Ramai SURI RUMAH Menggunakan Produknya Tapi Tak Tahu Individu Di Sebalik Produk Popular Ini! Kenali Pencetus Santan Kotak, Susanto Lee

Penghijrahan dari Indonesia ke Malaysia sekitar tahun 1999 demi mencari pengalaman hidup dan meneroka peluang perniagaan ternyata telah mengubah kehidupan Susanto Lee hari ini. Dia yang berasal dari Pulau Bengkalis, Indonesia sama sekali tidak menyangka akan menceburi perusahaan berasaskan buah kelapa memandangkan tempat kelahirannya itu cukup sinonim dengan tanaman tersebut. Perit mengharungi segala bentuk cabaran sebelum sampai ke puncak kerjaya, Susanto yang kini merupakan Pengarah Kara Marketing Malaysia (KMM) Sdn Bhd enggan terus mendabik dada.

Sebaliknya, ahli korporat berusia 48 tahun ini masih aktif menuntut ilmu perniagaan dan merencana strategi pemasaran produk keluarannya ke tahap global. Memiliki jaringan produk santan kelapa di bawah jenama Kara, Susanto meluaskan empayar KMM daripada sebuah syarikat peneraju pasaran produk kelapa kepada pengimport dan pengedar bagi beberapa produk lain termasuk barangan penjagaan diri.

Antara label produk yang diuruskan Susanto seperti Karta, Dua Kelinci, Mustika Ratu, Hoya Coffee, Reico, Ladaku, Deka, Morin, Akasa, Naco, Wize Food, Rege, Sukro, Master Martini dan Wardah.

Empat tahun mendalami selok-belok perniagaan di Perusahaan Terbatas Frisian Flag Indonesia melayakkan Susanto menyandang jawatan sebagai Pengurus Pemasaran di Perusahaan Terbatas Kara Santan Pertama (KSP). KSP merupakan sebuah organisasi yang menginovasikan penjualan santan kelapa dalam bentuk pek kotak sekaligus menjadikannya yang pertama di Indonesia dan dunia.

“Santan kotak Kara kami menggunakan teknologi pemprosesan suhu ultra tinggi atau UHT yang tidak boleh dipek sembarangan kerana santan mengandungi kandungan bakteria yang agak tinggi berbeza daripada minuman dan makanan lain. Disebabkan kegawatan ekonomi dan kejadian rusuhan di Indonesia pada tahun 1997, saya terpaksa pindah ke Malaysia. Kebetulan masa itu pada Ogos 1999 Pengasas KMM, Teh Jui Kern membuka perniagaan di sini dan melantik saya sebagai Pengarah. Dulu, kami hanya ada dua pekerja tetapi sekarang sudah ada lebih 120 staf di seluruh Malaysia.

Memiliki 150 rangkaian produk makanan dan 250 item penjagaan diri, KMM ibarat gedung penghasilan bahan kulinari seperti kerisik, air minuman kelapa, santan pekat, santan cair, jem sapuan roti, kekacang, snek, minuman kopi dan serbuk lada putih serta sardin dan nanas yang dijual  dalam tin. Tidak ketinggalan, ia turut memasarkan produk kolaborasi klien seperti Mustika Ratu dan mengadakan usahasama dengan syarikat kosmetik terkenal Indonesia, Wardah.

“Sudah lima tahun KMM menjadi pengimport dan pengedar produk penjagaan diri Mustika Ratu. Seluruh urusan bisnes mereka adalah di bawah komitmen kami. Untuk merancakkan lagi penjualan Mustika Ratu kami berusaha melakukan penjenamaan semula dan memperbesar rangkaian penjagaan diri termasuk penyertaan kosmetik Wardah tahun ini.

Banyak aspek yang harus diberi tumpuan untuk memasarkan barangan Muslim di Malaysia dan menembusi pasaran antarabangsa. Kami harus tahu ke mana hala tuju barangan ini dan mahu memasarkannya ke China kerana pasaran luas yang terdapat di sana. Begitu juga penjualan air minuman kelapa Karta yang telah dilancarkan tiga tahun lepas.”

Daripada hanya sebuah pejabat kecil yang beroperasi di Kuala Lumpur kini perluasan ‘kuasa’ KMM telah bertapak di enam pejabat jualan seluruh Malaysia termasuk Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Sabah dan berhasrat membuka sebuah lagi di Sarawak. Untuk menampung pertambahan produk dan pekerja saban tahun, KMM telah mendirikan gudang dan pusat logistik di Bandar Puncak Alam, Selangor. Malah, sebuah makmal kawalan kualiti telah dibina agar produk yang dihasilkan mencapai standard piawaian dan bermutu tinggi.

 

 

IKLAN
Share