“Saya Beragama Kristian Dan Silat Warisan Melayu…” Aksi Merrywati Manuil Bertudung Ketika Bertanding Wajar Diteladani

Kepelbagaian agama dan budaya dalam negara kita yang tercinta sudah semestinya sesuatu yang wajar dibanggakan. Atas dasar menghormati dan menyanjungi adat dan susila sesuatu kaum, setiap dari kita harus meneladani sikap seperti apa yang ditonjolkan oleh Merrywati Manuil.

Merrywati Manuil, pesilat dari Keningau Sabah baru-baru ini tular di media sosial dek aksinya bertudung ketika Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 dekat Ayer Keroh bulan lalu sedangkan dirinya adalah beragama Kristian.

Menjelaskan tiada paksaan dalam tindakannya itu, Merrwati mengakui cukup menghormati dan mengagumi seni silat yang merupakan warisan orang Melayu.

“Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian. Silat adalah warisan orang-orang Melayu. Saya sebagai orang bukan Melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat,” jelasnya.

Merrywati memenangi pingat emas pada kejohanan itu bagi Kategori Solo Kreatif Wanita sekali gus memegang status juara dunia dan turut penyumbang tujuh pingat emas skuad silat negara di kejohanan tersebut sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Merrywati memberitahu, walaupun tidak diwajibkan untuk menutup bahagian kepala tetapi dia selesa memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan.

“Tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita Melayu, tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan,” ujarnya.

 

IKLAN
Share