“Restu & Sokongan Suami Penting Untuk Saya Menjadi Wanita Sukses” DATIN SRI JESSIE WONG

Biarpun berbangsa Cina namun Datin Sri Jessie Wong Siaw Puie atau lebih mesra disapa sebagai Datin Sri Jessie fasih berbahasa Melayu. Ini kerana Datin Sri Jessie memiliki ramai kenalan berbangsa Melayu di samping aktif dengan aktiviti-aktiviti sosial kemasyarakatan.

Lebih membanggakan dalam usia 36 tahun Datin Sri Jessie selesa di platformnya sebagai usahawan sukses. Melihat kepada biografi yang dikongsi ternyata Datin Sri Jessie bukan calang-calang wanita. Mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak usianya 24 tahun Datin Sri Jessie menerima berbagai pengiktirafan serta anugerah.

Memiliki kelulusan dalam bidang pemasaran, penerima pingat Darjah Seri Melaka (D.S.M) ini seorang yang sangat komited serta cemerlang dalam kerjayanya.

Bidang perniagaan terkini yang dikendalikan oleh Datin Sri Jessie antaranya ialah berkaitan dengan perancangan kewangan dan pelaburan hartanah. Kini Datin Sri Jessie menyandang beberapa jawatan besar antaranya Pengarah Urusan di World Trade Regal Trading Sdn Bhd, dan All Stars Arena Sdn Bhd (Influencers Online Education & Agency Platform

).

Selain itu, Datin Sri Jessie juga merupakan perancang kewangan di syarikat JWC Agency, dan Centre Director di CID Realtor (hartanah). Antara pencapaian dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh Datin Sri Jessie ialah beliau pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita 2019 dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu) di seminar “Gift of Love” – Women Empowerment 2019 anjuran Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur Selangor (KLSCWO).

Anak jati Johor Bahru ini turut menerima pengiktirafan Top of the Table (TOT) 5 Times dari tahun 2015 sehingga 2019. Beliau juga penerima IDA Platinum Dragon Award 2015-2017 dan 2019. Beliau juga merupakan salah seorang wanita Malaysia yang dipilih sebagai ahli The Ten Million Club by China Million Forum (CMF) sebuah forum elit paling terkenal di China. Lebih membanggakan lagi ialah Datin Sri Jessie pernah tersenarai sebagai 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MYE Award) 2017.

Selain cemerlang dalam lapangan kerjaya, Datin Sri Jessie turut aktif dalam aktiviti sosial antaranya dilantik sebagai Presiden Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA), Penolong Pesuruhjaya RELA (PPjR) Jabatan Sukarelawan Malaysia, Presiden Malaysia Influencers Online Association

(MIOA), dan Naib Presiden Persatuan Penasihat kebajikan China Malaysia.

“Saya seorang yang sangat komited dengan apa jua tugas yang dilakukan. Tambahan pula saya sukakan cabaran. Maka sebab itulah saya sentiasa bersedia untuk memberikan seratus peratus komitmen terhadap skop kerjaya saya. Dalam setiap tugasan yang diamanahkan memerlukan tindakan yang pantas. Saya berpegang kepada prinsip sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh walau apa pun halangannya.

Nasihat saya buat wanita yang mahu sukses dalam apa jua bidang yang dilakukan seterusnya menjadi wanita berdikari perlu mengetahui nilai diri serta kekuatan yang dimiliki. Manfaatkan kekuatan itu untuk meningkatkan taraf kehidupan kita sebaik mungkin.

Restu dan sokongan suami sangat penting untuk menjadikan saya seorang wanita sukses. Saya bertuah kerana suami juga seorang usahawan berjaya. Beliau lebih lama dalam bidang ini serta sudah betah tentang selok belok perniagaan.

Selama lebih 10 tahun kami berkahwin suamilah yang menjadi tulang belakang saya untuk menjadi seorang usahawan yang bagus. Siapa pun kita hari ini hasilnya bukan sahaja daripada usaha sendiri bahkan daripada circle yang menyokong kita selama ini,” jelas Datin Sri Jessie. Beliau turut menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi serta lambang kekuatan untuk beliau terus bergerak ke hadapan.

Seiring trend sosial media masa kini, Datin Sri Jessie turut tidak ketinggalan memanfaatkan medium tersebut agar terus relevan dalam dunia perniagaan. Menerusi projek Malaysia Influencers Online Association (MIOA), Datin Sri Jessie menyediakan platform khas bagi mengumpul seluruh social influencers. Tujuannya ialah untuk membantu golongan ini berjaya dalam perniagaan online menggunakan media sosial.

Selain itu, ia juga bertindak sebagai platform untuk mengenali mereka yang telah pun berjaya dalam industri perniagaan online. Justeru, inilah harapan terbesar Datin Sri Jessie untuk melihat mereka berjaya seterusnya menjadi salah satu yang terkemuka dalam industri ini. Semoga impian serta hasrat murni Datin Sri Jessie ini menjadi kenyataan seterusnya dapat membantu lebih ramai usahawan online khususnya di kalangan generasi muda.

IKLAN
Share