“Ramadan Tahun Ini Buat Pertama Kali Saya Tadarus Al-Quran Bersama Famili,” Rozita Che Wan

Bulan Ramadan adalah bulan suci sebagai ganjaran buat umat Nabi Muhammad SAW. Keistimewaan yang tidak dimiliki oleh kaum-kaum lain kerana di dalamnya terdapat Malam Lailatul Qadar merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Malah setiap perbuatan baik juga dijanjikan pahala berlipat kali ganda. Sebagai umat yang terakhir, kita perlu mengambil kesempatan meraih keberkatan Ramadan ini sebaik-baiknya sebagai bekalan di akhirat kelak.

Selebriti wanita yang tinggi lampai dan cantik ini juga tidak mahu ketinggalan merebut pahala di bulan yang mulia ini. Tahun ini buat pertama kalinya Rozita Che Wan, membuat tadarus di rumah bersama keluarga tercinta.

“Walaupun tugas-tugas saya berjalan seperti biasa sepanjang Ramadan ini, tetapi pada tahun ini saya tekad untuk bertadarus bersama ahli keluarga. Saya berharap sangat pada Ramadan tahun ini dapat khatam al-quran,” tutur Rozita penuh semangat.

Menurut isteri kepada pelakon dan usahawan Zain Saidin ini, bagi usaha untuk merealisasikan impian bertadarus sepanjang Ramadan, wanita yang lebih mesra disapa Che Ta ini telah memanggil seorang ustazah datang ke rumah untuk memantau tajwid dan bacaan Al-Quran mereka.

Dalam meraih keberkatan Ramadan juga, Che Ta telah melancarkan kad prabayar Eksklusif kerana mahu memberikan penghargaan kepada seluruh peminatnya yang tidak pernah jemu menyokong selama ini. Kad ini boleh didapati bermula 11 May nanti.

Sebuah majlis bagi memperkenal dan seterusnya melancarkan kad Prabayar Eksklusif Rozita Che Wan dengan kerjasama My International Mobile Sdn. Bhd. telah dijalankan sedikit masa lalu.

“500 yang terawal mendaftar kad ini, bakal diraikan dalam sebuah majlis Berbuka Puasa Eksklusif yang akan diadakan pada 19 May 2019 di Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, mereka yang hadir pada majlis berbuka puasa Eksklusif tersebut akan berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM100,000 termasuk wang tunai dan barangan dari ByRCW dan Zapatos by Zain Saidin,” tutur Che Ta.

Bercerita tentang persiapan Syawal pula, “Sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu sudah semestilah tanggungjawab merancang perbelanjaan terletak di tangan kita. Saya biasanya akan memperuntukkan sebahagian bajet untuk sambutan raya setiap tahun.

Biasanya peruntukan bajet raya saya hanya untuk kuih raya dan duit raya sahaja. Macam baju memang tak boleh ikut bajet kerana biasanya akan beli bila mata dah berkenan. Saya akan menyediakan baju raya untuk diri sendiri, suami dan anak-anak.

Walaupun begitu saya jenis wanita yang suka membuat persiapan lebih awal. Segala persiapan raya saya akan buat sebelum menyambut bulan Ramadan lagi.

Saya tidak suka membuat persiapan last minute dan merancang dengan rapi segala persiapan terutama baju raya untuk kami sekeluarga. Ketika bulan puasa saya hanya akan menempah kek dan kuih raya sahaja.

Saya jarang memperuntukkan bajet untuk perbelanjaan rumah ketika menyambut Syawal. Boleh dikatakan saya jarang menyambut raya di rumah jadi kelengkapan rumah tidak berubah, macam itu sahaja.

Mungkin tahun ini saya akan buat open house tetapi bukan di rumah, mungkin saya akan membuat open house di hotel,” tutur ibu kepada Aaisyah Dhia Rana ini.

 

 

IKLAN
Share