Pertama Kali Berkunjung Ke Kazakhstan, Penampilan Che Ta Harung Salji Bertumit Tinggi Curi Tumpuan

Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Che Wan menjadikan percutian bersama keluarga sebagai aktiviti tahunannya. Setiap tahun Rozita Che Wan pasti akan menyusun jadualnya untuk menikmati momen indah bersama tersayang. Tidak kira jauh atau dekat namun yang pasti percutian wanita tinggi lampai ini pasti mencuri perhatian.

Berkunjung ke luar negara bukan cerita baharu buat pelakon drama Kiah Pekasam ini. Banyak negara yang telah dilawatinya dan yang paling menarik Rozita Che Wan sentiasa tampil cantik dan menawan tidak kira di mana sahaja.

Selain terkenal dengan ‘bulu mata palsu’ Rozita Che Wan juga terkenal dengan koleksi kasutnya. Apabila Rozita Che Wan berkongsi foto percutian ke Kazakhstan kali ini ramai yang tertarik dengan kasut tinggi yang digayakan ketika mengharungi salji di sana.

Apabila diajukan soalan tentang kasut tumit tinggi di kawasan salji, jawab Che Ta, “Why not? Saya tak ada masalah pun untuk menyarung kasut tumit tinggi walaupun di kawasan bersalji. Sebenarnya kasut yang saya pakai itu memang kasut untuk musim sejuk atau kawasan bersalji. Kasut itu memang mempunyai tumit setinggi itu.

Selain itu, kasut tumit tinggi saya itu boleh grip dalam salji dan tak rasa licin pun. Sehari suntuk saya bergerak di sana dengan menggunakan kasut itu,” kongsi Rozita Che Wan yang telah mengunjungi kawasan indah di Big Lake Almaty dan Shymbulak Resort.

Kali ini Rozita Che Wan menghabiskan masa selama 14 hari di bumi Kazakhstan dan menerokai keindahan bumi ciptaan Allah SWT di sana. Rupa-rupanya ini merupakan kali pertama Rozita Che Wan berkunjung ke bumi Kazakhstan ini, “Percutian kali ini begitu istimewa buat kami sekeluarga kerana ini merupakan kali pertama saya, Zain dan Aaisyah menjejakkan kaki ke bumi Kazakhstan,” jelas pelakon Lelaki Kiriman Tuhan bersama Mira Filzah dan Remy Ishak ini.

Teruja mendengar cerita lanjut tentang keindahan destinasi percutian Rozita Che Wan ke Kazakhstan di hujung talian. Jelas terpancar kegembiraannya sebaik sahaja mendengar suara usahawan ini. “Sebelum ini kami sekeluarga pernah beberapa kali pergi ke Switzerland untuk bermain salji.

Tapi salji di Kazakhstan ini begitu berbeza dan kawasannya lagi cantik dari sana. Tekstur salji di sini juga lagi lebih baik berbanding di sana,” ujar Rozita yang sedang berada di Oi-Qaragai Lesnaya Skazka (ketika artikel ini ditulis).

Bagaimanakah agaknya Rozita Che Wan tahu tempat menarik di Kazakhstan? “Saya ambil travel agency tempatan jadi dia tahu kat mana nak bawa tempat yang cantik. First a few day kami duduk dekat Airbnb dan lepas tu kami duduk dekat kawasan Ski Resort. Pemandangan dia memang tak tahu nak kata. Memang cantik bila dia buka tingkap saja macam kita tengok dalam poskad,” tutur ibu kepada tiga orang anak ini.

Sudah menjadi kebiasaan kalau bercuti, Rozita Che Wan akan bawa tukang masak untuk menyediakan hidangan di sepanjang percutiannya. Kali ini selebriti yang berusia 47 tahun ini membuat kelainan dengan tidak membawa tukang masak. “Kali ini saya tak bawa tukang masak sebab mahu merasai sendiri makanan tradisional di sini,” kongsi Rozita Che Wan.

 

Sempat mengusik Rozita Che Wan tak takut naik kuda di kawasan bersalji? Jawabnya, “Tak takut lah sebab ada orang jaga,” gurau wanita yang berasal dari Kedah ini.

IKLAN
Share