Inspirasi

Sambung Legasi Arwah Ibu Tun Endon, Nori Abdullah Isteri Khairy Jamaluddin Reda Pemergian Bapa

Meskipun kedua-dua ibu bapa sudah kembali ke rahmatullah tapi sebagai anak, Nori Abdullah nekad sambung legasi mereka terutamanya Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) yang ditinggalkan arwah ibunya, Tun Endon Mahmood.

Berstatus anak kepada bekas Perdana Menteri dan isteri bekas ahli politik terkenal iaitu Khairy Jamaluddin, Nori selesa menjalani hidup tanpa layanan istimewa serta enggan mengejar populariti.

Sebaliknya, dia aktif menyertai kerja amal dan cukup menjaga privasi keluarga.

Artikel https://www.nona.my/satu-satunya-anak-lelaki-pak-lah-tan-sri-kamaluddin-tokoh-korporat-sosok-bapa-penyayang-4-anak/

Nori Abdullah Anak Allahyarham Tun Abdullah & Tun Endon

Personaliti Nori yang sederhana dan tidak begitu mencampuri kerjaya suami membuatkan dia disenangi ramai. Perwatakan ramah suri hati bekas Menteri Belia dan Sukan ini jelas terpancar ketika dia menghiasi Majalah Nona Edisi Sihat & Cantik tahun 2016.

Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Averroes.

Anak kedua mereka iaitu Timor Abdullah merupakan seorang kanak-kanak autistik dan mereka sekeluarga menerima keadaan itu dengan penuh reda.

“Setelah didiagnosis pakar perubatan, pada usia tiga tahun Timor disahkan menghidap ASD iaitu Autism Spectrum Disorder, maka boleh dikatakan ia banyak mengubah kami.

Saya juga memberikan tumpuan yang lebih sedikit kepada Timor memandangkan dia memerlukan perhatian yang lebih. Tiada apa yang perlu kita malukan dengan anak-anak autistik kerana mereka anugerah Tuhan yang paling indah.”

Disifatkan seorang wanita sofistikated dan berdikari, Nori Abdullah menyambung ‘tinggalan’ Allahyarhamah ibu tersayang Tun Endon Mahmood yang memartabatkan batik dan Yayasan Budi Penyayang Malaysia sehingga ke hari ini.

Nori Abdullah Reda Pemergian Ibu Bapa

Yayasan ini diasaskan oleh Allahyarhamah Tun Endon pada tahun 2000 dan Nori menjadi Pengerusinya selepas Tun Endon kembali ke pangkuan ilahi pada 20 Oktober 2005 akibat kanser payu dara.

Pemergian bapa tersayang Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah pada 14 April lalu cukup meninggalkan kesan mendalam kepada Nori. Pun begitu, dia menerusi media sosial menzahirkan penghargaan atas doa, ucapan dan kasih sayang yang diterima daripada rakyat Malaysia.

Luah Nori, dia bersyukur dan menggambarkan pemergian bapa yang dipanggilnya Baba sebagai satu perpisahan menyakitkan. Apatah lagi dengan penyakit demensia yang dialami Allahyarham sejak sekian lama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala doa, kasih sayang dan kata-kata semangat. Saya amat menghargainya.

Bukan sekadar ucapan takziah tetapi penghargaan, penghormatan dan kasih sayang yang tidak putus-putus. Ia adalah satu pemberian yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Tuhan itu Maha Pemurah,” tulisnya.

Tambah Nori, teknologi hari ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan memahami bapanya dengan lebih baik menerusi pelbagai dokumentasi serta perkongsian sejarah.

“InsyaAllah sejarah akan berlaku adil kepadanya walaupun beliau manusia biasa yang tidak sempurna. Tetapi seperti yang pernah dikatakan kepada saya, cara seseorang membuatkan orang lain rasa dihargai adalah sangat penting dan Pak Lah pandai membuat orang rasa dihargai.”

Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun dan disemadikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 15 April 2025.

Share
Published by
Suzi