
Resepsi mewah pasangan mempelai Luna Maya dan Maxime Bouttier raih tumpuan, bahkan souvenir mesin kopi jadi bualan tetamu sampai sekarang.
Malam 30 Julai 2025 bermandi nostalgia. Di tengah gemerlapan kota Jakarta, berlangsungnya majlis malam resepsi kedua Luna Maya dan Maxime Bouttier, dua bulan selepas majlis akad nikah dan resepsi pertama mereka di Bali.
Pasangan mempelai menghadiahkan malam istimewa buat keluarga, kenalan rapat dan sahabat media di sana. Suasananya santai namun tetap sarat gaya dan kelas tersendiri. Keikhlasan tuan rumah sampai kini masih diperkatakan, khususnya souvenir yang diberikan kepada semua tetamu.
Penampilan Luna Maya malam itu begitu memukau. Beliau memilih busana labuh rona perak bersiluet ramping rekaan Sebastian Gunawan serta dress
glamor Yogie Pratama untuk after party, high jewellery rumah fesyen mewah Bvlgari dan sepatu ikonik Christian Louboutin.Fabrik berkilau lembut di bawah cahaya ballroom menyerlahkan keanggunan Luna Maya. Wajah jelita Luna Maya dirias oleh Archangela Chelsea, manakala rambut didandan agar nampak natural. Sentuhan mekap kekal dalam palet ‘coral glazed‘ yang menjadi identitinya sepanjang rangkaian majlis ini.
Kulit dirias segar dan bercahaya, bibir rona nude lembut dan mata yang memikat tetapi tidak berat. Tiada tiara, tiada veil dramatik kerana pada malam itu, Luna adalah permaisuri yang cukup hanya dengan dirinya sendiri.
Maxime pula tampil segak dalam sut hitam klasik Agus Lim berpotongan Itali, dipadankan dengan kemeja putih bersih. Gaya yang minimalis tetapi tepat mencerminkan auranya sebagai lelaki moden yang tahu siapa dirinya, dan siapa yang dipilihnya.
Majlis resepsi mewah Luna Maya & Maxime Bouttier terpahat jadi kenangan indah, saksikan rakaman istimewa para tetamu yang hadir di sini…
Antara tetamu terhormat yang hadir termasuk Edric Tjandra selaku pengacara majlis, beberapa rakan selebriti dari Malaysia iaitu Fazura, usahawan Diana Nasimuddin dan pereka fesyen duo Fiziwoo.
Resepsi ini turut dimeriahkan oleh persembahan istimewa daripada band legenda Indonesia, Sheila On 7. Lagu-lagu mereka seperti ‘Dan’ dan ‘Sephia’ dialunkan secara langsung, membawa tetamu hanyut dalam nostalgia cinta yang berbalut muzik hidup.
Salah satu momen paling ikonik adalah ketika Luna dan Maxime berdiri di sisi kek perkahwinan bertingkat megah. Pasangan ini perlu menaiki pentas khas untuk memotong kek bahagian tertinggi, yang menjadi simbolik bahawa cinta yang benar memerlukan usaha dan keberanian.
Daripada ruang tamu hingga ke meja makan yang dihias indah, tiada sebarang protokol rasmi. Para tetamu bebas bergerak, beramah mesra dan bergambar bersama pasangan di ruangan tengah ballroom yang direka persis gelanggang tenis.
Namun yang masih diperkatakan sampai sekarang adalah souvenir mesin kopi yang dihadiahkan kepada setiap tetamu. Mesin kopi pintar berjenama NOD MAXIMO buatan Indonesia itu dianggarkan berharga RM700 dan diberikan kepada 700 tetamu yang hadir.
Dibungkus kemas dalam sebuah beg tote besar persis Dioriviera dengan inisial nama mempelai LM, turut dihadiahkan kapsul kopi dan cawan khas Zen Tableware, vitamin Blackmores, barangan penjagaan kulit Kiehls serta banyak lagi untuk dijadikan kenangan abadi.
Daripada Luna dan Maxime, kita belajar bahawa jodoh bukan tentang cepat, tapi tepat. Meskipun jarak usia berbeza 10 tahun, Luna Maya (43) dan Maxime Bouttier (33) membuktikan bahawa cinta sejati akan sampai pada waktunya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-sekinchan-mahu-malaysia-jadi-harimau-digital-asia-nurul-izzah-saksi-syarikat-mikrocip-canggih-ditubuhkan/
This website uses cookies.