Cantik manis dan kecil molek saja orangnya. Memiliki susuk tubuh yang langsing persis anak dara tidak langsung menunjukkan dirinya seorang ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 6, 3 dan 8 bulan.
Tania Zara bukan sekadar cantik bahkan seorang isteri dan ibu yang aktif sebagai pengusaha studio membuat kek iaitu Coffee Jeans & Co.
Tania Zara atau nama sebenarnya, Norzalina Mohd Sudin seorang yang merendah diri. Anak jati Kuala Lumpur yang berusia 37 tahun ini cukup mahir dalam membuat kek dan pastri.
Berjauhan dari suami yang bertugas sebagai Senior Drilling Fluid Engineering di Baker Hughes Saudi Arabia menjadikan Tania Zara seorang yang berdikari. Maka, tercetuslah idea untuk menubuhkan Coffee Jeans & Co sejak setahun lalu.
“Segalanya bermula dengan hobi saja sebab saya memang penggemar kek. Perancangan asal hendak membuka kafe tetapi memandangkan permintaan untuk membuka kelas lebih tinggi maka saya dan suami memutuskan untuk membuka studio Coffee Jeans & Co ini.
Ads
Secara asasnya Coffee Jeans & Co disewakan kepada mereka yang berminat untuk mengadakan kelas atau bengkel membuat kek, biskut, kuih dan sebagainya.
Coffee Jeans & Co juga menawarkan kelas yang bukan sahaja terdiri daripada tenaga pengajar tempatan bahkan dari luar negara. Saya antara salah seorang tenaga pengajarnya.
Ads
Setakat ini sekurang-kurangnya 100 kelas yang telah kami tawarkan buat orang ramai seperti membuat dan mendekorasi kek, pastri, pavlova serta macaroon.
Momen terindah apabila berpeluang menghasilkan pastri berupa chicken pie, sardine puff dan cream horn istimewa buat Raja Permaisuri Perak iaitu Tuanku Zara Salim bersempena ulang tahun kelahirannya. Antara klien besar Coffee Jeans & Co ialah Shell, Petronas dan Schlumberger.
Ads
Saya amat bersyukur dan anggap ini adalah rezeki seterusnya menambahkan lagi semangat untuk saya berusaha lebih gigih demi menaikkan nama Coffee Jeans & Co.
Satu-satunya sumber inspirasi saya dalam perniagaan ialah Datin Vivy Yusof,” kongsi Tania Zara yang juga aktif sebagai model iklan komersil dan pelakon. Amy Mohd
Sumber Foto: @taniazara dan @coffeejeansandco
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari yang mendebarkan. Tanggal 14 Julai 2021 tepat jam 11.00 pagi, impian kami untuk menemu bual bekas Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail akhirnya tercapai.
Mengetengahkan topik ‘COVID-19: Dugaan Kekuatan & Kesabaran Wanita’, siapa sangka begitu banyak pengalaman peribadi dan sisi ketabahan wanita berusia 69 tahun itu yang berjaya didedahkan.
Meskipun tidak mampu bertentang mata, sekadar merenung kamera dan berbalas senyuman secara online, namun kehangatan suara wanita hebat ini jelas meninggalkan kenangan terindah di hati kami.
Menerusi sesi Nona On Air yang dipancarkan secara langsung melalui saluran media sosial Facebook dan YouTube rasmi, saya dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak, buat julung kalinya berpeluang menemu bual beliau.
Cukup up-close dan personal, ikuti video penuh Nona On Air bersama Dato’ Seri Dr Wan Azizah ini…
KETABAHAN
Dato’ Seri Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di Alor Setar sebelum meneruskan pengajian di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Beliau kemudiannya diterbangkan ke Dublin, Ireland dan seterusnya menggenggam ijazah dalam bidang Obstetrik & Ginekologi.
Sekembalinya ke Malaysia, Dr Wan Azizah dilantik sebagai pakar oftalmologi di Hospital Kuala Lumpur dan di Hospital Universiti. Tahun 1993, wanita hebat ini meletak jawatan apabila suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada pilihan raya 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi hanya bertahan selama dua tahun apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu) meletak jawatan pada Februari 2020.
Banyak pengalaman Superwoman ini yang dikongsikan dengan penonton termasuk episod semasa muda membesarkan enam cahaya mata. Kekuatan seorang ibu bertambah apabila melihatkan anak-anak – Nurul Izzah, Nurul Hana, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman dan Nurul Ilham tidur bergelimpangan setiap kali beliau pulang dari kerja.
MASA DEPAN WANITA
Tidak ketinggalan, wanita yang pernah menggalas jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini juga turut memandang serius isu usahawan SME yang terkesan teruk akibat pandemik.
