 juta bagi membuka rangkaian kedai emas pertamanya, Emas Fareha. “Wanita sudah semestinya menjadi fokus utama saya dalam perniagaan. Seperti wanita lain saya juga menyukai emas sebab itu tagline kami, Emas adalah Cinta Hati Wanita,” tutur wanita yang mesra disapa Cik Fa ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Sudah pasti Emas Fareha ini mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga ramai peminat emas beratur panjang seawal lagi di hari pembukaan kedai emas ini. “Di Emas Fareha, kami begitu menitik-beratkan soal kualiti dan layanan yang terbaik.
Rekaan emas di sini juga memenuhi cita rasa pelanggan serta harga ditawarkan kepada pelanggan juga lebih rendah,” tutur isteri kepada Mohd Yusri Mohd Yusoff ini saat ditemui di kedai emas pertamanya di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.
Foto: Instagram @cikfa.fareha
Menurut Cik Fa, sewaktu memulakan perniagaan dia langsung tidak mempunyai ilmu berniaga. Mujur suaminya ada di sisi untuk membantu dalam pengurusan kewangan dan perniagaan.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Wanita kelahiran negeri Kelantan ini mengembangkan perniagaan tudungnya bersama ejen dan dropship. “Di Fareha, kami juga mempunyai sistem stokis, ejen dan dropship. Setiap dropship misalnya akan mendapat keuntungan sebanyak RM5 melalui setiap helaian yang dijual. Mereka juga diberikan bahan pemasaran untuk disebarkan di media sosial dan tidak perlu menyimpan stok,” ujarnya yang bakal membuka peluang kepada 250 orang ejen untuk Emas Fareha.
Foto: Instagram @cikfa.fareha
Apabila ditanya tentang rancangan masa depan, “Untk perancangan masa depan, saya berhasrat membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara selain mengekuarkan rekaan emas sendiri yang eksklusif dalam tempoh lima tahun ini. Saya juga berharap Emas Fareha akan maju seperti perniagaan tudung bahkan memberi keuntungan yang bergandaagar boleh diwarisi kepada anak-anak kelak,” ujar ibu kepada seorang anak ini.
Foto: Instagram @cikfa.fareha
Sempat meninggalkan pesan buat para wanita, Cik Fa menegaskan wanita perlu berdikari. “Sebagai wanita, kita jangan terlalu bergantung pada suami. Mulakan perniagaan dengan modal yang ada dalam tangan. Kalau sikit, sikitlah. Usaha adalah kunci untuk dapat ekstra. Andai kita naik terlalu mudah, maka kita juga akan jatuh dengan mudah. Potensi untuk jatuh sangat tinggi.” katanya penuh semangat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ruzaini Jamil dan Nurul Hidayati Yahaya antara pasangan suami isteri yang sangat humble biarpun dikenali ramai.
Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki yang sangat comel bernama Rahil yang kini berusia dua tahun.
Untuk info, pasangan ini bernikah pada 5 Februari 2016. Maka tahun ini genaplah usia perkahwinan mereka yang ke-7 tahun.
Isteri kepada Ruzaini yang mesra digelar sebagai Ida, merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah kementerian.
Baru-baru ini Ruzaini yang merupakan pereka duo tersohor, Rizman Ruzaini telah memuat naik satu hantaran di Instagram, momen bahagianya bersama isteri ketika meraikan ulang tahun perkahwinan mereka di sebuah pulau.
Tulis Ruzaini di ruangan kapsyen: –
“05.02.2023 genap 7 tahun akad dilafaz menerima @ida_deqda untuk menjadi penyeri dalam rumahtangga. Alhamdulillah tahun ke-5 pula dikurniakan seorang imam kecil penyeri rumahtangga kami.”
Kongsi Ruzaini, ulang tahun perkahwinan mereka kali ini cukup istimewa kerana berpeluang meraikannya di sebuah pulau yang mereka sendiri belum pernah jejaki sebelum ini.
“Anniversary kali ini diberi rezeki untuk sambut di sebuah pulau yang kami berdua tak pernah sampai. SubhanAllah untuk pemandangan yang indah, seindah hati kami yang berbunga-bunga nak sambut anniversary di sini. Sempat la bergambar berdua, curi-curi lari dari si kecil @rahilruzaini”
Ruzaini juga berharap agar perkahwinan mereka kekal sampai ke akhir hayat.
Dia turut berterima kasih kepada isteri tercintanya itu atas segala pengorbanan dan kesabaran di kala susah mahupun senang.
“Hampir sedekad hidup bersama. Terima kasih untuk setiap detik pengorbanan, penat lelah, kesabaran dan pertolongan dalam susah mahupun senang.
“Semoga perkahwinan kita kekal abadi sehingga ke akhir hayat dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT.”
Menjengah ruangan komen, rata-rata para pengikut pasangan ini menitipkan ucapan anniversary buat mereka. Tak kurang juga, ada yang memuji penampilan isteri Ruzaini yang sopan.
“Salam dan Selamat Menyambut Anniversary bersama. Always looking fwd to see u and your wife photos together. Love how her santun and her adab in dressing. Semoga kasih sayang bersama menjadi asbab kebaikan hingga ke Jannah.
“Happy anniversary to ruzaini & ida”
“Happy anniversary wan & ida @ida_deqda. Semoga sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT dunia & akhirat”
Semoga Ruzaini sekeluarga kekal bahagia selamanya sampai syurga.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.