
Jihan Muse Sibuk Urus 3 Anak Lelaki
Lama tak nampak kemunculan Jihan Muse di kaca televisyen. Pasti ramai peminat hos popular ini rindu hendak tengok gelagat menghiburkan dan santai Jihan mengacarakan program. Sinonim sebagai pengacara rancangan realiti Gegar Vaganza, ketiadaan isteri Ungku Hariz berkenaan pada musim kali ini tentunya memberi kesan kepada penonton.
Apatah lagi, figura ini sudah pun mengendalikan program tersebut selama sedekad di samping rakan seperjuangan, Nabil Ahmad.
Menerusi perkongsian Jihan Muse atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa di media sosial, dia kini sibuk menguruskan keluarga.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran cahaya mata ketiga pada Februari lalu. Pastinya bukan mudah bagi ibu ini membesarkan tiga anak lelaki yang masih kecil.
Dalam kesibukan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, Jihan turut terlibat dengan tuntutan tugas lain selaku selebriti. Pun begitu, keluarga tetap menjadi keutamaan buat pelawak berusia 42 tahun tersebut.
Terbaharu, Naib Juara rancangan pencarian bakat Raja Lawak Astro musim ketiga ini memuat naik momen meluangkan masa berkualiti dengan suami dan anak-anak.
“When you have to work and parenting at the same time. So we do workation at DoubleTree Damai Laut. Resort ni sangat luas dan banyak aktiviti untuk keluarga. Senang tak payah nak keluar ke mana-mana semua ada kat sini.
So sambil kita wfh (work from hotel)
, anak-anak boleh buat macam-macam aktiviti.”Mengikuti perkembangan Jihan di Instagram, dia makin aktif bersukan khususnya ‘pickleball’.
“Ade je ni. Hari-hari pun busy dengan askar (anak-anak). Gambar penuh dah gallery nak up tu yang tak terbuat maklumlah kita pulak Mejar Jeneral. Kadang-kadang gambar dah letak bila nak tulis caption
banyak pulak iklan. Tahu-tahu dah setahun dalam draft. Gitulah.Ni kita belanja la sikit aktiviti riadah dengan keluarga. Dah tua-tua baru nak bersukan ha. Sakit pulak pinggang kita hari ni.”
Penglibatan Jihan Muse dalam industri seni bermula sebagai pelawak pada tahun 2009 dan kini makin mendapat perhatian peminat sebagai pengacara. Celoteh dan gaya bersahajanya membuatkan dia mampu bertahan dalam industri sampai ke hari ini.
Jihan mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Ungku Hariz Faizal pada 20 Mac 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Ungku Arsalan Haq, Ungku Altamis Barr dan Ungku Attufayl Adl.
This website uses cookies.