Pernah Sertai HERO REMAJA, Jejaka Keturunan Dusun-Idahan Ini Bangga Bergelar Makeup Artist Profesional

Anak muda berusia 28 tahun dari suku kaum Dusun-Idahan ini seorang yang berjiwa halus dan kreatif. Biarpun menceburi bidang kerjaya yang sinonim dengan kaum Hawa tetapi demi minat anak jati Lahad Datu, Sabah ini yang dikenali sebagai Azmier Hisyamuqris Juadio Mading kini bukan saja terkenal di negeri kelahirannya bahkan di Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

Ketika menyolek Dr Katalina.

Solekan ‘mahalnya’ sering menjadi pilihan golongan kenamaan serta selebriti terkenal antaranya Puan Sri Nisa Bakri, Datuk Khatijah Ibrahim, Diana Danielle, Erni Zakri, Zizi Kirana, supermodel tersohor Amber Chia, Fatiya Latiff dan selebriti dari Indonesia Randy Pangalila.

Puan Sri Nisa Bakri.
Datuk Khatijah Ibrahim.
Diana Danielle.
Supermodel tersohor Amber Chia.
Fatiya Latiff.

Biarpun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun anak bongsu dari 4 beradik yang mesra disapa sebagai Azmier ini seorang yang berjiwa ‘besi’. Antara anugerah yang pernah diterimanya ialah Makeup Artist Terbaik AVON Malaysia 2014, Celebrity Makeup Artist Malaysia 2017, dan Makeup Trainer Miss Grand Sabah/Malaysia 2020/2021.

“Sebelum bergelar makeup artist saya pernah berkerja sebagai juruwang di sebuah restoran makanan segera. Pada masa sama, saya pernah mencuba nasib menyertai pertandingan Hero Remaja tapi tiada rezeki.

Saya mula berjinak-jinak dalam bidang solekan sekitar tahun 2010. Ketika itu baru saja habis SPM. Saya memilih bidang ini kerana saya seorang yang sangat menjaga penampilan diri terutama wajah.

Paling penting, saya mahu mendidik masyarakat agar sentiasa menjaga penampilan dan kekal cantik walau tanpa dengan solekan tebal. 11 tahun berkecimpung dalam bidang ini saya bersyukur kerana hasil karya diterima baik.

Saya tidak malu bergelar jurusolek malah bangga dengan gelaran tersebut.

Bersama Puan Sri Nisa Bakri.

Tulang belakang di sebalik kejayaan saya selama ini semestinya ibu, Rosminah Kam dan bapa, Juadio Mading @ Azlan Abdulah. Tak lupa adik beradik dan rakan-rakan. Sehingga kini mereka tak pernah lupa mendoakan saya, menyokong dan memberi nasihat.

CABARAN
Saya bermula dengan kekangan dana. Untuk membeli barang makeup saja saya terpaksa menabung. Pengalaman pahit pula bila terpaksa berjauhan dengan keluarga saat bapa sakit di hospital. Ketika itu saya terikat dengan beberapa program TV dan tak dapat balik ke Sabah.

Saya juga pernah menitiskan airmata ketika mula-mula menceburi bidang ini. Karya saya tidak dapat diterima kerana saya menukar trend solekan tebal kepada yang tidak tebal. Saya nekad jika suatu hari nanti ada rezeki lebih saya akan bantu insan yang kurang berkemampuan tapi mempunyai minat yang sama seperti saya.

Dari segi cabaran masa pula, saya kerap ulang alik Kuala lumpur-Sabah. Jika masa bekerja, saya akan betul-betul fokus sampai kadang-kadang terlupa untuk rehat. Kalau di Sabah, saya akan duduk di rumah dan beriadah bersama keluarga.

Bersama makeup artist terkenal, Muabellaz.

IMPIAN & PERANCANGAN
Saya mengidolakan penyanyi nombor satu negara, Dato’Sri Siti Nurhaliza kerana tertarik dengan keperibadiannya. Impian saya adalah untuk menyolek wajah Dato’ Sri Siti Nurhaliza agar dapat dijadikan potret istimewa.

Dari segi perancangan, saya akan meneruskan Makeup Workshop di beberapa buah tempat. Pada masa sama, saya masih memilih beberapa produk Malaysia untuk dibawa ke Indonesia pada Disember 2021 atau Januari 2022. Saya juga akan melancarkan produk sendiri awal tahun depan, Insha-Allah.

Nasihat saya buat yang memilih kerjaya sebagai makeup artist pastikan ada ilmu. Jadi diri sendiri, cekal, sentiasa merendah diri dan beringat di mana permulaan karier.

PERNAH POSITIF COVID-19
Sebenarnya tiada siapa yang tahu saya pernah positif COVID-19 stage-4 awal tahun lalu. Bagi saya kesakitan bukan untuk dikongsi. Hanya keluarga terdekat dan beberapa rakan artis saja tahu. Saya mengalami kesukaran bernafas, kekejangan, hilang deria rasa dan bau. Saya disarankan oleh beberapa pakar kesihatan untuk banyak mengambil vitamin C dan berdiri di bawah matahari setiap pagi. Berkat doa ibu bapa dan keluarga saya kembali sembuh dan sudah lengkap divaksin.”

Disember 2021 Azmier bakal berkolaborasi dengan makeup artist dan pereka fesyen Indonesia antaranya Bennu Sorumba dan Eko Tjandra. Di sana Azmier akan menata rias beberapa selebriti Indonesia terkenal untuk program di Indosiar. Semoga Azmier terus melakar kejayaan pada masa akan datang dan menjadi inspirasi anak muda.

Kredit Foto: Instagram @azmierhisyamuqris

IKLAN
Share