Pertama Kali Wanita BERHIJAB Muncul Dalam Filem MARVEL, Ini Dia Gadis Bertuah Kacukan Pakistan-British!

Bagi yang sudah menonton filem Marvel terbaharu, Spiderman: Far From Home pasti perasan kemunculan wanita berhijab dalam filem ‘box office’ ini. Seperti anda, penulis pun tertanya-tanya siapakah gerangan wanita berhijab yang menjadi rakan sekelas Peter Parker ini sebenarnya.

Iyalah, selama beberapa tahun Marvel Studios menerbitkan filem… ini merupakan kali pertama dalam sejarah mereka menampilkan wanita Islam berhijab. Adakah ia satu petunjuk yang penglibatan umat Islam semakin diterima baik di Amerika Syarikat dan Eropah? Moga ia permulaan positif untuk mengetengahkan bakat dan kepercayaan kepada penganut Islam kelak.

Yang pasti, ‘rakan’ Spiderman berkenaan sememangnya seorang Muslim. Bernama Zoha Rahman… gadis kacukan Pakistan-British ini bukan calang-calang. Selain fasih pelbagai Bahasa antaranya Inggeris, Urdu, Hindi, Punjabi, Mandarin, Arab dan Kanada, Zoha juga sebenarnya graduan jurusan Undang-Undang dan pernah menjadi model sepenuh masa.

Menurutnya, dia bukanlah wanita yang memakai hijab dalam kehidupan seharian dan hanya mengenakan tudung dalam filem itu setelah dimaklumkan mengenai watak yang bakal dibawanya. Biarpun hanya bergelar pelakon sampingan tapi penampilan Zoha nyata menyerlah dan berjaya menarik perhatian penonton khususnya yang beragama Islam.

“Saya Muslim tetapi saya tidak berhijab dalam kehidupan harian. Tapi saya perlu menggambarkan seorang wanita yang berhijab dalam filem itu dengan sebaik mungkin dan penuh penghormatan. Mendengar kata-kata pujian dan penghargaan daripada mereka yang beragama Islam dan bertudung, ia satu perasaan hebat yang tak mampu saya ungkap dengan kata-kata,” ujarnya ketika ditemubual Teen Vogue.

Ditanya bagaimana dia boleh terpilih untuk watak tersebut, Zoha memberitahu, “Ejen saya menghantar panggilan uji bakat dan meminta saya datang studio untuk tujuan itu.

Ketika sampai di sana saya tak pakai tudung dan tak tahu apa watak yang mereka mahukan. Selepas beberapa minggu, ejen telefon dan tanya sama ada bolehkah saya berhijab untuk filem tersebut dan jawapannya sudah tentu boleh!

Saya kemudian diminta menghantar gambar selfie dengan memakai hijab dan segera mengambil tudung milik ibu dan memberi beberapa pilihan gambar kepada pengarah uji bakat. Perkara seterusnya yang saya ingat ialah produksi meminta saya menandatangani kontrak dan menetapkan tarikh untuk urusan wardrobe.”

Sebelum wajah Zoha secara rasmi muncul dalam filem Spiderman: Far From Home, ada segelintir peminat setia Marvel yang mula menyedari kelibat wanita berhijab dalam paparan Instagram Story milik pelakon utama, Tom Holland sekitar tahun lalu. Rata-ratanya menyambut baik sekiranya filem sekual tersebut menampilkan karakter wanita berhijab.

Tidak menyangka gadis berkulit sawo matang atau disifatkan ‘little brown girl’ sepertinya diberi kepercayaan dan mempunyai tempat untuk bergelar pelakon lebih-lebih lagi dalam filem terulung berkenaan… Zoha berpesan kepada semua wanita dan lelaki yang rasa rendah diri serta beranggapan mereka tidak dipandang industri agar terus yakin mengejar impian.

 

Sumber: Teen Vogue & Astro Gempak

IKLAN
Share