
Tiada angin tiada ribut, tahu-tahu Puteri Balqis sudah pun selamat bertunang. Tahniah buat pelakon berbakat besar ini yang melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan yang khabarnya bernama Didi. Khabar gembira tersebut diumumkan empunya diri di media sosialnya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Puteri Balqis atau lebih dikenali sebagai Aqish, anak seni berusia 18 tahun berkenaan memuat naik momen indah berkenaan buat tatapan peminat dan followers kesayangan.
Daripada foto-foto itu jelas kelihatan wajah bahagia Aqish dan pasangan di samping keluarga masing-masing. Hantaran pelakon filem Saloma ini mendapat perhatian warga maya. Bahkan dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada rakan-rakan artis dan peminat.
Lebih mencuri tumpuan, majlis pertunangan Aqish dan Didi berlangsung ringkas dan sederhana.
Namun ‘sarat’ dengan kasih sayang. Tiada pelamin bertunang. Bahkan acara menyarung cincin pertunangan juga menyaksikan Puteri Balqis dan bakal ibu mentua hanya duduk bersimpuh.
Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Televisyen Asia 2014 ini anggun dalam persalinan kurung dan berselendang rona putih gading. Sedondon dengan tunang, ibu dan bapa tiri.
Sementara keluarga pihak lelaki mengenakan persalinan sedondon maroon. Menerusi gambar yang dikongsikan juga kelihatan hubungan baik ibu Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz dengan bakal besan.
Bagaimana pun, selebriti ini tidak mendedahkan tarikh pernikahan mereka.
Sempena hari istimewa berkenaan, Puteri Balqis turut menyertakan coretan surat dari ibunya bertarikh 12 Ogos 2025 yang padat dengan pesanan dan nasihat dalam menempuh cabaran hidup.
Antaranya, “Aku lahir dari duka, kau dewasa bersama luka, maka andai derita menjadi pusaka, maka tenanglah, pabila kau berjalan bersama kecewa.
Moga kau mampu menggantikan kesedihan dengan kelembutan, moga jiwamu yang mati, diganti dengan keadilan, ketenangan abadi.”
Buat Aqish dan pasangan, moga segala yang dirancang berjalan lancar atas izin dariNya dan terus kuat mendepani masa depan.
This website uses cookies.