Sambut Hari Lahir Ke-14, Ini Wajah Terkini Anak TOM CRUISE & KATIE HOLMES!

Sejak kecil hingga usianya kini mencecah 14 tahun, Suri Cruise masih menjadi tumpuan lensa kamera paparazi di Hollywood. Bukan sahaja kejelitaan wajahnya yang makin terserlah bahkan juga kerana status Suri sebagai anak selebriti terkemuka dunia iaitu Tom Cruise dan Katie Holmes. Menyambut ulang tahun kelahiran ke-14 pada 18 April lalu, Suri yang kian meningkat dewasa semakin mewarisi kecantikan ibu tersayang.

Pun begitu, tidak dinafikan ada ketika sisi muka bapa Suri yang merupakan bintang handalan filem Mission Impossible berkenaan jelas terpancar dari raut wajahnya. Terutama dari segi bentuk hidung dan matanya yang terus mengingatkan peminat kepada Tom Cruise.

Meskipun Katie dan Tom berkahwin pada 18 November 2006 iaitu tujuh bulan selepas Suri dilahirkan namun rumah tangga yang dibina tidak kekal lama. Mereka hanya menikmati perkahwinan bahagia selama enam tahun dan akhirnya bercerai pada tahun 2012.

Episod hitam itu membuatkan Katie lebih menjaga privasi anak tersayang dengan tidak mendedahkan Suri kepada umum. Malah pada sambutan hari lahir Suri baru-baru ini pun ibu berusia 41 tahun tersebut hanya berkongsi foto Suri dari pandangan belakang.

Memetik pengakuan Katie ketika temubual bersama Town & Country pada tahun 2017, dia berkata tindakannya menjaga privasi Suri adalah kerana mahu dia menikmati zaman kanak-kanak yang normal dan stabil.

“Anak ialah orang terpenting dalam hidup saya dan kini tugas saya adalah untuk memberi didikan terbaik kepadanya. Saya gembira dia menikmati zaman kanak-kanak normal seperti rakan-rakan sebaya yang lain dan saya bersyukur dengan kehidupan ini. Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang ibu selain melihat anak mereka membesar di depan mata.”

Ketika melahirkan Suri, Katie baru berusia 27 tahun. Bergelar ibu dalam usia yang agak muda berbanding rakan artis Hollywood lain bagaimana pun tidak sesekali membuatkan Katie menyesal. Sebaliknya dia gembira dengan takdir itu dan menyifatkan kehadiran Suri sebagai anugerah paling bermakna.

Sewaktu Suri masih kecil, Katie sering menata rias penampilan permata hatinya ini dengan pelbagai gaya comel. Tidak hairanlah penampilan Suri hari ini turut mencerminkan personaliti ibunya yang santai dan bersahaja. Sesuai dengan usia remajanya.

Biarpun perkahwinan Katie dan Tom hanya dikurniakan seorang anak, tetapi Suri mempunyai dua lagi adik-beradik hasil perkahwinan bapanya dengan aktres jelita, Nicole Kidman. Mereka ialah Connor Cruise yang kini berusia 25 tahun dan Isabella Jane Cruise berumur 27 tahun.

IKLAN
Share