Raih Keberkatan Ramadan, DS Siti Nurhaliza Selamat Melahirkan Anak Lelaki, Lengkap Sudah Hidupnya

Genap seminggu umat Islam berpuasa, penyanyi bersuara emas kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah melahirkan anak keduanya. Berita ini telah disampaikan oleh pihak pengurusan DS Siti Nurhaliza sendiri, Pengurusan SNP (M) Sdn. Bhd.

Bayi seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan tepat jam pukul 6.21 pagi, 19 April 2021 bersamaan 7 Ramadan 1442H.

Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta telah selamat melahirkan bayi kedua mereka. Apa yang penting bagi Khalid adalah ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan telah berjalan lancar. Agak-agaknya apa nama pilihan adik lelaki Siti Aafiyah ni.

Pasangan ini juga berterima kasih kepada Pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women’s Specialists, Dato’ Dr. Colin Lee Soon Soo, yang menjayakan program In Vitro Fertilization

(IVF) bagi kandungan Siti yang pertama iaitu Siti Aafiyah dan anak yang kedua ini juga.

Permata Hati Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza baharu saja menyambut ulangtahun ke-42, 11 Januari yang lalu. Ketika mengikut rombongan DS Siti Nurhaliza ke Genting Highland dua tahun lalu menerusi Kempen SIMPLYSITI Di Hati, memang penyanyi lagu Cindai ini pernah berkongsi mahu mendapatkan anak kedua.

“Memang benar, saya tengah usaha, hanya Allah SWT yang akan menentukannya. Anda semua doakanlah, supaya tahun ini saya boleh dapat seorang lagi anak,” kata wanita kelahiran Kuala Lipis ini. Syukur kerana Allah SWT telah mengkabulkan doa penyanyi nombor 1 Malaysia ini.

IKLAN
Share