Meskipun duduk di rumah dan kekalkan jarak sosial, arahan ini bukanlah tiket untuk para atlet negara beristirahat daripada rutin latihan.
Bagi Goh Liu Ying, beliau yang merupakan atlet beregu campuran badminton negara dan kini tersenarai di ranking ketujuh dunia, memilih gaya hidup sihat untuk mengekalkan staminanya.
Dalam temu bual eksklusif Nona dengan Liu Ying atau ‘Guleng’, wanita jelita berusia 31 tahun dengan ketinggian 166cm ini mengakui sebagai atlet perlu aktif bagi mengelakkan tahap fitness menurun.
Sambil mengusik tentang videonya bermain badminton di dalam bilik, beliau sambil ketawa menjawab, “Dimana-mana pun boleh berlatih, takde masalah. Smash terus bila dapat raket dan bulu tangkis.”
“Sebenarnya duduk di rumah pun kita mesti kekal sihat dan positif. Jangan beri alasan tak boleh keluar untuk tidak berpeluh. Saya sendiri pun ambil inisiatif bersenam, buat yoga, tabata dan core exercise untuk kesihatan.
Walaupun tanpa kemudahan gym, tapi kita boleh buat senaman berasaskan body weight, push up atau squat. Untuk wanita, senaman-senaman ini sangat senang dilakukan dan tak perlu ruang yang besar.
Untuk seorang atlet, senaman ni memanglah tak cukup. Tapi sekurang-kurangnya masih okey daripada tak berlatih langsung. Yang penting kita set alarm untuk bangun awal dan workout!
Aspek pemakanan pun mesti dijaga. Walaupun kita sebagai wanita suka memasak, tapi janganlah keterlaluan. Jangan lupa bahawa badan kita kurang aktif di rumah dan pembakaran kalori jadi perlahan berbanding biasa.
So kalau masak, cuba kurangkan makanan bergoreng dan banyakkan masakan stim atau sup.
Untuk mengendalikan stres, saya suka masak dan main game. Saya juga selalu tengok movie, boleh dikatakan setiap hari untuk mengisi masa lapang. Ada masanya saya buat LIVE di Instagram untuk kongsi ilmu workout dengan peminat sukan.
Ads
Waktu ini sepatutnya saya berada di Wuhan, China untuk menyertai kejohanan The Asian Badminton Championships (ABC) bagi sesi kelayakan Sukan Olimpik akan datang.
Tapi memandangkan Sukan Olimpik Tokyo pun dah ditunda, jadi tarikh baru belum diputuskan. Saya harap wabak bencana COVID-19 akan segera berakhir supaya dapatlah menyertai kejohanan-kejohanan lagi,” kata Liu Ying yang berasal dari Melaka itu.
Sebelum PKP berkuatkuasa, Goh Liu Ying bersama gandingannya Chan Peng Soon mara membuktikan prestasi cemerlang selepas meraih kejuaraan Masters Thailand dan Terbuka New Zealand pada Januari dan Mei lalu.
Beliau yang mengikat kontrak sebagai duta Li-Ning dan Yobick Malaysia sudah berundur daripada pasukan kebangsaan pada Disember 2018, namun mereka masih meneruskan kejohanan antarabangsa di bawah penajaan Li-Ning.
Anak sulung daripada tiga beradik milik pasangan Goh Chak Wee dan Yong Oi Lin ini sering menyertai pelbagai kejohanan badminton di peringkat antarabangsa. Antara pencapaian terbaik beliau membawa pulang pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016. Liu Ying juga bercita-cita untuk mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hati perempuan mana yang tidak terkesan apabila hubungan yang diharap akan membawa ke jannah putus di tengah jalan. Namun, usahawan kosmetik ini tidak mahu mengalah dengan perjalanan hidupnya. Meskipun mengharapkan perkahwinan ketiganya berjalan lancar namun terpaksa akur dengan ketentuan jodoh untuknya.
Cerita wanita yang mesra disapa Joy Revfa tentang perkahwinan ketiganya, “Ya, memang benar, saya putus tunang. Kami merancang untuk berkahwin waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Semua persiapan sudah dah siap. Tapi, bila majlis perkahwinan asyik tertangguh lama-lama timbul rasa tak sesuai. Jadi bila rasa tak serasi dan rasanya elok saya meluahkan untuk tidak meneruskan hubungan,” tutur wanita yang pernah berkahwin dengan Hafiz Hamidun ini.
Kagum dengan semangat Pengasas MERVE Group Holdings Berhad ini yang tidak patah semangat dan terus merencana kehidupannya terutama dalam perniagaan dan anak tunggalnya. “Sedih memang lah sedih. Tapi, saya putus secara baik dan tidak timbul pergaduhan di antara kami. Bekas tunang seorang lelaki yang baik tapi mungkin kerana perkenalan kami terlalu singkat dan belum sempat kenal hati budi masing-masing,” kata wanita yang mudah mesra ini.
