Pesona Anak Gadis SHAH RUKH KHAN, Baru 18 Tahun Dah Jadi Cover Majalah Vogue India!

Gadis bernama Suhana Khan ini ternyata mewarisi kecantikan dan bakat kedua-dua ibu bapanya. Menginjak usia 20 tahun dan masih bergelar pelajar, namun setiap kali kelibatnya muncul di khalayak pasti ada ‘mata-mata’ yang memerhati. Begitulah kehidupan yang dilalui Suhana yang merupakan satu-satunya anak perempuan kepada Raja Bollywood, Shah Rukh Khan. Belum pun menceburi bidang seni di India, tapi pancaran dunia glamor sudah mula menyinari kehidupannya.

Bersandarkan populariti bapa dan daya penarik ibu Gauri Khan… Suhana telah dipilih menghiasi kulit depan majalah terkemuka India iaitu Vogue India edisi Ogos 2018. Bagi anak gadis yang muda sepertinya dan tidak pernah terlibat dengan sebarang filem mahupun drama, ia tentunya satu penghormatan besar. Untung Suhana!

 

Timbul juga ramalan bahawa gadis cantik ini adalah pelapis kepada bintang terkenal seperti Aishwarya Rai dan kemunculannya kelak bakal menggegarkan industri perfileman Bollywood. Apa yang pasti, Suhana sudah mula menjadi buruan penerbit filem tersohor dan syarikat produksi. Namun segala-galanya terletak kepada keputusan Shah Rukh Khan dan isteri.

Khabarnya, rakan karib Shah Rukh Khan yang juga penerbit filem Kahan Johar antara yang sedang mengintai bakat Suhana selain beberapa penerbit filem lain termasuk Sanjay Leela Bhansali dan Sujoy Ghosh. Nampaknya, kalau Suhana berhasrat untuk menceburi bidang seni kelak tempatnya sudah pun tersedia!

Selain Suhana, perkahwinan hampir tiga dekad Shah Rukh Khan dan Gauri turut dikurniakan dua lagi cahaya mata lelaki iaitu Aryan Khan dan AbRam Khan.

 

IKLAN
Share