QADEJAH EL ZAHRA Dedah Kehidupan Bergelar Anak Jutawan Kosmetik “Abah Seorang Yang Garang”

Baru berusia 12 tahun, Qadejah El Zahra anak kedua kepada jutawan kosmetik Dato’ Seri Aliff Syukri ini dipuji memiliki raut wajah yang cantik dan manis persis ibunya, Datin Seri Nur Shahida. Ke mana tumpahnya kuah, kan?

Qadejah yang membahasakan dirinya sebagai ‘Cess’ dilahirkan pada 25 November 2010.

Meninjau satu video pendek di Instagram Sugeh Eco Resort, baru-baru ini Qadejah ada berkongsi tentang kehidupannya sebagai anak Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida.

Berdasarkan perkongsian itu, ibu dan bapanya itu memiliki karakter yang berbeza. Malah, apa yang kita lihat di media sosial tidak sama dengan karakter sebenar mereka.

“Sejak saya kecil, Abah seorang yang tegas dan garang dengan saya.

“Bila dah meningkat dewasa saya mula faham kenapa Abah memarahi saya. Abah ingin saya menjadi seorang manusia yang baik.

“Abah tidak mahu saya menjadi manusia yang biasa sebaliknya luar biasa dan hebat.”

Qadejah turut mendedahkan, ibu dan bapanya itu mempunyai karakter yang berbeza.

“Mama dan Abah agak berbeza.

“Mama seorang yang ceria berbanding Abah.

“Mama benarkan kami buat apa sahaja yang kami inginkan.

“Karakter Mama lebih membawa kepada keceriaan. Mama juga tidak mengongkong tetapi masih mementingkan pembelajaran.

“Sama seperti Abah, Mama menginginkan saya menjadi manusia yang hebat dan luar biasa.”

Qadejah turut berpesan kepada ibu bapa di luar sana agar sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak dan mencipta kenangan bersama mereka melalui aktiviti-aktiviti bermanfaat contohnya beriadah.

QADEJAH ANAK DISLEKSIA
Qadejah mewarisi genetik bapanya yang mengalami disleksia. Ia hanya disedari ketika Qadejah berusia enam tahun.

Namun setelah menjalani rawatan khusus dan pernah belajar di Pusat Disleksia Ampang, Qadejah kini membesar sebagai seorang anak yang bijak, kreatif dalam seni lukisan serta petah berkata-kata.

Merujuk kepada portal Kementerian Kesihatan Malaysia, disleksia merupakan sejenis masalah atau gangguan pembelajaran khusus. Masalah asasnya ialah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Kesukaran yang dialami adalah dari segi membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.

Menurut Datin Seri Nur Shahida, Qadejah seorang anak yang mudah dijaga. Kelebihan yang dimiliki Qadejah adalah lebih kepada seni. Antaranya, dia gemar melukis apa yang orang lain tidak pernah terfikir untuk lukis. Punya daya pemikiran di luar kotak!

Semoga Qadejah menjadi anak yang solehah di dunia mahupun akhirat seterusnya bergelar wanita hebat di sisi Allah SWT.

Untuk info, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida dikurniakan lima cahaya mata hasil perkongsian hidup yang dibina sejak Ogos 2007. Anak-anak mereka ialah Ammar Ahyan (14 tahun), Qadejah El Zahra (12 tahun), Ibraheem Adham (10 tahun), Yusoff Al Qardawi (4 tahun) dan Raudhah Arshiyah (3 tahun).

Selain turut menjaga seorang anak angkat, pasangan ini juga bakal menimang cahaya mata keenam tak lama lagi.

Kredit Foto: Instagram Datin Seri Nur Shahida

 

IKLAN
Share