Raja Permaisuri Agong Rasmi Masjid Tunku Azizah Iskandar, Bentong. Penampilan Ringkas Baginda Tawan Hati Penduduk Setempat.

Masjid Kampung Baru yang terletak di daerah Bentong, Pahang kini dikenali dengan nama baharu iaitu Masjid Tunku Azizah Iskandar, bersempena nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Pertukaran nama masjid tersebut telah mendapat diperkenan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam satu majlis yang diadakan di pekarangan masjid tersebut baru-baru ini.

Tunku Azizah Aminah Maimunah anggun mengenakan sepersalinan baju kurung rona biru diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tunku Azizah Aminah Maimunah dalam titahnya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sudi menamakan masjid tersebut sempena nama baginda serta digabungkan nama ayahanda baginda, Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Baginda turut menzahirkan harapan agar masjid berkenaan diimarahkan sebaik mungkin oleh penduduk di kawasan berkenaan. Tunku Azizah Aminah Maimunah turut berkenan menunaikan solat terawih di masjid itu selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih berjemaah di masjid tersebut.

Berkeluasan kira-kira 0.60 hektar, Masjid Tunku Azizah Iskandar boleh memuatkan lebih 1,000 orang jemaah.

Terdahulu pada majlis sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun dalam ucapannya berkata, sebanyak 15 masjid dibina di Pahang sejak lima tahun lalu membabitkan peruntukan RM58.4 juta.

“Selain itu, sebanyak 16 lagi masjid dalam proses pembinaan dengan peruntukan RM47.1 juta dan 17 lagi akan dibina dengan peruntukan RM80 juta,” katanya.

 

IKLAN
Share