Sejuk mata memandang Sultanah Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah. Setiap kali terlihat kelibat baginda, mata bagaikan tertawan dengan pesona yang dimiliki. Cukup elegan dan penuh dengan kelembutan. Sering mengukir senyuman tatkala bertemu rakyat jelata, penampilan Sultanah Nur Zahirah yang gemar mengenakan persalinan tradisi seperti songket dan batik ternyata menarik perhatian ramai.
Paling mencuri tumpuan, gaya tudung Sultanah Nur Zahirah sejak Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-13. Dari dulu hingga kini tetap sama. Pendek kata, gaya tudung jenis awning sudah begitu sinonim dengan penampilan Sultanah Nur Zahirah ketika bergelar Raja Permaisuri Agong lagi.
Berangkat ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke-17 pada 16 November tahun lalu, Sultanah Nur Zahirah yang lengkap menyarung persalinan jubah konvokesyen berwarna merah jambu turut memakai jenis tudung kegemaran baginda dalam rona senada.
Meskipun terdapat pelbagai jenis rekaan tudung di pasaran hari ini namun baginda tetap setia mengenakan tudung awning. Tidak kira ketika menghadiri majlis rasmi negara, bersantai mahupun sebaliknya. Mungkin pemakaian hijab ini lebih mudah dan praktikal selain sesuai dengan bentuk muka Sultanah Nur Zahirah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah adalah Sultan Terengganu yang ke-16 dan diijabkabulkan dengan Sultanah Nur Zahirah pada 28 Mac 1996.
Pasangan diraja ini kemudiannya dikurniakan dua orang puteri dan putera iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Puteri Daulath Raja Fatimatuz Zahra’ Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan YAM Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sumber: Instagram Terengganu Royal Family & Royal Terengganu Songket
#FabulousMUA Arda Bangga Biaya Kos Belajar Guna Duit Mekap Walau Terpaksa Ulang-alik Johor-KL
Jika dahulu ramai yang beranggapan kerjaya sebagai jurusolek ini bukan kategori profesional dan hanya dilakukan secara sambilan. Namun kini kerjaya ini semakin dipandang tinggi dan beberapa pusat pengajian awam dan swasta mula menawarkan jurusan solekan ini.
Bukan mudah membentuk kerjaya dalam bidang solekan tanpa mengharung setiap cabaran yang datang. Arda Dhia salah seorang peserta Fabulous MUA mempunyai cerita tersendiri dalam mengejar cita-citanya menjadi jurusolek yang disegani.
Hampir 11 tahun berkecimpung dalam bidang solekan, wanita yang mempunyai nama sebenar Razdhiatul Ardawiyah Sukor ini rupanya pernah ulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur dengan kerap semata-mata untuk menampung kos pendidikannya.
“Habis saja SPM saya ditawarkan bekerja dengan sebuah Bridal di Batu Pahat, Johor. Dalam masa yang sama saya telah ditawarkan untuk sambung belajar di Kuala Lumpur. Saya terpaksa ulang-alik jika dapat job dengan niat mencari duit belanja menampung perbelanjaan harian sebagai seorang pelajar walaupun masa tu upah hanya RM50 untuk satu sesi makeup,” bicara Arda yang memiliki Diploma Information Technology in Network Engineering ini.
Menyingkap kisah wanita yang berusia 29 tahun ini dalam bidang solekan, “Saya bermula sebagai artis budaya secara sambilan di Johor. Bakat dalam bidang solekan saya terserlah apabila mula bersolek sebagai penari. Kemudian saya belajar selok-belok bersolek daripada majalah dan beberapa mak andam dan akhirnya saya pula bergelar mak andam.
Selepas 6 tahun menjadi mak andam saya tukar kerja sepenuh masa jadi jurusolek di M.A.C selama dua tahun. Kemudian saya bekerja pula di butik Chanel dan akhirnya tekad berhenti kerja retail. Ini kerana saya mahu tumpukan perhatian sepenuhnya sebagai Full Time Makeup Artist di Johor supaya dekat dengan keluarga,” tutur Arda yang mampu bertahan susah senang dalam bidang ini selama 11 tahun kerana minat yang mendalam.
Nampaknya wanita yang berasal dari Johor Bahru ini begitu yakin dengan bidang kerjaya yang dipilihnya. “Mungkin pada masa dulu orang nampak bidang solekan ini sekadar cari duit sampingan dan tak boleh berkembang maju.
Tapi, beberapa tahun kebelakangan ini galakan dalam bidang solekan seperti kehadiran produk antarabangsa masuk ke Malaysia yang memerlukan makeup artist tempatan untuk bekerja di belakang tabir telah menyuntik inspirasi kami untuk terus berjaya dalam bidang solekan.
Makeup artist diperlukan untuk menyempurnakan model di Pentas Fesyen dan menerajui kelas-kelas yang dianjurkan syarikat antarabangsa serta membawa kami menimba ilmu sehingga ke luar negara. Peluang yang tersedia juga telah menyuntik semangat makeup artist mengambil inisiatif membuat produk kosmetik jenama sendiri,” ucap wanita kecil molek ini.
Menurut wanita yang gemar tersenyum ini, kehidupan alaf baru yang terdedah dengan pengaruh media sosial turut memberi impak positif dalam dunia solekan. “Ramai wanita dan lelaki yang berlatar belakang keluarga susah tetapi mempunyai ilmu solekan mampu menjana pendapatan dengan menjadi idola dan inspirasi di media sosial. Jadi saya percaya bidang solekan adalah platform yang terbaik untuk sesiapa pun yang nak berjaya dan hidup senang cuma sesorang itu sendiri kena bijak mengambil peluang supaya tidak ketinggalan,” katanya.
