Raja Permaisuri Agong Berkenan Rasmi Program Back To Nature, Sokong Usahawan Produk Mesra Alam

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program ‘Back To Nature di Pavilion Bukit Jalil pada 19 Jun 2022.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 11.00 pagi disambut Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) Puan Fully Chye Goet Lee dan Penasihat PSJKM yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat gerai jualan dan pameran serta melakukan sendiri proses mengekstrak tumbuhan di atas fabrik yang dinamakan sebagai ‘eco-printing’.

Program ‘Back To Nature’ anjuran PSJKM diadakan bagi memupuk penggunaan sumber semula jadi iaitu daripada tumbuh-tumbuhan dalam penghasilan produk, fabrik dan corak rekaan sekali gus mengurangkan penggunaan pewarna sintetik dalam industri.

Program bertemakan ‘Vaksinasi Cegah COVID-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’ itu diadakan bertujuan melahirkan usahawan yang berkemahiran dalam menghasilkan produk mesra alam.

Sebanyak 50 gerai jualan dalam kalangan peserta PSJKM dan Koperasi Dagang Seni Malaysia yang terdiri daripada suri rumah, asnaf, Orang Kelainan Upaya, Orang Asli turut serta dalam program yang berlangsung selama sembilan hari bermula 18 Jun 2022.

Sumber: Instagram Istana Negara

IKLAN
Share