Ikuti perkongsian dan cadangan bernas Dato’ Seri Dr Wan Azizah dalam video ini…
Mengakhiri sesi selama hampir 1 jam ini, Dato’ Seri Dr Wan Azizah selaku Ahli Parlimen Pandan turut sporting memenuhi permintaan penonton yang ingin melihat beliau bertutur Bahasa Inggeris dalam aksen Irish.
Kehidupan rumah tangga itu seharusnya menguatkan. Isteri menampung kekurangan suami dan suami menampung segala keperluan isteri. Termasuklah ketika ujian menyapa, salah seorangnya rebah dibadai penyakit barah. Waktu inilah kejujuran sebenar terserlah.
Perbualan Nona dengan Perunding Hartanah, Muhammad Azizirrahim Mohd Yusoff, petang tadi ibarat mendengar sebuah kisah cinta abadi pada zaman moden ini. Bukan senang berjumpa seorang figura lelaki sehebatnya, seorang suami dan bapa yang tulus berkorban demi kebahagiaan keluarga tersayang.
Isteri Azizi, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya bernama Farah Fazarina Mohamad tiba-tiba disahkan menghidap masalah kesihatan serius sekitar tiga tahun lepas. Tahun itu mereka sebenarnya merancang untuk menambah cahaya mata ketiga, namun rancangan Allah mendahului segala-galanya.
“Kami berkahwin pada tahun 2010. Hasil perkahwinan ini kami dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Amani Sofea (9 tahun) dan Amir Syahmi (6 tahun). Kalau ikutkan rancangan, tahun 2017 kami mahu tambah lagi anak. Isteri dah mengandung pun masa tu, tapi tiba-tiba berlaku jangkitan kuman ‘superbug’ dan dia terpaksa duduk tiga bulan di hospital.
Ternyata takdir tak menyebelahi kami. Sewaktu usia kandungan mencecah 28 minggu, doktor terpaksa ambil keputusan untuk selamatkan nyawa isteri kerana bimbang jangkitan kuman di tulang belakang. Dan berdekatan pula dengan bayi dalam kandungan. Maka dengan hati yang berat, kami berdua akur atas faktor kesihatan dan keselamatan si ibu.
Doktor kata, insyaAllah ada rezeki lain nanti. Tapi isteri kena tunggu sebab takut risiko terkena jangkitan kuman dan ia mungkin boleh membahayakan kandungan sekali lagi.
Memandangkan doktor anggarkan tiga tahun untuk sembuh, jadi isteri tak boleh mengandung disebabkan dia melalui major operation sebanyak empat kali. Pembedahan tu untuk membuang jangkitan dan pakar gunakan dos antibiotik paling kuat dalam rawatan.
Alhamdullilah selepas 4 bulan berikhtiar, isteri kembali sihat. Sepanjang tempoh pemulihan, saya berkali-kali bagi semangat padanya, sabarlah dengan ujian ini. Dan kami pun sama-sama rancang nak cuba dapatkan anak lagi pada tahun 2020.
Perasaan saya sebagai suami dan bapa tentulah sedih. Tak tergambar hati ini bila melawat kubur anak ketiga kami yang terpaksa ‘berkorban’ demi menyelamatkan ibunya.
Bermula saat itu, isteri saya mula memberi perhatian terhadap pemakanan dan gaya hidup kami sekeluarga. Atas nasihat pakar diet agar kurangkan berat badan, dia sendiri berusaha kurangkan karbo, makanan berminyak dan minuman manis, selain ambil madu asli sebagai suplemen. Kami juga makan banyak sayuran organik dan guna kaedah air frying untuk menggoreng.
Sempat juga kami bercuti bersama anak-anak selepas dia kembali sihat,” cerita Azizi sambil berkongsi foto-foto bahagia mereka.
HIDAP KANSER OVARI
Betapa tanggung jawab seorang suami itu tidak terhenti setakat menjaga keperluan zahir dan batin isteri sahaja. Seorang suami sepatutnya selalu memuji isteri, menghargai pengorbanan isteri dan sering mendoakan isterinya.
“Selepas tiga tahun episod jangkitan tersebut, kami pun mula merancang nak dapat baby baru. Pada Februari lepas, rezeki saya dapat bawa mak ayah tunaikan umrah mereka buat kali pertama. Berkali-kali isteri pesan, doalah kami dapat zuriat lagi tahun ni.
Selepas sehari sampai di Mekah, dia telefon untuk beritahu ada cyst. Tujuan dia buat check-up ketika tu sebab tiba-tiba sakit di bahagian rahim. Suspek juga mengandung, siap beli pregnancy test lagi.