Arda beruntung kerana mempunyai suami yang memahami dan menyokong apa sahaja bidang yang diceburinya. “Alhamdulillah, suami sangat memahami walaupun waktu berkenalan kami agak singkat dan baru saja berkahwin selama hampir 7 bulan. Jadi bukan mudah untuk suami faham jalan kerja sebagai jurusolek ini dan menerima cara kerja isteri yang kerap berulang alik ke KL dan ke mana saja untuk mencari rezeki.
Saya bertuah dapat suami yang berfikiran terbuka dan menyokong kerjaya saya. Mula-mula kahwin dulu, bila kami berpindah ke rumah sendiri barulah dia nampak barang-barang mekap yang terlalu banyak sampai dia rasa pening nak tolong saya berkemas. Banyak juga dia bertanya tentang makeup jadi sekarang suami faham kenapa saya sanggup berhabis duit membeli produk dan kenapa saya harus mencari job selari dengan pelaburan tersebut.
Saksikan Arda Dhia dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Betul Ke Bila Berdiet Kena Elakkan Garam & Gula? Sebenarnya Tak Perlulah Semua Tawar, Ini Helahnya
Orang kata, bila sedang berdiet kenalah hindari gula dalam makanan. Ada juga yang elakkan garam kerana bimbang selera makan bertambah kerana makanan sedap. Betul ke cara diet ini?
Sebenarnya garam dan gula hanyalah sebagai bahan perisa. Namun, apabila kedua-dua bahan ini diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, gangguan jantung, dan gangguan ginjal.
Sebenarnya gula digunakan…
Gula digunakan oleh kebanyakan sel dalam badan seperti otak dan otot. Hampir seluruh tenaga untuk otak yang bekerja, dibekalkan secara eksklusif oleh glukosa. Kehadiran glukosa ini boleh mempengaruhi otak kita untuk berfungsi.
Gula yang berlebihan disimpan dalam tubuh…
Sebagai lemak dalam tubuh, ia boleh menyebabkan obesiti. Malah jika sentiasa mengambil makanan yang manis, anda berisiko untuk menghidap penyakit diabetes. Kesan jangka masa panjang pula adalah kerosakan buah pinggang dan masalah jantung.
Sebenarnya garam digunakan…
Garam mengandungi 40 peratus sodium iaitu sejenis bahan galian yang penting untuk menyelaraskan keseimbangan kandungan air di dalam badan. Sodium juga penting dalam menentukan perjalanan otot-otot dan saraf, penyerapan zat-zat makanan ke dalam sel-sel dan juga kepada keseimbangan bahan-bahan asid di dalam darah dan air kencing.
Garam yang berlebihan disimpan dalam tubuh…
Garam yang berlebihan dalam diet boleh menyebabkan seseorang itu mengalami dehidrasi, iaitu kekurangan air di dalam sel dan tisu badan kerana air mengalir masuk ke dalam pembuluh darah. Ini menjadi punca yang menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Kesan jangka panjang akibat darah tinggi adalah masalah jantung, kerosakan buah pinggang, dan risiko strok.
Solusi
Rasa manis dan masin itu perlu dipelihara untuk mencipta rasa tetapi boleh diganti dengan bahan semula jadi tanpa gula dan garam. Stevia adalah contoh pengganti gula yang diperoleh dari daun pokok dengan nilai kalori lebih rendah. Selain itu, madu dan gula perang juga adalah pengganti gula yang baik. Sebagai pengganti garam, guna rempah-ratus dan perasa semula jadi seperti air lemon, jeruk nipis, bawang putih dan bawang bombay.
Terdapat juga golongan yang terlalu ketagih dalam pengambilan gula dan garam. Oleh itu, elakkan membeli dan menyimpan terlalu banyak minuman bersirap atau kordial di rumah. Sediakan sekadar hanya untuk keperluan jika ada tetamu yang berkunjung.
Mengurangkan kadar penggunaan garam juga adalah satu perkara yang mudah. Hanya campur sedikit ke dalam makanan semasa memasaknya. Gunakan keju yang tidak bergaram dan cuba kurangkan ataupun elakkan daripada mengambil makanan-makanan siap yang mengandungi garam yang banyak. Hamizatul Maizan Mohamed
Cara Jemput Pahala Walau Datang Bulan, Berdesup Ganjaran Perempuan Masa Ramadan!
Alahai tengah-tengah berkobar nak beribadah bulan Ramadan ni, tiba-tiba waktu itulah datang bulan. Mujur jadi perempuan, tidak berkurangnya pahala Ramadan kita kalau buat amalan yang mudah dan ringkas ni.
Apakah hukum bagi wanita yang datang haid jika membaca al-Quran atau ayat-ayat lazim secara zahir dengan niat zikir? Bagaimana pula dengan amalan wanita haid di bulan Ramadan?
Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan, para ulama berbeza pandangan dalam isu wanita berhaid membaca al-Quran. Tapi kami ringkaskan pandangan tersebut seperti berikut.
Pertama : Haram
Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran. (Riwayat al-Tirmizi: 131)
Hadis ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
Kedua : Harus
Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama.
Maka, jika mereka dilarang membaca al-Quran, dibimbangi hafazan mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Kami menyatakan, bahawa secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid.
Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.
AMALAN BULAN RAMADAN
Berkenaan dengan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid di dalam bulan Ramadhan, kami nyatakan cadangan amalan seperti berikut:
Pertama: Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.
Kedua: Perbanyakkan Doa dan Zikir
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah RA beliau berkata:
Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’
Ketiga: Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. (Riwayat al-Tirmizi: 807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18)
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT. Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala. (Surah Al-An’aam: 160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Kesimpulan
Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah disebutkan di atas.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan