RAJA PERMAISURI AGONG Pencetus Revolusi Tenun Pahang, Kini Tersohor Di Pentas Dunia

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Tenun Pahang Diraja yang julung kalinya diadakan di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom sempena London Craft Week (LCW) bermula pada 9-15 Mei 2022.

Lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang dipamerkan, termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri, serta koleksi rekaan dan tenun peribadi.

Bertemakan “Menyulam Harapan” (Weaving Hope), pameran turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara.

Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja menzahirkan harapan agar ianya bukan sahaja menghidupkan Tenun Pahang, malah mempertahankan kelangsungan seni tenun, di samping memberi sinar baharu kepada banduan menerusi program tenunan penjara.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana ‘memberi harapan dan peluang kedua’ bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.

Diterajui Seri Paduka Baginda, majlis dan pameran dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, Muzium Pahang dan Kraftangan Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan delegasi pada 10 Mei 2022 di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom. YAB Perdana Menteri kemudiannya melawat Pameran Tenun Pahang Diraja. Seri Paduka Baginda berkenan memberi penerangan kepada YAB Perdana Menteri berkenaan pameran tersebut.

Menurut YAB Perdana Menteri, beliau rasa bangga dengan sambutan memberangsangkan Pameran Tenun Pahang Diraja kerana ia melibatkan hasil kreativiti penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang.

Beliau berkata program tenunan seumpamanya boleh ditambah baik termasuk dari segi latihan dan kemahiran serta mendapat sokongan orang ramai.

YAB Perdana Menteri turut percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan pada masa hadapan di dalam negara khususnya di negeri Pahang.

Hadir sama di majlis pelancaran ini, Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar; Komisioner Jeneral Jabatan Penjara, Dato’ Nordin Muhammad; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Istana Negara

IKLAN
Share