Pilih Beraya Di Rumah Mentua, PUTERI SARAH LIYANA Lupakan Seketika Kesedihan Demi Anak-Anak

Nampaknya tanggal 1 Syawal yang lalu, Puteri Sarah Liyana  memilih untuk meraikan hari pertama Syawal bersama ibu bapa mentuanya, iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail di kediaman Yusof Haslam yang terletak di pinggir ibukota.

Melihat hantaran Instagram (IG), Puteri Sarah tampil berseri menggayakan busana hijau beraya di kediaman Yusof, bersama kedua-dua anaknya iaitu Sumayyah dan Syaikhul Islam. Foto dikongsi juga memaparkan Puteri Sarah bersalaman dengan Yusof dan Patimah seperti kebiasaan yang dilakukan pada pagi Aidilfitri.

Puteri Sarah dilihat sebagai seorang wanita yang cekal dan meletakkan kesedihannya ke tepi untuk memastikan kedua-dua anaknya dapat menyambut Hari Raya dalam suasana yang penuh kegembiraan.

Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menganggap tiada apa yang perlu ditangisi, apatah lagi, meratap pada hari kemenangan umat Islam itu.

“Sambutlah hari raya dengan gembira tanpa memikirkan masalah. Tidak perlu kita hendak merenung semula apa yang sudah terjadi.

“Hari raya adalah hari untuk bergembira, bukan untuk kita bersedih,” katanya yang turut meletakkan tanda pagae #teamrayasingle dalam hantaran gambar dirinya seorang diri.

Hantaran Puteri Sarah mengenai suasana 1 Syawal dirinya dan anak-anak meraih banyak pujian netizen yang memuji keakraban hubungan menantu dan mentua yang terjalin di antara Puteri Sarah dan Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah.

Ada di kalangan netizen memuji betapa beruntungnya Puteri Sarah menjadi menantu kesayangan keluarga mentuanya itu. Keakraban hubungan keluarga ini sememangnya menjadi inspirasi banyak pihak yang melihat keluhuran kasih sayang yang terjalin di antara mereka.

Malah pasangan suami isteri itu juga sering menjadi tempah rujukan Puteri Sarah dalam apa jua tindakan yang bakal diambil. Semoga ibu kepada dua cahayamata ini dapat meraikan Syawal dalam suasana yang lebih tenang dan anak-anak tersayang dapat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan.

 

 

 

IKLAN
Share