Wujud istilah serik untuk berkahwin lagi? “Dua kali gagal dalam perkahwinan dan kini putus tunang pula, sebenarnya saya setakat ini belum tertutup lagi pintu hati untuk menerima lelaki yang bergelar suami. Nak kata serik tu kadang-kadang serik juga, tapi bila masuk perkahwinan kali ketiga, saya kena betul-betul memilih siapa calon suami. Saya mencari yang sesuai dengan diri ini dan satu kepala,” bicara Joy Revfa.
Tambahnya lagi, “Kebanyakan circle saya adalah terdiri daripada lelaki yang berjaya dan berduit. Jadi saya bukan memandang lelaki yang kaya, berharta atau pun berkerjaya. Apa yang penting calon suami saya nanti dapat membimbing, memahami saya dan yang paling penting adalah keserasian.
Bagaimana mahu mencari keserasian? Sebab itu kita kena kenal dalam tempoh setahun atau dua tahun. Baru boleh tahu keserasian tersebut,” ujar ibu kepada seorang anak lelaki yang berusia 6 tahun ini. Semoga Joy Revfa dipertemukan dengan calon suami yang mempunyai husband material idamannya.
Cukup suka dengan cara Cikgu Zack Kirana menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Tak dinafikan, dia mempunyai strategi tersendiri memartabatkan Bahasa Melayu. Sekaligus menarik perhatian para pelajar menguasai bahasa kebangsaan.
Inisiatif Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim menggunakan platform media sosial miliknya sebagai medium untuk memperbetul tatabahasa mahupun ejaan Bahasa Melayu wajar diberi pujian.
Apatah lagi, media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Tik Tok sering menjadi rujukan generasi muda hari ini. Bukan hanya medium untuk berniaga dan berinteraksi secara alam maya tetapi juga menimba ilmu.
Terkenal dengan gaya ranggi, Cikgu Zack Kirana diketahui ramai sebagai guru selebriti yang mesra orangnya. Difahamkan dia mula menceburi bidang pendidikan kira-kira sembilan tahun lalu. Semuanya bermula kerana niat mendalam untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat khususnya dalam subjek Bahasa Melayu.
Bertugas sebagai guru di sebuah pusat tuisyen sejak tahun 2014, penglibatan Cikgu Zack sebagai pendidik bermula apabila dia diminta menggantikan rakannya yang mengambil cuti bersalin selama tiga bulan.
Sebelum menceburi kerjaya ini, Cikgu Zack yang mempunyai Ijazah Sarjana Pengajian Melayu dari Universiti Malaya pernah terlibat dalam industri radio namun terpaksa pulang ke kampung halaman menemani ibu selepas kematian ayah.
Dia membantu ibu menguruskan perniagaan katering keluarga sehinggalah rakan baik memintanya jadi guru ganti selama tiga bulan di pusat tuisyen kerana cuti bersalin.
Sejak itu, minat Cikgu Zack terhadap bidang pendidikan semakin menebal dan tidak menyangka para pelajar menerima penampilannya yang lincah dan ranggi.
Jelas Cikgu Zack, dia selesa menjadi diri sendiri dan mengajar dengan cara sendiri yang berbeza daripada pembelajaran formal di sekolah. Katanya, ini antara pendekatan yang dilakukan untuk menarik minat pelajar berbilang bangsa mencintai Bahasa Melayu.
Baru-baru ini Cikgu Zack Kirana dmembuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa cuba menjatuhkan maruahnya. Selain menghina dan mencercanya dengan kata-kata kesat di media sosial.
Terdahulu, Cikgu Zack Kirana menjadi tular selepas menegur kesalahan tatabahasa dalam lirik lagu popular, Casablanca.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pengalaman bercerai yang pernah dilalui pasangan suami isteri bukan penamat untuk mereka membina semula kehidupan berumah tangga yang lebih bahagia. Ini kerana pasangan yang pernah bercerai dan berkahwin kali kedua mahupun kali ketiga disifatkan sebagai lebih bertanggungjawab, bertolerasi dan bijak mengawal keadaan jika berlaku pergeseran dalam rumah tangga.
Perceraian sememangnya tidak digalakkan namun tragedi yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dalam memberikan ruang kepada suami atau isteri terlibat bermuhasabah diri. Bagi Farah Asyikin Zulkifli, pertemuan dengan pasangan hidup yang baharu pada perkahwinan kali ketiga membuatkan dirinya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kisah duka sebelum ini berulang kembali.
