Ramadan Bulan Munajat, PROF MADYA DR SHARIFAH HAYAATI Titip Nasihat Elak ‘Kluster Dunia’ Melalaikan

Bagaimana kita dapat memanfaatkan bulan penuh keberkatan ini yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi dalam suasana norma baharu?

Walaupun pergerakan kita dikawal namun ia sebenarnya mengawal kita daripada melakukan dosa-dosa kepada Allah SWT. Ia juga mengawal hati kita supaya tidak terus leka serta lalai kepada perintah Allah SWT.

Selain itu, ia juga mengawal emosi kita supaya sentiasa meningkatkan rasa syukur, tenang dan tabah. Sekarang Allah SWT sedang menduga kita dengan ujian berat yang tidak pernah kita fikirkan dan lalui. Maka dengan sebab itulah kedatangan bulan Ramadan kali ini menjadi begitu istimewa bagi kita sebagai umat Islam.

Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail berkongsi huraian yang cukup menarik untuk panduan kita bersama.

“Ramadan merupakan sebaik-baik bulan. Dalam banyak-banyak bulan, bulan ini ada satu malam yang cukup istimewa iaitu malam lailatul qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan.

Dalam bulan ini juga ada sebaik-baik doa di mana apabila ‘diangkat’ doa itu akan menjadi mustajab di sisi Allah SWT. Bulan ini juga adalah masanya untuk seseorang itu beramal soleh demi mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai tanda dirinya bertaqwa kepada Allah SWT.

Seseorang itu juga akan menghitung dosa-dosanya untuk memohon keampunan Allah SWT. Maka ia akan menjadi amalan yang lebih baik berbanding amalan-amalan yang dilakukan sebelum bulan Ramadan. Amalan-amalan itu juga akan diganda-gandakan pahalanya oleh Allah SWT.

Apabila seseorang itu menghulurkan kebaikan-kebaikannya seperti bersedekah termasuk kepada ahli keluarga, kaum kerabatnya dan masyarakat di sekeliling maka sedekah itu akan menjadi sebaik-baik sedekah kerana bersedekah dalam bulan Ramadan.

Pendek kata, apa yang dilakukan dalam bulan Ramadan menjadi lebih baik daripada bulan-bulan yang lain. Marilah kita sama-sama berdoa, dengan doa yang ringkas ini.

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sampaikanlah kami dalam bulan yang penuh keberkatan ini”

Inilah masanya untuk kita benar-benar bertaubat, benar-benar beribadah kepada Allah SWT, benar-benar bermunajat kepada Allah SWT. Ada hikmah di sebalik situasi yang kita lalui sekarang ini. Namun sedarlah, kita tidak bersendirian kerana bukan hanya Malaysia yang merasai detik kesukaran ini bahkan di seluruh dunia. Sudah tentu ia memberikan keinsafan yang tinggi buat kita.

Persiapan pertama, niatkan bahawa bukan hanya rantaian wabak COVID-19 yang hendak kita putuskan bahkan juga rantaian dosa-dosa. Niat untuk meningkatkan keinsafan dalam diri kita sepanjang Ramadan yang berlainan pada tahun ini. Niat yang lebih tinggi untuk meningkatkan taubat kita kepada Allah SWT. Maka, betulkan niat kita.

Kesilapan dan kealpaan kita datangnya dari musuh-musuh pelbagai ‘kluster’ antaranya ‘kluster syaitan’. Sebelum bulan Ramadan pun syaitan tetap datang mengganggu kita. ‘Kluster nafsu’ pula lebih kepada nafsu makan terutama ketika berbuka puasa. Orang yang sentiasa menjaga iman dengan baik, ibadahnya pasti tidak akan terganggu dengan mudah.

Mudah mudahan kita bukan sekadar dapat memutuskan rantaian virus COVID-19 tetapi juga rantaian ‘kluster-kluster’ ini yang boleh merosakkan jiwa, akal, emosi serta fokus kita. Semua ini datangnya daripada kluster syaitan, kluster nafsu yang jahat, kluster dunia yang melalaikan dan kluster orang-orang yang merosakkan.

Di dalam satu hadis Rasulullah SAW menyebut “Setiap amalan bergantung kepada niat kamu. Dan kamu akan mendapat apa yang kamu niatkan.” Maka niatkanlah yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik, hasratkan yang baik-baik.

Persiapan kedua, banyakkan memohon ampun kepada Allah SWT. Sekarang apabila diuji kita reda, kita tabah. Istighfar selalu contohnya sambil memasak, sambil buat apa sahaja kerja pastikan lidah kita banyak beristighfar.

Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosa kita, ahli keluarga, masyarakat, apa sahaja dosa-dosa kita dahulu yang kita sedar dan tidak sedar. Mohon ampun dengan Allah SWT. Persiapkan hati, minda dan emosi. Baca perkara-perkara yang baik, elakkan provokasi yang menjuruskan kita untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.

Bacalah sesuatu yang boleh memberi inspirasi untuk kita terus membuat kebaikan khususnya dalam bulan Ramadan. Kita kekalkan #kitajagakita Bukan sekadar jaga keselamatan, kesihatan, kebersihan dan ahli keluarga tetapi juga jaga hati kita. Apabila hati bersih dan baik, jaga akal fikiran kita supaya sentiasa positif. Jaga emosi supaya sentiasa tenang dan sabar. Fikirkan apa yang lebih penting untuk kita beramal soleh di dalam bulan Ramadan.”

IKLAN
Share