Pilih Tema Fairy Tales, Jurutera Wanita Berjiwa Lasak Ini Terjemah Sisi Feminin Melalui Dekor

Siapa sangka, seorang yang berjiwa kental dan lasak sebagai Jurutera Elektrik yang memegang jawatan sebagai Pengarah Projek (Grid Construction) di Tenaga Nasional Berhad, wanita berusia 41 tahun ini menterjemahkan sisi femininya melalui dekorasi kediaman mewahnya ini. Sweet dan sejuk mata memandang!

Ibu anak 3 iaitu Surina Mohd Zain yang berasal dari Selangor ini memilih kediaman jenis semi D dua tingkat yang diinap pada penghujung tahun 2020.

“Saya tinggal di rumah ini sejak Oktober 2020. Proses ubah suai bermula pada November 2019 lagi tetapi disebabkan PKP 1.0 kami lewat sedikit untuk masuk rumah. Dari segi konsep dekorasi, sebenarnya saya mendapat idea daripada minat anak-anak terhadap kumpulan Kpop terkenal iaitu Blackpink dan BTS. Saya memilih dusty pink and black sebagai warna tema. Secara ringkasnya kediaman ini berkonsepkan minimalis, sistematik dan diberi sedikit sentuhan fairy tales.

Saya bukanlah kreatif sebaliknya seorang daydreamer. Minat terhadap dekorasi apabila saya melihat rumah rakan-rakan yang mempunyai dekor cantik. Selain itu, saya juga gemar menonton cerita-cerita animasi seperti ‘Alice in Wonderland’ dan lagu-lagu ‘Humpty Dumpty’. Maka saya pun terjebak dengan idea-idea itu bila ada rumah sendiri.

Rumah ini mempunyai 5 bilik tidur yang mana setiap bilik lengkap dengan tandas privasi. Selain itu, memandangkan rumah saya tidak menghadap rumah orang lain jadi mudahlah untuk saudara mara atau ahli keluarga nak parking kereta.

Ruang favourite saya semestinya glass gazebo yang menghadap kolam renang sekaligus memberikan ketenangan. Ianya dikelilingi dengan kehijauan serta bunga-bungaan umpama di ‘Alice in Wonderland’. Sofanya pula berkonsepkan stail ‘Humpty Dumpty’ termasuk tile bercorak bunga-bunga. Selain itu, adakalanya ruang ini saya jadikan sebagai bilik karaoke keluarga untuk menghilangkan kebosanan dan stres.

Barang-barang dekor ada yang saya dapatkan dari sosial media contohnya Instagram. Manakala perabot saya custom made. Ada juga saya beli secara online seperti Alibaba Apps dan berkomunikasi melalui WeChat. Untuk kontraktor dan wainscotting

saya dapat kontek dari Instagram.

AKTIVITI SEPANJANG PKP
Sejak PKP dan lockdown, masa saya diisi dengan bekerja dari rumah termasuk memantau PdPR (Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah) anak-anak. Apa pun saya bersyukur kerana dapat menghabiskan masa bersama anak-anak di samping menjalankan tugas seperti biasa (WFH). Jika waktu mesyuarat dan PdPR bertindih, anak perempuan saya akan membantu adik-adiknya untuk masuk online class.

Kami sekeluarga umpama teamwork yang saling membantu. Jadi, kita nampak hikmah di situ. Pada malam hari pula saya akan connect HP dan mobile speaker di ruang tamu untuk mengimarahkan rumah dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta tazkirah yang saya sertai melalui program Live FB dan Instagram.

Sejak PKP lagi saya sudah upgrade menu-menu masakan kerana banyak masa. Selalunya saya akan masak menu yang berat-berat ketika hujung minggu kerana tidak WFH. Anak-anak saya suka makan pulut kuning dan nasi dagang. Satu lagi menu istimewa saya ialah daging rendang berperisa kicap kari yang merupakan resipi tradisi daripada ibu saya.

NASIHAT BUAT WANITA
Nasihat saya buat wanita-wanita yang sedang struggle dalam perniagaan dan WFH, banyakkan bersabar. Saya juga seorang wanita dan jenis yang tidak boleh duduk diam. Saya sangat memahami perasaan wanita-wanita aktif di luar sana yang sudah biasa bersosial dengan rakan-rakan. Sentiasa berfikiran positif dan kreatifkan minda untuk mengelakkan kebosanan.

Cara saya ialah dengan OOTD dan ambil gambar mingle around dengan rakan-rakan melalui virtual termasuk tidur awal dan banyakkan masa untuk Qada’ serta mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Insha-Allah kita akan rasa tenang jika menyerahkan segala urusan dunia dan akhirat kepada Allah SWT setelah penat berusaha. Pasti akan dipermudahkan. Percayalah, jika kita mendahulukan akhirat, dunia akan mengejar kita. Wallahu’alam,” akhiri Surina yang merancang untuk mengerjakan Haji dan umrah jika pandemik COVID-19 berakhir kelak.

Kredit Foto: Koleksi Peribadi Surina Mohd Zain

IKLAN
Share