
Dalam dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B), satu perkara sering menentukan sama ada sesebuah premis terus berkembang atau sekadar bertahan ialah keupayaan menarik pelanggan baharu atau visibility. Bagi pengusaha kecil dan sederhana, cabaran ini bukan sahaja bergantung kepada kualiti makanan atau lokasi strategik, tetapi juga sejauh mana jenama mereka mampu dilihat dan dikenali oleh khalayak yang lebih luas.
Menyedari realiti tersebut, AstroBiz memperkenalkan Astro BizOne Rewards yang serba baharu, sebuah kempen yang direka khusus untuk membantu premis F&B meningkatkan keterlihatan perniagaan mereka.
Dilancarkan pada 12 Mac 2026, kempen ini menawarkan sokongan pemasaran terjamin bernilai sehingga RM17.5 juta kepada premis yang melanggan pakej Astro BizOne.
Inisiatif ini bukan sekadar kempen pemasaran biasa. Ia menggabungkan dua elemen penting yang sering menjadi tarikan pelanggan ke premis F&B, hiburan sukan secara langsung dan pendedahan media berskala besar.
Dengan pakej Astro BizOne, premis perniagaan boleh menayangkan pelbagai acara sukan popular seperti Premier League, kejohanan BWF, Liga Malaysia, Formula 1 serta pelbagai kandungan hiburan lain yang mampu menarik pelanggan untuk berkumpul dan menikmati pengalaman menonton bersama.
Pada masa yang sama, kempen BizOne Rewards memberi peluang kepada premis untuk memperkenalkan jenama mereka kepada audiens yang lebih besar melalui rangkaian platform media Astro, termasuk televisyen, radio dan digital.
Apa yang menjadikan kempen tahun ini lebih signifikan ialah skala sokongan pemasaran yang diperluaskan secara besar-besaran. Jika kempen sebelumnya menawarkan sokongan bernilai sekitar RM3 juta, edisi baharu ini melonjak kepada RM17.5 juta, sekali gus memperlihatkan komitmen Astro dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia.
Menurut Tan Sian Tuang, Ketua Bahagian Perniagaan Pengguna dan Perusahaan Astro, pemasaran merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan sesebuah perniagaan. Gabungan saluran TV, radio dan platform digital Astro memberi peluang kepada pengusaha F&B untuk memperkenalkan premis mereka kepada lebih ramai pelanggan, khususnya dalam keadaan kos pemasaran yang semakin meningkat.
Kesan inisiatif ini dapat dilihat melalui kejayaan kempen Astro BizOne Rewards sebelum ini. Sepanjang kempen terdahulu, 200 premis F&B di seluruh Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu bentuk sokongan pemasaran melalui platform Astro. Daripada jumlah tersebut, 87 premis dipromosikan melalui Astro Audio Ads, manakala 48 premis masing-masing mendapat slot video di Buletin Awani dan Borak SeeNI, pendedahan media yang amat bernilai bagi perniagaan kecil.
Di sebalik angka tersebut, terdapat kisah sebenar pengusaha yang merasai impak langsung kempen ini. Salah seorang daripadanya ialah Encik Irfan, pemilik Restoran Nasi Lemak Burung Hantu di Gombak.
Menurut beliau, apabila iklan restorannya disiarkan melalui Astro Audio Ads, ia membuka peluang kepada pelanggan yang sebelum ini tidak pernah mengetahui kewujudan premis tersebut. Sebagai perniagaan kecil, mereka biasanya hanya bergantung kepada pelanggan tetap. Namun selepas kempen tersebut, pelanggan baharu mula datang dan memberitahu bahawa mereka mengetahui tentang restoran itu melalui radio.
Sejak itu, aliran pelanggan menjadi lebih konsisten dan pendedahan media tersebut membantu perniagaan mereka berkembang dengan lebih stabil.
Melalui kempen Astro BizOne Rewards kali ini, premis yang layak akan menerima ganjaran pemasaran terjamin berdasarkan nilai langganan BizOne mereka. Antaranya termasuk slot temu bual selama satu minit di Buletin Awani bersama liputan digital, segmen khas di program Borak SeeNI di Astro Prima, serta kempen iklan radio berskala nasional yang disiarkan puluhan kali sepanjang tempoh promosi.
Selain itu, kisah di sebalik premis mereka juga berpeluang diketengahkan melalui artikel majalah digital seperti Rasa, Maskulin, Nona atau Vanilla Kismis, memberi ruang kepada pengusaha untuk berkongsi perjalanan perniagaan mereka kepada audiens yang lebih luas.
Kempen ini berlangsung dari 9 Mac 2026 hingga 31 Januari 2027, dan terbuka kepada premis F&B baharu yang melanggan pakej Astro BizOne dengan nilai minimum RM800 sebulan. Selepas langganan aktif, pihak AstroBiz akan menghubungi premis yang layak dalam tempoh 60 hari bagi proses penebusan ganjaran pemasaran mereka.
Bagi pengusaha F&B, perjalanan membina jenama bukan sekadar tentang makanan yang enak, tetapi juga tentang bagaimana kisah di sebalik perniagaan itu sampai kepada pelanggan. Dalam hal ini, Astro BizOne bukan sekadar platform hiburan di premis, tetapi juga rakan strategik yang membantu perniagaan kecil berkembang, dikenali dan terus menarik pelanggan baharu.
This website uses cookies.