Gaya Hidup

Raja Permaisuri Agong Ilham Baju Kurung Kain Tenun Diraja Pahang Daripada Bauksit

Bauksit begitu terkenal di negeri Pahang. Pelbagai kontroversi yang tercetus dengan bauksit ini. Namun, baru-baru ini Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, mendedahkan baginda memiliki baju kurung daripada kain Tenun Diraja Pahang bauksit.

Tunku Azizah bertitah, kain berkenaan ‘diilhamkan’ apabila baginda dituduh oleh segelintir pihak kononnya terbabit dalam perlombongan bauksit yang menjadi isu alam sekitar kontroversi di Kuantan pada hujung 2014.

“Apabila saya dituduh mengorek bauksit, saya telah panggil (wakil) Penjara Penor untuk ambil bauksit dan keluarkan satu tenun Diraja Pahang menggunakan warna daripada bauksit.

“Penjara Penor keluarkan kain itu yang saya panggil tenun bauksit. Bauksit menghasilkan warna yang cantik dan saya harap warna bauksit boleh menjadi produk Pahang,” titah baginda ketika berucap merasmikan Bengkel Kreatif Pewarna Natural di Muzium Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Penjara Penor di sini adalah antara agensi penting dalam penghasilan produk tenun Diraja Pahang, selain Penjara Bentong yang ilmu menenun kain berkenaan diajar dan dihasilkan oleh banduan di situ.

Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri.

Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terkenal dengan sikap ramah apabila berada bersama rakyat jelata. Baginda telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor.

Pendidikan awal Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Kegemaran Tengku Puan Pahang pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan. Sebuah buku masakan hasil daripada Baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.

Sumber: BERNAMA

IKLAN
Share