Rai Hari Jadi ke-39, Datuk Nicol David Bahagia Lahirkan Ramai Pelapis Cilik Untuk Negara

Jika mungkin wanita lain seusia Datuk Nicol David kini ‘struggle’ membesarkan anak-anak, pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia oleh The World Games ini pula fokus pada generasi pelapisnya. Baru saja menginjak usia 39, bekas ratu skuasy Malaysia terus menyuntik inspirasi sebagai Ketua Jurulatih di Pertubuhan Nicol David (NDO).

“Ini adalah hari jadi paling istimewa untuk saya. Saya bangga dan bersyukur dengan perjalanan baru ini, dapat berbakti dan memberi semula pada kanak-kanak di negara tercinta.

Selepas bertahun-tahun menyambut hari jadi, yang saya ingat hanyalah memenangi kejohanan demi kejohanan serta semua pencapaian terbaik saya dalam sukan (skuasy).

Tapi hari ini sungguh berbeza. Saya teruja melihat wajah-wajah bahagia ‘Little Legends’ saya!” Datuk Nicol Ann David 

 

 

 

 

Dari senyuman dan renung anak matanya, terlihat begitu besar makna tersirat di sebalik usaha yang dijalankan. Bayangkan seorang atlet dunia hebat yang pernah merangkul gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008 serta gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005,2006, 2008, 2009 dan 2010, sudah tentulah beliau mahu meninggalkan legasi selepas ketiadaannya kelak.

Memasuki fasa kehidupan baru selepas tiga tahun mengumumkan persaraan, Datuk Nicol David kini tampil dengan usaha untuk melahirkan seorang lagi juara dalam sukan skuasy seperti yang pernah dikecapinya ketika bergelar pemain.

Legenda skuasy negara itu bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes selaku pengasas bersama menubuhkan Pertubuhan Nicol David dengan fokus melatih kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun yang berminat untuk menceburi sukan berkenaan.

NDO dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Jun.

 

 

NDO adalah pertubuhan bukan kerajaan dengan objektif utamanya adalah memperkasakan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan menerusi sukan dan pendidikan.

Selain menjalani latihan skuasy, NDO turut mengadakan kelas bahasa Inggeris yang dijalankan menerusi kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Program NDO akan bermula pada 13 Jun ini dengan membabitkan murid-murid daripada empat sekolah di Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling 1 dan 2 serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bukit Jalil.

Kata beliau ibu bapa hanya perlu membayar serendah RM20 sebulan untuk mendaftarkan anak-anak mereka bagi menyertai program anjuran NDO.

 

 

“Saya percaya dengan memberikan peluang ini kepada kanak-kanak di Malaysia, ia mampu untuk mengubah masa depan mereka.

Saya berharap mereka mampu mencapai impian dan menjadi generasi yang memberi insipirasi kepada diri sendiri, keluarga dan komuniti.” Datuk Nicol Ann David

 

 

IKLAN
Share