Sabar & Balas Kritikan Dengan Lembut, Cara TERBAIK Ketika Berhadapan Dengan Pasangan Kuat Mengkritik

Memang betul tiada pasangan yang sempurna. Namun, bagaimana jika anda terikat dengan pasangan yang hobinya suka mengkritik 24 jam? Terlebih melontarkan kritikan yang menjurus kepada menjatuhkan pasti akan mengundang perbalahan.

Contohnya, pasangan kata anda gemuk dan menyuruh diet. Ataupun mengkritik penampilan anda. Jadi, bagaimana caranya untuk berhadapan dengan pasangan sebegini?

Kajian menunjukkan, terikat dengan pasangan yang gemar mengkritik boleh membuatkan harga diri dan semangat seseorang kian menurun. Hubungan bersama pasangan juga akan terasa sangat berat untuk dijalani.

Cuba anda lakukan 5 perkara berikut saat menghadapi situasi sebegini.

JANGAN BALAS KRITIKANNYA

Jika pasangan anda suka mengkritik dengan komen-komen negatif yang melemahkan semangat, jangan segera membalasnya. Walaupun merasa kecil hati dan marah, tahan diri anda untuk tidak melemparkan kritikan balas yang serupa. Jika anda membalasnya ibarat anda sedang memercikkan minyak ke dalam api.

BERCAKAP DENGAN LEMBUT

Sebaiknya jangan membalas sama kasarnya ketika anda dikritik. Bercakap dengannya secara lembut. Beritahu pasangan secara tenang bagaimana perasaan anda ketika itu sama ada sedih, marah dan sebagainya. Contoh, “Saya sedih abang cakap macam tu” bukannya “Abang selalu cakap saya gemuk!”

MINTA PASANGAN UNGKAP DENGAN CARA BAIK

Saat pasangan suka mengkritik sampaikan perasaan atau kekesalan anda kepadanya. Beritahu yang selama ini caranya itu membuatkan anda sakit hati. Katakan padanya anda akan lebih faham jika diungkapkan dengan cara baik. Berikan ayat yang anda ingin dengar dari mulutnya seperti “Sayang dah nampak berisilah, jom kita pergi joging sama-sama”. Niatnya disampaikan dengan cara lebih baik dan sedap didengar.

UBAH TANGGAPAN

Saat pasangan suka mengkritik biasanya anda tidak dapat mengubah sikapnya itu dengan segera. Cuba ubah tanggapan anda dan menerimanya. Selain itu, perhatikan adakah pasangan anda akhir-akhir ini sedang tertekan dengan kerjanya hingga melontarkan kritikan. Jika ya hal ini boleh anda pertimbangkan dan tidak terlalu ambil serius.

JANGAN ANGGAP KRITIKAN SEBAGAI HAL PERIBADI

Meskipun menyakitkan hati tetaplah bersabar dan memaafkan pasangan anda. Ingatkan pasangan mungkin dia tidak sedar betapa kasar kritikannya itu. Daripada melawan semula jelaskan kepada pasangan bagaimana perasaan anda atas kritikan yang diberikan. Ini merupakan cara terbaik untuk mengelakkan situasi buruk.

IKLAN
Share