Gaya Hidup

Rawatan Serangan Strok TIDAK BOLEH DILENGAHKAN, Segera ke Hospital Jika Terdapat Tanda-Tanda Ini

Sering terdengar pelbagai petua yang dilakukan jika berhadapan dengan pesakit yang diserang strok. Ahli keluarga atau orang terdekat perlu bertindak dengan cepat jika terdapat sebarang simptom serangan

Strok boleh berlaku pada bila-bila masa, dan berlaku secara tiba-tiba. Namun, banyak ahli keluarga yang melengahkan masa kerana cuba merawat sendiri di rumah.

Ada yang cuba untuk mengurut pesakit sehingga pulih, dan akibatnya, pesakit dibawa berjumpa doktor melepasi waktu tiga jam pertama, di mana rawatan terbaik tidak dapat diberikan lagi.

Strok merupakan punca kematian ketiga terbesar di Malaysia selepas jantung dan kanser. Setiap tahun dianggarkan 40,000 orang rakyat Malaysia mengalami strok. Strok boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan usia.

Strok adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak mengawal setiap pergerakan atau fikiran dan mengawal fungsi utama seperti pernafasan.

Otak memerlukan bekalan darah untuk berfungsi yang membawa oksigen dan nutrien penting. Apabila saluran darah tersumbat atau pecah bahagian otak akan mati. Maka tubuh akan mengalami strok.

Terdapat dua jenis strok yang utama, dan setiap satunya mempunyai sebab yang berbeza:

(a) Strok iskemia, terjadi apabila gumpalan darah menghalang arteri yang pergi ke otak dan mengganggu bekalan darah. Kerap kali, strok iskemia terjadi akibat dari timbunan kolesterol dan sisa lain di dalam arteri (atherosclerosis) selama bertahun-tahun.

(b) Strok berdarah, iaitu saluran darah di dalam atau di sekeliling otak pecah, menyebabkan pendarahan. Penyakit darah tinggi yang lama dan tidak dirawat menyebabkan tekanan pada dinding arteri, menambahkan risiko ia pecah atau berdarah.

Gejala Strok

Gejala strok mudah dikenal-pasti menggunakan Skala Strok Cincinnati (Cincinnati Prehospital Stroke Scale).

F – Facial droop

Wajah tidak simetri atau herot sebelah apabila pesakit disuruh senyum.

A – Arm drift

Apabila pesakit disuruh meluruskan kedua-dua belah tangan ke depan untuk seketika sambil menutup mata, didapati salah satu tangan akan turun menandakan kelemahan.

S – Speech

Percakapan pesakit kurang jelas daripada segi sebutan, atau kurang tepat dari segi maksud, atau tidak mampu untuk bertutur apa-apa.

T – Time to call 999

Jika seseorang mendapat gejala strok cepat hubungi hospital untuk mendapat bantuan.

Jika seseorang mengalami salah satu gejala di atas, kebarangkalian dia mengalami strok adalah 72 peratus. Seseorang yang disyaki mengalami strok perlu dihantar ke hospital untuk rawatan secepat mungkin.

Langkah Mengurangkan Risiko Strok

(1) Hidup lebih cergas

Senaman membantu menurunkan tekanan darah, mengawal berat badan, membuang toksin dan menyingkirkan lemak yang berlebihan. Lakukan senaman secara konsisten sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

(2) Pengawalan pemakanan

Amalkan pemakanan yang seimbang dan diet yang sihat. Banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang kaya dengan antioksida dan mineral. Kurangkan pengambilan garam dan lemak tepu.

(3) Berat badan seimbang

Berat badan yang berlebihan membawa risiko strok.

(4) Katakan tidak kepada rokok

Merokok merangsang arteriosklerosis dan menjadikan darah lebih mudah bergumpal. Hamizatul Maizan Mohamed

IKLAN
Share