Farah Asyikin, mendirikan rumahtangga buat kali ketiga bersama pasangannya, Raja Iskandar Raja Muktharuddin kira-kira dua tahun yang lalu. Manakala perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua buat Raja Iskandar. Bagi Farah, urusan jodoh merupakan rahsia Allah dan selepas melakukan solat istiqarah, hatinya terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki bergelar suami setelah gagal dalam dua perkahwinan terdahulu.
Setelah dua tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami tersayang, isteri kepada pengurus di sebuah syarikat minyak dan gas ini ternyata amat bersyukur dipertemukan dengan Raja Iskandar yang disifatkan sebagai seorang lelaki yang terlalu istimewa dan mempunyai hati yang baik.
“Alhamdulillah tahun ini sudah dua tahun saya menjadi isteri kepada suami, Raja Iskandar. Saya amat bersyukur dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik serta menjadi pelindung untuk diri saya. Dia menunjukkan sifat yang penuh tanggungjawab, kasih sayang dan keikhlasan menerima saya sebagai isteri. Tetapi apa yang lebih utama, dia menerima dan menyayangi anak saya, Uwais seperti anaknya sendiri,” ujar Farah Asyikin yang amat menyanjung tinggi keperibadian yang dimiliki oleh suami tersayang.
Ditanya mengenai detik perkenalan dengan suami tersayang, menurut Farah dia mengenali suaminya ketika terbabit dalam kerja amal bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dengan program kemanusiaan, Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakaf).
“Secara kebetulan, kawan saya mengajak suami menyertai kerja amal ketika kami melancarkan kumpulan Addin Gaza bagi mengutip dana membantu penduduk. Saya menguruskan aktiviti kumpulan itu dan sejak itu, kami mula berkenalan,” katanya mengimbas kembali detik perkenalan dengan suami tersayang.
“Saya bersyukur dipertemukan dengannya. Dia banyak membantu saya untuk terus kekal istiqamah. Sebagai manusia biasa, saya tidak selalu sempurna, namun dia sentiasa membimbing saya untuk menjadi insan yang lebih baik.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya mengenali suami setahun sebelum dia mengambil keputusan untuk melamar saya. Malah saya bersyukur suami sempat mengenali arwah bapa yang meninggal dunia pada bulan dia melamar saya dan hubungan kami direstui keluarga. Arwah bapa dan keluarga begitu menyayanginya,” katanya yang bersyukur menjalani kehidupan sebagai isteri.
Ketika ditanya mengenai perasaannya setelah gagal dalam perkahwinan terdahulu dan kembali bergelar isteri kira-kira dua tahun yang lalu, Farah ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila Raja Iskandar menyatakan hasrat untuk memperisterikan dirinya kira-kira dua tahun yang lalu.
“Saya akui agak gementar untuk kembali berumah tangga tetapi perasaan kali ini sangat berbeza. Pertemuan dengannya membuatkan saya berasa seperti kali pertama bernikah. Sifat penyayang dan bertanggungjawab Raja Iskandar membuatkan saya serta anak berasa selamat dan disayangi,” katanya.
Tambah Farah lagi, perkahwinan yang dibina di atas asas agama yang kukuh juga menjadi pegangan untuk dirinya terus istiqamah dalam usaha menjadi isteri terbaik buat suami tersayang serta ibu terbaik untuk anak tunggal kesayangannya.
“Saya tidak nafikan banyak cabaran yang harus saya dan suami lalu dalam perkahwinan ini memandangkan suami sudah biasa menduda selama 18 tahun dan mempunyai anak-anak yang sudah meningkat dewasa.Tetapi kami belajar untuk sepakat dan bersatu dalam melayari rumahtangga. Kami masih dalam proses mempelajari antara satu sama lain kerana perkahwinan bukan sahaja melibatkan saya dan suami, malah ia turut melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Kami sering mengingatkan antara satu sama lain dan menjadikan solat sebagai cara untuk kami berkongsi rasa,” ujar Farah yang percaya setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan merupakan hikmah yang dikurniakan olehNya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Farah mahupun Raja Iskandar sempat menitipkan rasa bahawa rumahtangga yang dibina berlandaskan rasa cinta terhadap Yang Maha Esa adalah antara tiang yang mampu mengukuhkan rumahtangga yang dibina. Farah dan Raja Iskandar amat menitik beratkan soal keseimbangan dan tolak ansur memandangkan ia merupakan antara kunci kebahagiaan yang nyata tidak boleh disangkalkan lagi.
“Alhamdulillah, Raja Iskandar menjadi pembimbing saya dan anak agar terus istiqamah. Doakan semoga rumahtangga kami kekal hingga ke akhir hayat,” ujar Farah seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!