
Tawaran hebat saringan untuk 4,000 wanita kurang mampu di Malaysia, Menteri Komunikasi rasmikan program mamogram percuma sekaligus jadi talian hayat!
Alangkah sedihnya apabila melihat nyawa muda yang masih jauh perjalanannya terkorban kerana penyakit kanser payudara. Iya, negara kita sedang menghadapi lonjakan kes kanser ini, tanpa mengenal siapa dan kenapa.
Tapi bayangkan kalau kita semua menyokong satu sama lain, berbicara, menghapus stigma, berjalan ke pusat saringan bersama. Kita bukan saja menyelamatkan nyawa, tetapi juga menyemai keberanian dalam masyarakat. Saringan awal adalah jambatan kepada masa depan di mana harapan mekar lebih awal dan rawatan berkesan lebih mudah dicapai.
Menyedari tidak semua wanita mendapat akses atau kemampuan untuk menjalani saringan awal kanser payudara, Etiqa dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bekerjasama menganjurkan Fasa 7 Program Mamogram Percuma Etiqa.
Seramai 4,000 wanita kurang berkemampuan berusia antara 40 hingga 65 tahun akan menerima saringan mamogram secara percuma di 17 hospital panel di seluruh negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Life Insurance Berhad, Leong Su Yern kepada Berita Harian, “Buat pertama kali dalam program ini, peserta yang hadir untuk saringan akan menerima kit pemeriksaan sendiri payudara secara digital dan menjadi lebih proaktif dalam penjagaan kesihatan payudara mereka
Kanser payudara memberi kesan kepada orang ramai khususnya wanita dan melalui program ini, kami memperkasa wanita dengan ilmu, keyakinan dan peralatan untuk mengawal kesihatan mereka sendiri.
Bersama NCSM, kami membayangkan masa depan di mana kanser payudara dapat dikesan awal, dirawat dengan berkesan dan suatu hari nanti, tidak lagi menjadi ancaman kepada orang tersayang.”
Fasa 7 Program Mamogram Percuma Etiqa dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dilancarkan secara rasmi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil di Dataran Maybank pada Sabtu.
Lebih daripada 200 wanita kurang berkemampuan turut menyertai bengkel interaktif mengenai kesedaran kesihatan payudara dan teknik pemeriksaan sendiri secara praktikal.
Tambah Su Yern, kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap dihidapi oleh wanita di Malaysia, merangkumi 38.9 peratus daripada semua kes kanser baharu dalam kalangan wanita dari 2017 hingga 2021.
Menurutnya, peratusan itu meningkat berbanding 34.1 peratus daripada tempoh sebelumnya iaitu 2012 hingga 2016.
“Lebih membimbangkan, jumlah kes yang dikesan pada peringkat lewat (Tahap 3 dan 4) meningkat daripada 48 peratus kepada 50.5 peratus.
Jadi, program ini secara langsung menangani jurang dalam pengesanan awal, khususnya dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat akses,” jelasnya.
Menurut beliau, sejak 2017, Etiqa telah menyalurkan sebanyak RM11.7 juta menerusi kerjasama dengan NCSM bagi membiayai saringan percuma untuk wanita kurang berkemampuan di seluruh negara.
Katanya, pada Fasa 5, usaha memperluas akses kepada penjagaan kesihatan untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan direalisasikan melalui pengenalan ‘Etiqa National Mobile Screening Clinic’.
“Klinik bergerak ini menyediakan perkhidmatan saringan kanser termasuk kanser payudara, serviks dan prostat secara langsung kepada komuniti di kawasan luar bandar dan bandar di seluruh Malaysia.
Sehingga kini, lebih 50,000 rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada saringan bergerak ini, mencerminkan komitmen berterusan Etiqa untuk memastikan pengesanan awal dan penjagaan kesihatan berkualiti lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram, berkata pihaknya berbangga dapat meneruskan kerjasama penting ini bersama Etiqa menerusi Fasa 7 program yang berimpak tinggi.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-sulung-hidap-gastroperesis-raja-ema-gigih-cari-rezeki-jual-acar-menyanyi/
This website uses cookies.