Tapi bila check di hospital, doktor suspek kanser ovari dan sekiranya betul rahim perlu dibuang. Allahu, luruh jantung saya masa tu. Saya terlalu sedih dan menangis semahu-mahunya di depan Kaabah. Hati saya tak keruan memandangkan hanya isteri dan anak-anak saja di Malaysia.
Saya tadah tangan dan rayu bantuan Allah SWT. Minta doa supaya diselamatkan ovarinya. Dengan sekhusyuk-khusyuknya saya minta depan Kaabah, ‘Tuhanku, sihatkanlah isteriku.’
Saya doa bersungguh-sungguh. Walaupun terlalu sedih, tapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku terhadap kami. Paling saya kagum, isteri saya nampak lebih kuat daripada dulu. Dia menerima takdir ini dengan positif dan berusaha lawan penyakit dengan tenang.
Kadang-kadang menitik air mata tengok isteri bermunajat seorang diri. Saya nampak dia langsung tak pernah tinggal solat tahajud, solat dhuha dan khatam Al-Quran. Dia bina kekuatan dalaman dan tanam sifat syukur kerana diberi ujian ini. Jalan untuk ikhlaskan hati hanya dengan mendekati Allah SWT.
Memandangkan berita tentang kanser ovari ini berlaku dalam tempoh PKP, nak taknak isteri terpaksa tangguhkan rawatannya. Seperti lumrah pesakit kanser lain yang sensitif dan sukar menerima kenyataan, isteri saya juga pernah menyuarakan ‘kerisauan’, dia takut kanser dah merebak ke tempat lain.
Tapi alhamdulilah, kini selepas treatment kemoterapi keempat, nampak semakin positif keadaannya. Inilah gambar raya kami sekeluarga baru-baru ini, isteri nampak ceria dan tenang.
Saya tahu perasaan isteri saya. Jauh di lubuk hatinya dulu, dia berada dalam keadaan paling lemah. Apa yang diharapkan tak dapat. Malah lain pula jadinya.
Walaupun mula-mula sedih disebabkan takdir ovari isteri terpaksa dibuang, tapi saya reda. Saya yakin isteri pun reda. Nak bina kekuatan tu yang paling susah kami rasa.
Apapun saya harap dia dikurniakan kesihatan sepenuhnya. Dan berharap rakan-rakan lain juga mendoakan kesihatan isteri saya pulih seperti sediakala,” akhiri Azizi dengan ikhlas.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
‘An inspiring, passionate, beloved leader, that is my Ibu…’ begitu luahan arkitek, Wan Emir Astar terhadap pengurniaan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk kepada ibunya, YB Datuk Mastura Yazid pada 1 Februari 2021.
“Menjunjung kasih YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas pengurniaan darjah kebesaran buat Bonda patik, Mastura Yazid.
Moga anugerah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 akan menjadikan Bonda patik lebih baik, terus cekap dan cekal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang amanah buat semua, baik di Kuala, di desa, mahupun di pentas antarabangsa, untuk nama baik negara,” tulis Emir yang merupakan suami kepada selebriti popular, Mira Filzah.
Kini Datuk Mastura Binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid bukan saja berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), malah beliau juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga adalah balu kepada Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak pada tahun 2016.
Semenjak pemergian bapa mereka, Emir menggalas tanggungjawab penuh sebagai ketua keluarga bersama adik-adiknya menjaga ibu tersayang. Kerap terlihat, Emir turun padang membantu kempen-kempen politik ibunya, malah sesekali menjadi pemandu dan pengawal peribadi Datuk Mastura Yazid di pelbagai tempat.
“Di sebalik tabir berdekad-dekad perjalanan khidmat dan bakti Ibu kepada masyarakat, bangsa dan negara, hati dan mata ini sendiri yang menjadi saksi kepada tangisan, darah dan keringat yang dilimpahkan, demi cinta.. sebuah perjuangan.
Tahniah Ibu. Papa would look dearly upon this moment today, for he knows how incredible Ibu has been for Papa, the people of Kuale, and the nation.
Rahmatilah perjuangan dan usaha Ibu ku Ya Rabb, demi kebaikan agama, bangsa dan negara,” doa Emir selalu.
Selain bergelar arkitek dan mempunyai firma seni bina sendiri, lelaki berusia 31 tahun yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga dengan Mira Filzah ini juga merupakan abang sulung kepada Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar.
Baca lebih lanjut tentang perkembangan pasangan Wan Emir Astar dan Mira Filzah yang ditampilkan sebagai penghias cover Majalah Nona, edisi Februari 2021.
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.