Gaya Hidup

Reda Allah Datang Bila Kita Layan Keluarga Baik-Baik & Tak Berkasar – USTAZ EBIT LEW

Hidup ini kalau sentiasa meletakkan Allah SWT di tempat paling teratas, inshaAllah segala-galanya akan dipermudahkan. Dalam kesibukan kita mengejar reda Allah dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat, jangan pernah lupa untuk sentiasa memenangi hati keluarga sendiri. Bak kata Ustaz Ebit Lew ketika menyampaikan ceramah baru-baru ini, pemberian pasangan dan anak kepada kita selama ini adalah takdir milik Allah yang diberi ‘pinjam’ supaya kita sebagai hamba dapat saling mengingatkan tentang Dia dan sunah Nabi SAW.

“Pasangan kita bukan milik kita tapi milik Allah SWT. Jangan pernah lupa tu. Bila-bila masa Allah beri dan bila-bila masa Allah boleh ambil. Bila kita betulkan tujuan kita berkeluarga, kita akan bahagia. Keluarga kita, kita jangan berkasar. Ada yang balik rumah je nak marah… tempat lain semua kita baik-baik, kita dakwah orang dengan kasih sayang.

Tapi kadang-kadang dengan keluarga kita jadi kasar. Sikit-sikit nak marah. Sebab apa marah? Sebab kita ingat kita seseorang yang patut dihormati dan didengari. Orang nak hormat ke, tak hormat ke, kita akan berdakwah, berkasih sayang dan tetap berjuang seperti Rasulullah SAW. Hidup kita macam roda. Ada masa kita dipuji ada masa pula kita dikeji. Tujuan hidup kita adalah untuk reda Allah SWT,” tegasnya.

Terkenang sikap dan perubahan yang dialami seorang hamba Allah ketika ditemuinya di sebuah pusat mencuci kereta suatu ketika dulu, Ustaz Ebit Lew terbuka mendedahkan ‘hidayah’ yang diterima insan tersebut.

“Masa nak basuh kereta saya tengok seorang abang bawa kereta Audi baru, tengah duduk-duduk ada makcik jual kerepek datang. Dia bagi RM50 dan kata “Takperlah mak cik. Saya nak 3 jer.” Sebenarnya 3 cuma RM10. Mak cik tu kata “Terima Kasih, nak. Terima kasih. Alhamdulillah rezeki mak cik.”

Lepas tu saya duduk di sebelah abang tadi. Saja nak berbual. Dia tegur saya dan kata ini Ustaz Ebit Lew ke? Ya Allah rezeki jumpa di sini. Dia peluk saya. Dalam hati saya. Saya doa “Ya Allah dalam berjuta rahmat yang Kau beri kepadaNya, berilah sedikit kepada saya.”

Saya cakap padanya, “Tahniah pada abang. Allah sayang abang. Satu, sebab sedekah pada mak cik tadi dan keduanya kereta Audi baru ini..masyaAllah..”

Dia terus mencelah dan kata saya sebelum ni susah sangat. Semua yang saya buat semua tak jadi. Saya kerja siang malam dekat 5 tahun. Tapi rasa macam takde apa-apa tapi cuma dapat penat. Hutang pun banyak keliling pinggang. Dengan keluarga jadi jauh. Orang kata dunia tak dapat, keluarga hilang dan akhirat lagilah.

Sehinggalah Allah selamatkan saya. Saya belajar dari Ustaz juga. Saya dah mula jaga solat Subuh di masjid. Saya jaga solat. Saya rajin dengar ceramah agama. Saya dengar ceramah Ustaz. Saya ternanti motivasi Ustaz. Saya beli semua set buku Ustaz. Teruskan berdakwah yer Ustaz.

Paling besar kesan Allah bagi bila saya mula belajar baca hadis dalam rumah tangga saya bersama isteri dan anak-anak. Isteri saya mula solat. Mula pakai tudung. Saya semakin sayang dia, Ustaz. Rasa macam pengantin baru. Bila saya balik masjid rasa tak sabar nak jumpa isteri… kadang-kadang melompat masuk rumah. Tak sempat nak buat yang lain terus rasa nak peluk isteri… rasa rindu isteri.

Saya dah tak buang masa dengan hiburan dan kawan-kawan. Tak ke mana-mana tu semua. Tak sangka rezeki kami mula melimpah ruah. Allah bukakan jalan. Tiada lagi rasa nak marah-marah. Tenteram rasa dalam rumah.”

Allahu, meskipun Ustaz Ebit dah berjumpa dengan bermacam-macam orang tapi pengalaman lelaki ini turut menyentuh hatinya. Pesan Ustaz Ebit lagi, “Kita kejar akhirat, dunia kejar kita. Jadikan Allah sebagai maksud. Allah tujuan hidup, Allah sebagai cinta kita. Allah kekasih. Hargai bimbing keluarga.”

Lepas ni, balik dari kerja dan masuk rumah… pastikan diri kita penuh dengan aura positif untuk bertemu keluarga. Sebarkan kebaikan kepada anak-anak dan moga-moga amal kebaikan yang kita lakukan ini mendapat keredaan Allah seterusnya membuatkan hidup kita lebih tenang dan bermakna.

 

Kredit: Ustaz Ebit Lew

IKLAN
Share