Saintis Wanita Terbaik Di Dunia, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan Antara Kebanggaan Malaysia

Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.

Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.

Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.

Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.

Prof Halimaton pernah menerima Anugerah Merdeka 2009 kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi

 

Kerja-kerja kebajikan Prof Halimaton sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin

 

Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.

Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!

 

 

HARI WANITA

Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.

“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.

Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.

Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”

Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”

Masih kekal anggun dan menawan pada usia 60-an

 

Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?

“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.

Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.

Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.

Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.

Kredit foto: Merdeka Award

 

Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.

“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”

 

 

Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.

“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.

Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.

 

 

Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?

“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.

Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”

 

YAYASAN MYPRIHATIN

Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.

“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.

Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.

Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.

 

 

 

Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.

Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.

Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.

Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.

IKLAN
Share