Puas ‘Melantak’ Tapi Tak Tahan Bau, Ini Tip Hilangkan Bau DURIAN!

Sekarang ni musim durian. Daripada minggu lepas lagi dah ramai orang bercakap tentang durian. Open house raya pun ada yang dijamu durian. Ceria seisi rumah kalau dapat makan durian bersama-sama sampai kekenyangan.

Ada pelbagai jenis durian seperti durian kampung atau asli, Musang King dan Little Red. Kalau bukan musim, harga durian boleh mencecah sehingga RM300 sekilo tau!

Raja segala buah-buahan ni memang terbaik dan menjadi kesukaan rakyat malaysia. Namun tahu sajalah, baunya cukup kuat. Boleh jadi pening seharian dek kerana penangan baunya.

Ini ada beberapa tip yang boleh hilangkan bau durian.

1. GUNAKAN TANGKAI DURIAN

Menjadi masalah kalau nak bawa balik durian daripada kampung atau yang dibeli tepi jalan ke dalam kereta anda. Pasti ‘melekat’ baunya. Petua orang-orang lama, patahkan tangkai durian dan belah sedikit di bahagian tengah. Kemudian letakkan pada jejaring air cond di dalam kereta.

Petua ini juga boleh digunakan di rumah dengan cara yang sama dan letakkan tangkai durian tersebut di pendingin hawa ruang tamu rumah anda. Hasilnya, bau durian pasti tiada lagi.

2. KOPI

Kopi mampu menyerap segala jenis bau yang kurang menyenangkan dan kembali kepada bauan neutral. Bancuh segelas air kopi panas dan biarkan di atas meja dapur rumah anda. Bau durian akan hilang serta merta selepas itu.

 

3. ROTI

Jika kenderaan anda masih berbau durian, letakkan beberapa keping roti putih di dalam kereta dan biarkan beberapa hari. Roti akan menyerap bauan yang kurang enak di dalam ruang tersebut.

 

4. KULIT DURIAN

Untuk menghilangkan bau durian pada tangan anda, ambil kulit durian dan letakkan air di bahagian dalamnya dan basuh tangan menggunakan kulit itu. Selain itu, cuba basuh tangan dengan pencuci yang jenis beraroma seperti lemon.

Bagi menghilangkan bau mulut, lakukan perkara yang sama dengan kumur-kumur. Senang saja, bukan?

 

5. DAUN PANDAN

Ikat daun pandan dan letakkan dalam kereta, peti ais, atau dapur rumab anda. Bukan hanya bau akan hilang tapi bau rumah juga akan menjadi semakin harum.

Anda juga digalakkan untuk minum air kosong yang banyak bagi neutralkan kembali usus anda. Selain itu, buah manggis juga dikatakan boleh hilangkan bau durian pada pernafasan.

 

IKLAN
Share