Sanggup Cucuk Sendiri Vaksin Pada Anak, Tindakan Bapa & Doktor Muda Ini Sememangnya Berani

Gerakan anti-vaksin masih lagi wujud. Berbekalkan ilmu yang dangkal dan tak seberapa, macam-macam sharing mereka yang ‘mengharamkan’ suntikan imunisasi itu sampai ke anak masing-masing.

Tak cukup tu, degil pula nauzubillah! Nona rasa golongan ibu bapa yang memilih untuk menolak vaksinasi ini adalah golongan yang paling tak sayangkan kesihatan anak.

Perkongsian daripada Dr. Taufiq Razif ini menerusi Facebook beliau menarik perhatian kami. Sebagai bapa, bayangkan beliau sendiri yang merupakan seorang doktor perubatan mencucuk jarum suntikan imunisasi pada anak kesayangan mereka. Bravo doc!


Saya ingat lagi pengalaman pertama kali vaksin anak sulung saya tu. Saya dan isteri sendiri yang sediakan ubat demam untuk anak saya takut-takut anak saya demam lepas kena cucuk!

Alhamdulillah syukur anak sulung saya tu takde demam pun lepas vaksin tu. Jujur saya faham je perasan ibu muda yang baru pertama kali nak vaksin anak kan. Takut anak demam dan takut anak sakit kan. Saya dan isteri pun sama je dengan ibubapa yang lain masa mula-mula nak vaksin anak sulung dulu walaupun kami berdua doktor.

Keluarga saya sendiri pun ada yang anti sangat dengan vaksin tapi bila anak dia asyik sakit je dan dia sendiri sedar yang anak dia lemah nak berhadapan dengan dunia luar yang penuh dengan kuman yang berbahaya maka dia pun ubah fikiran untuk vaksin anak dia. Alhamdulillah anaknya sekarang sihat walafiat dan cerdik sangat.

Masa lepas vaksin tu saya sendiri yang sediakan ubat paracetamol untuk anak saya kot la dia demam kan. Memang risau la sikit kan tapi bila pandang mata comel anak sulung saya tu saya jadi sayu je. Saya lebih risau kalau dia tak divaksin!

Kenapa?
Bahaya vaksin ni bukan main-main. Berpuluh jenis kuman dahsyat yang berlegar dalam masyarakat kita boleh serang anak kita bila-bila masa je. Saya nasihat bukan sebab saya baca buku teks je bahaya tak vaksin ni tapi saya tengok dengan mata kepala saya sendiri antaranya :

(a) Tetanus

Masa ni saya pelajar perubatan lagi. Ada sorang pakcik datang ke wad kecemasan dengan badan kaku seluruh tubuh. Ingatkan kena serangan strok kan. Tiba-tiba je pakcik tu menggelupur kejang dan badannya jadi lurus dan kaku dan badan dia mengeras macam papan!

Rupanya tengah kena serangan tetanus ataupun masyarakat kita biasa sebut kancing gigi akibat terpijak paku berkarat kat sawah dia. Entah apa la nasib pakcik tu sekarang.

(b) Batuk kokol / Pertussis

Kalau korang tengok bayi yang kena pertussis ni kan mesti korang menangis sebak. Bayi yang kena batuk kokol ni menangis pun susah sebab asyik duk batuk. Ada tu sampai biru tak boleh bernafas sebab batuk tak berhenti!

(c) Difteria

Kalau masuk je kes difteria ni mesti semua perawat dan petugas hospital terpaksa pakai mask sebab penyakit ni sangat la berjangkit! Saya sendiri pernah periksa mulut pesakit difteria ni dan nampak ada macam benda warna kelabu (pseudomembrane) melekat dekat dengan anak tekak dia.

Jangan main-main dengan benda tu. Sekali benda tu tertelan masuk dalam perut boleh mati anak kita tau sebab dalam tu ada toksin yang sangat berbahaya.

Jadi saya harap kepada ibubapa kat luar sana yang taknak vaksin anak, fikir la dalam dalam dan fikirkan jugak keselamatan anak kita yang kita sayangi tu. Ni saya nukilkan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri daripada Irsyad Al Fatwa beliau sendiri ;

“Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.”

Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.

Jadi, jom kita vaksinkan anak tanpa ragu-ragu lagi. Saya pun nak amik vaksin pneumococcal untuk anak saya jugak lepas ni. Jom!

Kredit: Facebook Taufiq Razif

Tun Dr. Siti Hasmah
Kisah vaksin juga mengingatkan Nona dengan pertemuan kami dengan Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu penggambaran cover Nona Jun 2016. Wanita tua tapi berjasa besar pada negara itu sempat menyampaikan amanatnya buat ibu bapa Malaysia.

“Jujurnya saya sangat bimbang dengan ‘keberanian’ ibu bapa sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah sudah terkawal.

Sewaktu masih bertugas dulu, kami bersungguh-sungguh memperjuangkan program pemberian imunisasi. Dan usaha itu berhasil mencegah kes batuk kokol, difteria dan polio pada kanak-kanak di bawah 1 tahun.

Usaha itu tidak harus berhenti. Saya mahu menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak,” pesannya serius. Norzalina Mohd Alias

IKLAN
Share